"Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi."
Demikianlah jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mantan mufti Perlis dalam respons beliau terhadap isu kerajaan negeri Pulau Pinang yang memberikan wang saguhati kepada warga emas, yang 'khabarnya' bersumberkan judi lumba kuda.
Katanya, bahawa para penerima wang (orang-orang Islam berusia emas) itu tidak haram. Pihak yang memberinya itulah yang menanggung dosanya. Samalah, kata beliau, apabila kakitangan awam dibayar gaji yang mana kita semua maklum, wang gaji itu bersumber daripada perbendaharaan negara.
Dalam perbendaharaan negara, ia menerima apa-apa sahaja sumber kewangan termasuklah daripada sektor perjudian, minuman keras dan yang sewaktu dengannya. Ia diterima menerusi cukai perniagaan yang dikutip oleh pihak kerajaan.
Nah! Jika benar kita mahu memastikan wang gaji kita bersih dan suci 100 peratus barang kali kita tidak boleh menerima gaji daripada pihak kerajaan pusat. Melainkan, mereka mengasingkan dana halal dan haram dan hanya memperuntukkan halal untuk Islam dan haram untuk bukan Islam.
Dalam Islam, perbendaharaan negara disebut Baitul Mal. Persoalannya, adakah sama Perbendaharaan Negara yang ada pada hari ini di peringkat negeri dan pusat dengan Baitul Mal? Saya tidak berani nak jawab…
Jika diikutkan, fungsi Baitul Mal ini adalah sangat meluas. Salah satu daripadanya, Baitul Mal juga adalah tempat dititipkan segala jenis harta yang tidak halal mahu pun syubhah. Jika di Baitul Mal, maka wang itu tidak menjadi haram untuk digunakan kembali kepada rakyat. Ini kerana, ada pandangan ulamak menyatakan demikian.
Saya pernah terjumpa pandangan Dr Yusuf al-Qardhawi terhadap corak penggunaan wang haram. Secara asasnya, wang haram itu tidak boleh sama sekali dimanfaatkan oleh pemilik wang untuk faedah peribadi.
Tetapi, ia boleh diberikan kepada pihak lain demi maslahah umum atau kebajikan awam. Ia termasuklah memberikan wang haram itu kepada orang fakir dan miskin dan juga untuk tujuan dakwah Islam.
Saya sempat mencari di dalam internet, alhamdulillah saya bertemu dengan sebuah artikel yang dipetik daripada Bahagian Mal, Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Berikut saya paparkan sedikit kutipannya:
“Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik kepada maslahah a'mmah seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan antaranya membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah SWT, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.
Harta tidak patuh syariah juga tidak boleh digunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri atau keluarga. Menurut al-Qaradawi, ia juga haram secara yakin untuk ditinggalkan dalam akaun bank konvensional (dalam kes faedah riba).
Harta tidak patuh syariah ini jika daripada jenis yang boleh dimanfaatkan seperti wang, ia tidak seharusnya dimusnahkan seperti dengan membakar atau mencampakkannya ke dalam laut.
Fuqaha semasa seperti al-Qaradawi menjelaskan bahawa perbuatan ini menyalahi kaedah syarak yang melarang tindakan idha'ah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa.
Mungkin ada yang mempertikaikan, bagaimana harta yang haram dan tidak baik ini boleh disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin atau perkara-perkara kebajikan sedangkan kita sendiri tidak tergamak untuk menggunakannya?
Menjawab persoalan ini, al-Qaradawi menjelaskan bahawa pada hakikatnya harta tersebut sememangnya haram dan tidak baik dalam konteks orang yang mendapatkannya secara tidak halal.
Sebaliknya, dalam konteks fakir miskin dan juga perkara-perkara kebajikan, ia adalah baik dan harus untuk digunakan. Institusi Baitulmal dalam konteks maslahat umum ini, boleh berfungsi sebagai pemegang amanah kepada harta tidak patuh syariah untuk dibelanjakan demi kepentingan masyarakat secara umum.
Ini bertepatan dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 yang telah menetapkan bahawa: “Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum”
- Petikan daripada artikel 'Pengurusan Harta Tidak Patuh Syariah' oleh Unit Amanah & Wasiat, Bahagian Mal, MAIS.
Wallahua'lam.
0 comments:
Post a Comment