Shamsul Gesa Polis Jangan Ugut, Ikut Peraturan......

on Oct 5, 2010


SHAH ALAM 5 Okt - Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar melakukan perubahan sikap terhadap pasukan polis supaya anggota keselamatan menghormati serta mematuhi saluran undang-undang apabila menangani masalah yang dikemukakan rakyat.
Beliau menyesali tindakan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang mengeluarkan kenyataan bersifat ugutan sekiranya gagal tampil bekerjasama dengan pihak polis untuk memberi keterangan berhubung komennya mengenai kes pembunuhan Datuk Sosilawati yang disiarkan dalam portal berita TV Selangor 13 September lalu.
Sambil menganggap insiden itu memalukan imej pasukan polis, Shamsul juga memggesa siasatan berhubung pembunuhan jutawan kosmetik itu ditangani dengan baik hasil kerjasama polis, pemimpin politik dan agensi keselamatan yang lain lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kes jenayah dan pembangunan masyarakat.
"Dalam hal ini, sebagai pemimpin politik dan pengamal undang-undang, saya tidak sama sekali enggan ataupun melarikan diri daripada memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan malah saya jelaskan kekesalan saya di atas dakwaan kononnya saya tidak jawab telefon dan saya melarikan diri seperti mana kata Datuk Khalid umpama 'baling batu sembunyi tangan'.
"Sebaliknya, mereka menghubungi saya dalam keadaan yang tidak mengikut saluran undang-undang. Mereka menghubungi ketika saya sebagai pengamal undang-undang berada dalam mahkamah bahkan tidak dimaklumkan siapa yang menghubungi saya, jadi mereka sengaja untuk memperbesarkan isu ini," kata Shamsul setelah selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini tengahari tadi.
Shamsul yang ditemani tiga peguam, Yusmadi Yusoff, Murnie Hidayah Anuar dan Fadiah Nadwa Fikri tiba kira-kira jam 11.30 pagi.
Ditanya mengenai keterangan yang dibuat, Shamsul menjelaskan semua persoalan yang dikemukakan polis berkaitan kes Sosilawati dan beliau telah menjawab dengan sebaiknya. 
"Saya telah menjawab semua soalan yang ditanyakan khususnya soalan berkaitan kes Sosilawati terutamanya tentang dakwaan yang kita teliti di dalam media berhubung kes-kes sebelum ini yang paling kurang pun menurut laporan media ada empat kes yang tidak disempurnakan siasatannya.
"Malah saya bangkitkan tadi dalam sesi keterangan dan saya nyatakan bahawa kebimbangan dan keresahan rakyat di kawasan Banting itu adalah kerana tiada tindakan yang diambil terhadap laporan sebelum ini. Itulah juga perkara yang saya ulas ketika wartawan menghubungi dan meminta komen berhubung kes ini," tegas beliau.
Menurut Shamsul, pihak polis sebaliknya gagal mengemukakan peruntukan akta berhubung dakwaan yang dikenakan ke atasnya.     
"Apabila peguam-peguam saya bertanya kepada pihak polis tadi bahawa kesalahan saya itu diletakkan di bawah seksyen dan kesalahan apa, mereka tidak menyatakannya.
"Maka saya anggap itu merupakan kaedah untuk menekan tokoh-tokoh politik, satu gangguan politik untuk menghalang kita memberikan komen-komen berkaitan kepentingan awam dan masyarakat," katanya.
Beliau menyifatkan itu sebagai satu intimidasi dan ugutan kepadanya sebagai pemimpin politik yang tekad mahu membongkar segala jenayah berkaitan pembunuhan ini.
"Pada saya ini merupakan satu intimidasi, ugutan dan gangguan kepada saya sebagai seorang pemimpin politik.
"Sebagai seorang pemimpin politik, saya perlu juga harus membawa isu-isu yang berkaitan dengan rakyat dan isu jenayah ini adalah isu yang cukup penting kerana kita sedar statistik jenayah di Malaysia sekarang lebih tinggi.
"Saya nyatakan ini kerana kita merasakan bahawa ini adalah satu perkara yang tidak adil bila mana kes-kes berprofil tinggi dan kes-kes berat seperti ini tidak diteruskan dengan siasatan.
"Jadi timbul satu persolan dan kebimbangan ini dibangkitkan dalam media seperti nampaknya kebimbangan itu seolah-olah boleh menyebabkan saya dituduh melakukan satu kesalahan," ujar Shamsul
Hadir sama, Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamaruddin, Ketua AMK Sarawak Ahmad Nazib Johari, Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, Naib Ketua AMK Wilayah Rozan Azen Mat Rasyid, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan wakil AMK dari Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List