SEMALAM Umno Sabah dikejutkan dengan pengumuman bekas Ketua Penerangan Umno Sabah, Abdul Karim Ghani yang telah mengumumkan keluar dari parti berkenaan serta merta. Surat perletakan itu sudah dihantar ke ibu pejabat Umno Sabah dan Kuala Lumpur.
Mungkin Karim waktu ini hanya melukut di tepi gantang saja dalam arena politik Sabah tetapi penglibatannya dalam perjuangan politik Sabah 30 tahun lalu bukan kecil anak.
Beliaulah antara pelopor yang telah membawa Umno masuk ke Sabah kerana ingin menyelamatkan agama Islam di negeri berkenaan yang ketika itu diancaman pengaruh Kristinasi yang hebat pada masa Sabah di bawah naungan PBS.
Karim adalah tokoh sezaman dengan bapa kemerdekaan Sabah Tun Datu Mustapa Haron dan boleh dianggap Datu Mustapa sebagai idolanya.
Dengan tindakan Karim itu ia memberi kesan kepada Umno Sabah apa lagi menjelang pilihan raya umum ke 13. Golongan veteran dan mereka yang berjiwa Sabahan pasti akan bersama beliau.
Beberapa hari sebelum itu beliau ke Kuala Lunmpur dan sempat bertemu saya dan beberapa rakannya yang lain. Biasalah kalau ke sini beliau akan mencari teman-teman penulis yang dikenal sejak lama dulu untuk berbual dan makan.
Beliau seorang yang humble dan tidak pernah sombong dan senantiasa mengenang dan merai kawan baik ketika di Kuala Lumpur atau kami ke Sabah. Malam itu antara penulis yang dipanggil ialah saya, Syed Abdullah dan Yahaya Ismail. Sdr Zabidi Saidi rakannya semasa Zabidi di Sabah telah dipanggil malam sebelumnya.
Malam itu Karim tidak mencerita lanjut apa yang akan berlaku. Cuma beliau ada membayangkan sesuatu kejutan akan berlaku. "Tunggulah 18 Oktober saya akan membuat pengumuman penting di Kota Kinabalu," begitulah ujarnya. Dan ternyata hari ini beliau mengambil langkah nekad meninggalkan Umno atas alasan parti itu gagal untuk mengambil langkah objektif untuk memaju dan membela masyarakat Sabah. Ada juga mengatakan tindakan itu kerana Umno telah meminggirkan orang lama dalam Usno yang menyertai Umno.
Sebenarnya saya sudah dapat mengagak tindakannya itu. Lama sebelum ini semasa bertemu di Kota Kinabalu kira-kira dua setengah tahun lalu beliau sudah membayangkan rasa tidak puas hati terhadap Umno dalam membangunkan Sabah. Menurutnya penghijarahan Umno ke Sabah bukan membawa harapan tetapi memusnahkan Sabah. Hatinya ketika sudah tawar terhadap Umno di mana ketika Abdullah Badawi melawat Sabah beliau tidak pun ke aiport menyambut Abdullah.
Beliau membayangkan rasa putus asa kepada Umno yang telah menjanjikan macam-macam untuk kepentingan rakyat Sabah yang sanggup mengorbankan Usno. Pengorbanan yang mahal itu dirasakan tidak berbaloi.
Bagi Karim janji Umno itu hanya manis dibibir mulut saja dan dirasai sebagai perangkap semata-mata untuk kepentingan individu tertentu yang berjaya memperalatkan pemimpin Umno Sabah waktu ini.
Apabila beliau mengumumkan keluar Umno serta merta maka jelas, apa lagi menjelang 24 jam Perhimpunan Agung Umno beliau sudah tidak dapat lagi menahan rasa pedih dan kesal kepada Umno. Apakah tindakan beliau selepas ini. Katanya beliau dan rakan-rakan seangkatan dengannya sedang berusaha untuk menghidupkan semula Usno untuk dijadikan wadah perjuangan.
Orang seperti Karim yang tidak boleh duduk diam pasti akan berusaha apa saja untuk meneruskan sisa-sia usianya dalam perjuangan. Semasa dalam Usno dulu beliau merupakan Naib Presiden yang sangat berpengaruh.
Apakah sekiranya usaha menghidupkan Usno gagal Karim dan ribuan penyokongnya akan bertindak menyertai PKR atau Pas? Pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November depan akan memberi petunjuk ke mana arah jalan masa depan Karim dalam politik. Sebagai pejuang Karim tidak akan boleh duduk diam pasti beliau akan merayau ke Batu Sapi. Apa lagi khabarnya 30% pengundi di Batu Sapi orang Melayu yang rata-rata asalnya dari Usno.
MSO
0 comments:
Post a Comment