Nazri: Malaysia tiada halangan Clinton jumpa Anwar

on Oct 30, 2010



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Malaysia tidak menghalang Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton untuk bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatannya ke negara ini bermula Selasa ini.

Nazri memberitahu, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi Malaysia tidak mempunyai masalah jika Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu berhasrat menemui Anwar.

Seperti pemimpin dunia yang lain, Clinton yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia minggu depan boleh menemui Anwar atas sifatnya sebagai Ketua Pembangkang.

“Permintaan itu pun bukan nak jumpa Anwar, tapi nak jumpa ketua pembangkang... ini biasa macam kita pun kalau pergi ke Amerika Syarikat pun di antara orang yang kita berjumpa selain Presiden, kita juga berjumpa dengan ‘Majority Leader’... Senat, ‘Minority Leader’... itu biasa.


“Jadi, kita tak ada apa-apa halangan untuk dia nak berjumpa dengan Anwar tapi jumpa Anwar bukan kerana peribadi tapi kerana sebagai ketua pembangkang, kerana ketua pembangkang merupakan jawatan yang diiktiraf dan dibayar gaji dalam ‘Standing Order’ kita,” kata beliau selepas menyampaikan hadiah dan sijil sempena Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz di sini hari ini.

Nazri berkata Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana pemimpin yang mahu mengadakan lawatan rasmi ke negara ini termasuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang di Parlimen.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan negara berdaulat Malaysia tidak perlu takut dengan sesiapa.

Lagipun kata beliau, Malaysia tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan daripada pengetahuan mana-mana pemimpin dunia termasuk Clinton.

Justeru kata Nazri, sebarang kenyataan yang menghalang Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu mahu berjumpa Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, bukannya datang dari Malaysia.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List