KUANTAN – Seorang ibu tunggal kerugian hampir RM20,000 selepas beberapa barangan berharga miliknya lesap dikebas oleh pencuri dalam satu kejadian pecah rumah di Batu 4, Jalan Gambang, di sini semalam.
Penjawat awam berusia 55 tahun itu hanya menyedari rumahnya dimasuki pencuri kira-kira pukul 4.15 petang setelah pulang dari bekerja, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, DSP Kamaruzzaman Jaafar.
Wanita itu yang tinggal bersama anak lelakinya berusia 17 tahun hanya menyedari kejadian apabila melihat pintu depan rumahnya diumpil dan rumah digeledah, katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kamaruzzaman berkata, berdasarkan laporan yang dibuat penjawat awam itu, dia kehilangan sebuah komputer riba, barangan kemas, seutas jam tangan berjenama, kamera digital dan wang tunai sebanyak RM300.
Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Bernama
0 comments:
Post a Comment