HIDUP bergelar selebriti sering menarik perhatian khalayak. Apa jua yang dilakukan sama ada bekerja mahupun meluangkan masa untuk soal peribadi, gerak geri mereka sentiasa menjadi tumpuan. Bagi artis popular, Maya Karin, kehidupan peribadinya turut diselongkar peminat yang ingin tahu sejauh mana kebenaran kononnya dia kembali dilamun cinta. Sebelum ini Maya dilihat cukup mesra dengan Remy Ishak namun, belum reda kisah ‘cinta’ dengan jejaka kacak itu, Maya kelihatan mesra pula dengan anggota KRU, Yusry Abdul Halim. Ada peminat ternampak mereka berdua menonton wayang bersama.
Tambah menguatkan lagi cerita ini apabila Maya turut hadir pada majlis kesyukuran filem Magika sempena kemenangan besar filem itu di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), di KRU Studios, Cyberjaya, baru-baru ini. Kemesraan mereka berdua ketika berbual mesra menarik perhatian wakil media yang hadir. Maya menafikan ada hubungan istimewa antara mereka sebagaimana disangka ramai. “Memang kami keluar bersama, seperti Remy, Yusry juga adalah kawan. Setakat ini saya selesa berkawan dengan mereka. Soal jodoh memang sukar diramal. Apa yang boleh saya katakan, hingga hujung tahun, saya sekadar mahu bersendirian dan menikmati zaman solo".
“Tidak semestinya keluar berdua sudah dianggap bercinta. Walaupun keluar berdua, saya juga masih tahu batas pergaulan. Setakat berjalan ke pusat beli-belah dan menonton wayang bersama, saya tidak anggap ia ‘dating’.
Bagi Yusry, dia terbuka berkongsi kisah peribadi bersama peminat. Tanpa berselindung di sebalik hubungan persahabatan yang terjalin, dia berterus terang menceritakan perkara sebenar. Pada Aidilfitri lalu, Yusry digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan anak gadis penyanyi Rohana Jalil, Shaqila. Kelibat Yusry menangkap perhatian media, tetapi akuinya, mereka bukanlah seperti yang disangka.
“Apapun cakap orang, saya tidak berkecil hati. Begitu juga, ketika saya keluar bersama Maya, kami jarang bercakap soal peribadi. Atas dasar kawan, kami tiada masalah keluar berdua depan khalayak. Kami sudah kenal lama sejak membintangi Mr Cinderella 2 (2003) dan mula rapat kembali selepas dia hidup solo. “Saya rasakan tidak salah kami keluar berdua, tetapi tidaklah sampai berpegang tangan. Saya tidak takut dengan tekanan dan gosip yang dilemparkan. Secara peribadi, saya senang untuk bersembang dengan Maya. Kami banyak bercerita soal kerja dan saya sendiri tidak kenal rapat dengannya.
***kalau sedang bercinta pun apa masalahnya. mereka sekarangkan masing-masing sedang dan masih solo. yang bahayanya apabila keluar berdua, menonton wayang bersama, selalu berjumpa tetapi masih menganggap & dianggap kawan biasa. nanti bila berumahtangga pun mereka akan menganggap keluar, makan & menonton bersama dengan orang lain sebagai perkara biasa dan bukannya special. keadaan inilah yang mendorongkan rumahtangga artis selalu bercerai berai***
0 comments:
Post a Comment