MCA turut tangguh pemilihan

on Dec 13, 2010

NONEMCA turut menangguhkan pemilihannya yang sebelum ini dijadual diadakan tahun depan, sekaligus mengikut langkah Umno.

Keputusan penangguhan itu dicapai dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA di ibunegara.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata satu jawatankuasa pemandu akan diwujudkan bagi meminda perlembagaan parti bagi membolehkan penagguhan pemilihan dijalankan.

"CC telah bersetuju bahawa jawatankuasa pemandu pemilihan MCA yang dipengerusikan setiausaha agung parti Datuk Seri Kong Cho Ha akan mengkaji dan mencadangkan kepada parti bagaimana ia (penagguhan) boleh dilaksanakan. 

"Jawatankuasa tersebut akan mengkaji dan akan mengemukakan cadangan yang terbaik sebelum pemindaan dilakukan bagi memastikan penangguhan tersebut berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat CC di Wisma MCA hari ini.

Dr Chua turut mengumumkan keputusan CC untuk membenarkan Pergerakan Pemuda MCA membuka keanggotaan kepada golongan wanita yang berumur kurang daripada 45 tahun.

Katanya, keputusan itu merupakan sokongan kepada cadangan Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Pergerakan Wanita Datuk Yu Chok Tow minggu lepas yang mahu menggalakkan golongan wanita menyertai MCA di masa depan.

"Melalui keputusan ini, beliawanis yang berumur kurang dari 45 tahun boleh menyertai aktiviti Pemuda sebagai pilihan mereka ataupun masuk Sayap Wanita," katanya.

Semasa mengemukakan cadangan Pemuda itu, Wee berkata konsep "Pemuda-Pemudi" perlu dilakukan agar Pergerakan Pemuda MCA tidak lagi dilihat berdasarkan kepada jantina tetapi sebaliknya berdasarkan umur.

Dr Chua turut mengumumkan mengenai kejayaan MCA menarik seramai 17,378 ahli baru tahun ini yang sekaligus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa MCA sudah tidak mampu menarik minat kaum Cina untuk menyertainya.

"Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan kerana pada 2008, MCA hanya mampu menarik seramai 700 orang ahli baru sahaja," katanya.

- Bernama

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List