Semua orang tidak ada jasa kecuali Dr Mahathir....Padan muka kau orang....

on Mar 13, 2011

Ada beberapa rakan-rakan komentar dalam blog saya ini menuduh saya tidak tahu mengenang jasa Dr Mahathir semasa menulis sedikit komen tentang buku memoir beliau. Mereka meminta saya jangan memberikan komen negative tentang Dr Mahathir kerana jasanya banyak dan beliau tidak patut di kritik oleh sesiapa yang tidak berjasa seperti saya ini. 

Mereka membayangkan kepada saya bahawa Dr Mahathir terlalu banyak jasanya dan beliau tidak boleh di kritik jika ada kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Bagi mereka hanya Dr Mahathir sahaja boleh mengkritik orang lain. Jika Mahathir mengkritik itu teguran ikhlas tetapi jika sesiapa yang mengkritik beliau orang itu ialah manusia yang tidak mengenang jasa namanya.

Dr Mahathir boleh memusuhi sesiapa tetapi tidak siapa pun, termasuk yang beliau musuhi itu memusuhinya. Dr Mahathir boleh mengkritik semua orang tetapi semua orang tidak boleh mengkritik beliau. Apa sahaja yang dilakukan oleh Dr Mahathir itu jasa namanya termasuk membunuh UMNO dan memusnahkan telapak perjuangan bangsa saya (kita) sendiri.

Dr Mahathir sewenang-wenangnya menuduh pemimpin lain berbelanja RM20 juta untuk membeli undi semasa perhimpunan agung UMNO (asal) pada tahun 1987 dahulu tetapi ada orang (pemimpin) yang menggunakan wang rakyat yang berbillion untuk menyelamatkan perniagaan seorang anaknya itu juga di anggap jasa. 

Menggunakan ratusan billion untuk membina projek raksaksa yang tidak penting itu jasa dan mengambil balik pembiayaan pelajaran dan biasiswa untuk anak-anak kita untuk belajar itu juga jasa.

Merugikan wang BNM dalam perniagaan mata wang asing sebanyak 30 billion lebih itu jasa dan sesiapa yang mengkritik isu ini tidak mengenang jasa namanya. Itu dikatakan fitnah.

Banyak lagi yang telah merugikan rakyat yang dilakukannya semuanya jasa. Sesiapa yang mengkritik itu adalah pembawa fitnah dan orang yang pendendam namanya.

Sesungguihnya semua orang ada jasa mereka: tidak banyak sedikit. Jasa tetap ada bergantung jasa itu kepada siapa. Botak Chin adalah perompak yang di tembak oleh penguat kuasa undang-undang lebih dari 20 tahun dahulu. Botak Chin tidak ada jasanya. Tetapi wang rompakan itu digunakannya untuk membantu peniaga-peniaga kecil di Jinjang dan di Kepong. Kepada peniaga-peniaga kecil yang dibantu oleh Botak Chin itu, mereka menganggap perompak itu adalah seorang yang berjasa setidak-tidaknya kepada mereka.

Semua orang berjasa. Tidak ada orang yang tidak berjasa, termasuk pemimpin-pemimpin kita. berbillion ringgit yang diperolehi secara haram itu digunakan untuk memperkayakan anak-anak dan keluarga dan itu adalah jasa setidak tidaknya kepada anak-anak dan ahli keluarganya.

Anggota tentera dan polis banyak jasa kepada negara. Petani yang besar dan kecil ada jasa mereka kepada negara. Pengayuh beca di Melaka banyak jasa mereka kepada industri pelancungan negara kita. Pegawai-pegawai dan penjawat awam ada jasa mereka. Negara perlukan jasa pemandu teksi. Begitu juga pemandu bas dan keretapi. 

Ada yang bertanya apa jasa saya selama ini kepada negara. Mungkin saya seorang di dalam dunia ini tidak ada jasa tetapi kita mesti akui selain dari saya seorang semua manusia yang lain dinegara ini ada jasa mereka.

Imam-imam dan bilal-bilal banyak jasa mereka kepada masyarakat. Pendeknya semua orang ada jasa. Menabur jasa ini bukan ‘privilege’ Dr Mahathir seorang. Malahan ramai yang menabur jasa kepada Dr Mahathir akhirnya di kecewakan oleh beliau sendiri.Mungkin Dr Mahathir patut berfikir dan mengenang jasa-jasa orang lain terhadap beliau sehingga beliau boleh memimpin negara selama 22 tahun.

Kita mesti ingat Muhammad saw lagi besar jasanya kepada dunia dan alam ini. Jasa Baginda pun selalu di lupakan umat sekarang ini. Kalau semua orang ingat kepada jasa, masakan ajaran Muhammad supaya jangan mengambil harta rakyat dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh setengah-setengah pihak yang mempunyai kuasa?

Tetapi yang orang ramai persoalkan itu ialah tentang kesalahan yang dilakukan terhadap rakyat. Rakyat tidak mahu menerima segalanya itu sebagai jasa kerana wang mereka diambil oleh pihak-pihak yang bertaraf tinggi melalui rompakan kolar putih melalui rasuah dan sebagainya yang dilakukan secara sistematik itu.

Teringat pula kepada satu kata perbidalan; ‘jika kita duduk di dalam rumah kaca jangan membaling batu ke rumah orang lain’.

Itu sahaja setakat ini.

http://aspanaliasnet.blogspot.com


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List