P/raya Sarawak penentu nasib Pakatan Rakyat?

on Apr 1, 2011


Seandainya 9 Mac 2008 menandakan permulaan era baru politik Malaysia, dan menjadi pembuka tirai zaman “tsunami politik”; maka hari ini adalah hari terakhir selepas genap tiga tahun “tsunami” berlaku.  Apa yang berlaku mnjelang ulang tahun ketiga ini adalah kekalahan teruk Pakatan Rakyat dalam dua pilihan raya kecil, malah UMNO mencapai prestasi yang lebih baik daripada PRU tahun 2004 di Kerdau.
Sebaik sahaja PRK melabuh tirai, DAP terus membantah pengharaman penjualan tiket perjudian oleh kerajaan PAS di Kelantan, mendedahkan kontradiksi dalaman PR.  Justeru itu, apakah ia penghujung “zaman tsunami” mulai esok, atau apakah pergolakan yang berlaku sepanjang tiga tahun ini sekadar riak air yang bakal kembali tenang tanpa meninggalkan kesan?
Sejauh manakah impak tsunami politik 8 Mac 2008 terhadap perkembangan sejarah kita?  Apakah PR bakal kembali kepada bentuk asalnya selepas PRU yang akan datang?  Kita perlu membuat penilaian dalam konteks sejarah yang lebih luas, dan bukannya tertumpu kepada apa yang berada di depan mata sahaja – barulah jawapan yang lebih jelas diperolehi. Samuel P. Huntington mengibaratkan “pendemokrasian” sebagai ombak, kerana ada pasang dan surutnya fikrah demokrasi.  Ia bukan sahaja berlaku di luar dunia, malah Malaysia juga tidak terkecuali.
Sistem dua parti
Pada awal pembentukan Tanah Malaya (Malaysia), Barisan Sosialis (SF) dan Malaysian Solidarity Covention (MSC) yang didominasi PAP pernah cuba untuk membentuk pakatan yang melangkaui batas etnik untuk menentang Perikatan (yang didominasi UMNO).  Namun, SF hanya wujud untuk dua penggal, berpecah kerana isu bahasa; sementara MSC pula wujud hanya sekelip mata, menghembus nafas terakhirnya selepas Singapura diusir dari Persekutuan Malaysia.
Perubahan yang menggoyah kuasa UMNO hanya berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969, zaman Dasar Ekonomi Baru yang mencapai kemuncaknya hingga mencetus pergelutan kuasa antara pimpinan tertinggi dalam UMNO.
Peluang pertama untuk pertukaran kerajaan wujud pada tahun 1990.  Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) diusir oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad dari UMNO.  Kuli cuba memimpin dua barisan pembangkang melalui Semangat 46.  Salah satu daripadanya adalah Gagasan Rakyat yang dibentuk bersama DAP; dan satu lagi adalah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang ditunjangi PAS.  Ini kerana DAP dan PAS pantang duduk sebumbung ketika itu.  Gagasan Rakyat akhirnya terbubar sebelum PRU tahun 1995, malah APU dibubuh noktah setelah Kuli kembali ke pangkuan UMNO, setahun selepas PRU tahun 1995.
Namun, hanya selepas dua tahun, pergelutan kuasa tercetus lagi dalam UMNO.  Kali ini, gelombang Reformasi muncul, dan Parti KeADILan Nasional (kini PKR) mengisi kekosongan Semangat 46.  Berbeza dengan dahulu, KeADILan tidak bersaing dengan UMNO untuk menjuarai wacana nasionalis Melayu, sebaliknya mendukung politik berbilang kaum.  DAP dan PAS pula bersepakat secara terbuka, dan akhirnya terbentuklah Barisan Alternatif.  Namun demikian, dua tahun kemudian, BA terkubur dalam sejarah selepas DAP meninggalkan PAS kerana tidak berpuas hati dengan dasar Islamnya – tinggal sesetengah anggota PAS yang ada kalanya ditemui menyarung jersi yang mempunyai logo empat parti politik itu.
Dari makna teknikalnya, PR ditubuhkan pada 1 April 2008, merupakan jalinan pakatan antara PKR, DAP dan PAS selepas pilihan raya umum.  Dari makna sebenarnya, PR adalah versi “BA” yang diperbaharui.  Momentumnya berasal daripada gelombang Reformasi – menentang pemerintahan Mahathir yang autokratik; tetapi pada masa yang sama memberi manfaat kepada sekta kuasa Mahathir dalam UMNO yang lama, dan ingin menyekat pembaharuan beransur-ansur oleh Abdullah Ahmad Badawi.
Seandainya dilihat dalam konteks sejarah, wujud tiga kemungkinan untuk Pakatan Rakyat dalam PRU yang akan datang.  Pertama, seperti kejayaannya menafikan majoriti dua pertiga parlimen BN, PR menyempurnakan tugas yang gagal dicapai oleh Gagasan Rakyat, APU pada tahun 1990, juga BA pada tahun 1999, iaitu berjaya untuk menukar kerajaan.  Kedua, PR berpijak di tempat asal, mengekalkan kira-kira satu pertiga kerusi Dewan Rakyat, dan kuasa kerajaan di beberapa negeri.  Ketiga, PR kehilangan pengkalannya, dengan masa depan yang malap, malah mencetuskan kontradiksi dalaman dan antara parti, mengulangi nasib tiga pakatan pembangkang sebelum ini.
Jatuh bangun dalam 16 PRK
Selepas keputusan PRK Merlimau dan Kerdau, rata-rata menganggap BN telah kembali berkuasa di gelanggang yang pernah mereka tumpas sebelum ini.  Jadi, ia sememangnya memberangsangkan semangat BN untuk berdepan dengan PRU yang akan datang, dan PR mungkin gagal menangkis kemaraan tersebut.  Pada hakikatnya, pilihan raya kecil adalah pilihan raya pertengahan yang mencerminkan perubahan suara rakyat.  Namun demikian, disebabkan ia bukan berlangsung serentak di seluruh negara, maka ia turut memperlihatkan unsur tempatannya.
Seandainya PRK ini berlangsung di kawasan MCA atau Gerakan, hampir pasti BN akan kecundang.  Untuk memahami perubahan hasrat rakyat melalui PRK dengan lebih sempurna, kita perlu mengkaji keputusan pilihan raya yang lalu di kawasan tersebut.  Selain Sarawak, kawasan DUN dan parlimen di seluruh negara tidak disempadankan semula sejak tahun 2003.  Jadi kita boleh bandingkan keputusan PRK PR dengan keputusan PRU tahun 2004 (kemuncak BN), dan PRU tahun 2008 (kemuncak pembangkang, sewaktu “tsnami politik”).
Dari rajah di atas, kekencangan PR menyusuli tsunami telah menjadi lemah ketika PRK Penanti pada 31 Mei 2009.  Walaupun mungkin menggerunkan BN sebelum ini, sehingga tidak mengambil bahagian dalam PRK buat kali pertamanya.  Namun, PR telah kembali ke paras asalnya semasa PRK Manek Urai, dengan kemenangan yang tipis. Permatang Pasir adalah kawasan kuat PAS di Pulau Pinang, malah berada dalam lingkungan kawasan parlimen Anwar Ibrahim, maka prestasi tahun 2008 dikekalkan. PRK selepas ini, melainkan keajaiban yang muncul di Sibu, PR sebenarnya berlegar antara dua kemuncak, iaitu prestasi PRU pada tahun 2004 dan 2008. 
Sesungguhnya kegagalan PR di Kerdau dan Merlimau menunjukkan kelemahan PR di kawasan desa, tetapi ia tidak cukup untuk menggambarkan keadaan seluruh negara.
Seandainya ada lagi PRK sebelum genap tiga tahun Dewan Rakyat bersidang, malah kebetulan di kawasan Cina, maka PR mungkin dapat mengembalikan semangatnya, sebagaimana dalam PRK Sibu.  Sememangnya PRK sukar diduga, tetapi sudah pasti pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan dalam masa terdekat.  Jadi, pilihan raya Sarawak bakal menjadi peluang terakhir PR untuk menaikkan semangatnya.
Sarawak penentu kemenangan dan kekalahan?
Dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu, pembangkang memenangi 9 kerusi daripada 71 kerusi, prestasi pembangkang yang terbaik sejak tahun 1987.  SUPP menjadi MCA di Sarawak, dan menjadi pentanda pertama tsunami politik pada tahun 2008.
Kini, pemerintahan Taib Mahmud yang telah memunggah kekayaan dari bumi kenyalang untuk 30 tahun dibandingkan dengan Mubarak di Mesir.  Isu tanah adat bumiputera mungkin menjadi arus yang menderas di bawah untuk menumbangkan BN, dari kalangan kaum asal.  Meskipun jentera pembangkang agak lemah, namun masih berkemungkinan menembusi beberapa kawasan.
Di kawasan bandar pula, angin yang kencang bertiup di kawasan majoriti Cina.  SUPP mungkin tenggelam di selatan Sarawak (sekitar Kuching), dan pertarungan sengit di kawasan pertengahan Sarawak (sekitar Sibu) – mungkin mengulangi keputusan PRK Sibu.  SUPP hanya mungkin menang di bahagian utara Sarawak (sekitar Miri).
Dalam keadaan sedemikian, DAP dijangka merangkul 10-14 kerusi, dan PKR mungkin berjaya merampas kira-kira 10 kerusi.  Seandainya PR bekerjasama untuk merampas sekurang-kurangnya 20 kerusi, biarpun mungkin belum cukup untuk menafikan dua pertiga, namun tetap menggemparkan.
Maka Taib Mahmud semestinya berdepan dengan tekanan untuk berundur, dan tercetusnya pergelutan kuasa yang baru.  Paling penting, seandainya kuasa kerajaan negeri BN di Sarawak tergugat, maka ia bukan lagi “deposit tetap” untuk BN dalam PRU akan datang.  Semangat PR akan teruja, dan tekanan itu beralih kepada BN.  Justeru itu, biarpun BN kekal berkuasa, namun PR masih mampu mengekalkan kerusinya yang hampir satu pertiga dalam Dewan Rakyat.
Namun demikian, seandainya PR kecundang dalam suasana sebegini, dan hanya memperolehi kira-kira tiga hingga lima kerusi DUN Sarawak?  Bukan sahaja PR Sarawak akan menemui ajal, malah Najib Razak mungkin mengambil kesempatan untuk mengadakan PRU.  Jika itu berlaku, maka PR di peringkat persekutuan mungkin mengulangi nasib BA, hilang dari pentas politik selepas PRU – dan pertukaran kerajaan mungkin ditunda lapan atau 10 tahun kemudian.
Mengapa dikatakan Sarawak bakal menjadi penentu kemenangan atau kekalahan PR?  Ini kerana seandainya harapan untuk menawan Putrajaya berkecai, maka ketiga-tiga parti politik akan kembali kepada asasnya, lantas mencungkil kontradiksi antara tiga parti. 
Apakah pengharaman perjudian oleh PAS adalah reaksi spontan terhadap kekalahan PRK yang berturut-turut?  Jikalau BN kekal kukuh di Malaysia Timur, PAS yang hilang harapan untuk menawan Putrajaya akan menekankan dasar islamnya – untuk selamatkan dirinya.  Adakah DAP akan kompromi dengan keadaan itu?  Jadi, apakah manifesto yang ingin diketengahkan PR ketika itu?  Apakah mungkin PR tidak kalah?
Apakah PR Sarawak jelas dengan kepentingan dirinya?  Seolah-olah tidak.  Dalam saat-saat DUN Sarawak akan dibubar bila-bila sahaja, DAP dan PKR masih tegang kerana Dominique Ng – rundingan pengagihan kerusi yang belum diselesaikan.  Sementara itu, PKR juga bermasalah dengan SNAP.  Malah, rundingan manifesto bersama pun belum bermula!  Seandainya mereka terus melengah-lengahkannya, maka terpaksalah kita bersedia untuk menunggu 8 atau 10 tahun lagi, untuk pertukaran kerajaan persekutuan!
*Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview.  Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 8 Mac 2011

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List