Sarawak bukan lah negeri paling maju dalam Malaysia. Walau pun sebahagian kawasan tumpuan penduduknya agak pesat dibangunkan, jika dinilai secara nisbi dengan keluasan seluruh negeri, ia pada peratus masih kecil.
Majoriti kawasan di negeri itu masih dikategorikan sebagai pedalaman dan mundur. Ia bukan sahaja berhutan dan berbukit, malah secara fizikalnya tersisih dari arus pembangunan. Bahkan masih banyak penempatan yang tidak dibekalkan kemudahan asas utama seperti elektrik dan air paip.
Banyak kampung dan penempatan yang hanya dihubungi jalan berbatu dan berbecak. Sebahagiannya malah langsung tidak dapat dikunjungi menerusi jalan darat. Ia hanya ada akses menerusi jalan air atau udara.
Masih ramai penduduk Sarawak hidup dalam keadaan miskin dan melarat. Malah ada yang berkeadaan seumpama kehidupan orang Semenanjung sewaktu Perang Dunia Kedua, 70 tahun lalu.
Akses kepada media dan maklumat dunia luar pula tidak dinikmati seluruh penduduk negeri itu. Dalam kedaifan itu sukar diharapkan mereka mampu mengikuti perkembangan teknologi maklumat dunia tanpa sempadan. Jauh sekali untuk mereka menatap dan menilai maklumat dari media alternatif.
Mengambilkira hakikat keterbelakangan itu, Barisan Nasional (BN) sepatutnya tidak terlalu selesa melaungkan isu pembangunan tatkala berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kini. Parti itu sepatutnya malu pada diri sendiri untuk mendakwa kononnya hanya BN yang mampu membawa pembangunan dan kemajuan kepada negara, lebih-lebih lagi dalam konteks Bumi Kenyalang.
Malangnya kesedaran itu tidak cukup membugar di benak fikir para pemimpin BN. Sebab itu isu pembangunan kekal menjadi modal paling ampuh buat parti pemerintah itu, terutama dalam menangkis kemaraan pakatan pembangkang.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud siang-siang lagi mengingatkan rakyat negerinya agar tidak menjadikan PRN kali ini medan mencuba. Mereka seakan diberi amaran agar tidak terikut dengan tema ‘tukar’ atau ‘buat perubahan’ dilaungkan pembangkang.
Alasan utamanya, pakatan pembangkang tidak akan dapat membawa Sarawak ke arah kemajuan dan pembangunan. Sepertimana lain-lain pemimpin BN, Taib juga mendakwa Pakatan Rakyat terbukti tidak mampu memajukan negeri yang mereka kuasai. Justeru, apa lagi jika diberikan peluang memerintah negeri lebih besar seperti Sarawak.
Apakah beliau bermaksud mendakwa negeri itu lebih maju daripada Selangor dan Pulau Pinang? Atau Sarawak jauh lebih ke depan dalam pembangunan berbanding Kedah dan Kelantan?
Logiknya, Sarawak memang sepatutnya lebih maju. Beberapa faktor politik dan ekonomi melayakkan negeri itu berada jauh di depan lain-lain negeri.
Pertama, ia diperintah BN selamanya dan tidak pernah bertukar pemerintahan kepada lain-lain parti. Jika BN mendakwa hanya dia mampu membawa kemajuan dan pembangunan, ia sepatutnya membuktikan hal itu di Sarawak.
Di atas hakikat itu, BN tidak wajar menakutkan rakyat Sarawak kononnya jika pembangkang mengambilalih pemerintahan, Sarawak akan bertambah mundur atau tidak mampu dimajukan. Sedangkan setelah hampir separuh abad di bawah naungan Perikatan/BN, tahap pembangunan negeri itu bukan lah tersangat membanggakan.
Kedua, satu kelebihan bagi negeri diperintah BN ialah dokongan dan sokongan kerajaan Pusat. Atas dasar mempertahankan negeri diperintah sesama parti, BN Pusat melayan negeri-negeri berkenaan lebih baik berbanding negeri-negeri diperintah pembangkang.
Itulah diskriminasi politik BN yang diketahui umum. Oleh kerana Sarawak juga diperintah BN, bahkan sejak sekian lama dianggap aset kekal untuk BN mempertahankan kuasa di peringkat Pusat, sudah sepatutnya negeri itu mendapat layanan istimewa BN Pusat.
Ketiga, selain sokongan kewangan dari Pusat, negeri Sarawak sendiri sepatutnya tidak ada masalah merancang dan melaksanakan projek pembangunan. Negeri itu ada banyak sumber pendapatan, terutama khazanah semulajadinya. Sarawak adalah salah satu negeri pengeluar minyak negara dan yang pertama menghasilkannya.
Sarawak juga memiliki kawasan hutan paling luas. Ia menjadi sumber kewangan sangat besar. Malangnya tidak semua hasil dimanfaatkan untuk membangunkan negeri selayaknya. Usaha pembangunannya ada, tetapi amat tidak sepadan dengan pendapatan sumber alam itu.
Banyak cerita sebaliknya mendakwa kekayaan hasil bumi Sarawak lebih banyak berligar di kalangan kelompok tertentu, terutama yang ada kaitan dengan suku-sakat pembesar negeri. Pendedahan media mengenai krisis rumahtangga salah seorang anak Taib beberapa minggu lalu mungkin menjadikan petunjuk bungkah ais.
Logiknya, jika seorang anak pemimpin ada aset berbilion ringgit, apakah tidak mungkin anak-anak yang lain juga berkongsi taraf kemewahan hidup serupa? Bagaimana pula anak-anak para pembesar lain?
Bayangkan sekiranya seluruh hasil bumi itu benar-benar dimanfaatkan untuk pembangunan negeri. Kita rasa sudah tidak ada kawasan tidak mendapat kemudahan asas terutama air paip, elektrik dan rangkaian jalan raya.
Inilah masalah utama negara kita, termasuk di Sarawak. Bahawa pengurusan hasil sumber kewangan negara amat tidak kena dan mesti diperbetulkan. Kita percaya kesungguhan Pakatan Rakyat menguasai Bumi Kenyalang antaranya atas perjuangan memperbetulkan kepincangan ini.
0 comments:
Post a Comment