BN lawan PR: Peranan Mahkamah Pendapat Umum

on Apr 4, 2011

LEBIH satu dekat lalu, ketika Barisan Nasional masih berupa “the master of the castle” (tuan mahligai) dan pembangkang berpecah-belah, saya membuat ramalan mengenai kemungkinan BN berpakat dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP). 

Saya juga meramalkan kemungkinan DAP merampas Pulau Pinang. Ramalan itu saya buat setelah DAP mengalihkan pandangannya daripada cuba menguasai Melaka kepada menakluki Pulau Pinang.

Sekarang BN masih “the master of the castle”, tetapi mahligai dan kubu pertahanannya tidak sekuat dulu lagi. Sudah ada pinggir dan penjuru yang ditawan musuh. Pulau Pinang sudah jatuh ke tangan DAP dan rakan-rakan Pakatan Rakyatnya pada pilihan raya umum 2008. Begitu juga Selangor, Kedah, Kelantan dan Perak. Tetapi penarikan diri beberapa Ahli Dewan Undangan PR dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menyebabkan Perak jatuh baik ke tangan BN.

Pada PRU itu, pembangkang membuktikan bagaimana perjanjian pilihan raya boleh membawa kejayaan. Tetapi sejak itu, kesepakatan antara DAP, Parti Islam se-Malaysia (Pas) dan PKR dan tidak padu lagi. Ini diburukkan lagi oleh masalah dalaman PKR.

Ujian Pilihan Raya Sarawak

HARAPAN PKR memainkan peranan sebagai orang tengah nampaknya tambah luntur seperti yang sedang berlaku dalam rundingan pembahagian kerusi pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini. PKR dan DAP mengalami kesukaran bersetuju dengan parti sekutu mereka di Sarawak iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan antara satu sama lain.

Sebagai parti negeri, SNAP mempunyai kekuatan moral untuk membuat tuntutan walaupun ia tidaklah terlalu kuat. Manakala DAP dan PKR pula terpaksa berhati-hati agar tidak dilihat atau ditutuh membuli parti negeri. Pas tidak mempunyai masalah besar kerana peranannya di Sarawak terhad.

Ketidaksepakatan ini mencerahkan harapan BN Sarawak untuk terus menguasai negeri itu walaupun ia mempunyai masalah sendiri, khasnya pewarisan kepemimpinan BN negeri selepas Abdul Taib Mahmud.

Jika diandaikan benar bahawa BN telah mengalami pemulihan, namun ia tidaklah sekuat seperti pada PRU 2004. Apa yang akan membantu BN pada PRU akan datang adalah keretakan di kalangan parti-parti PR dan masalah dalaman PKR.

Hakikat pemulihan BN dan kelemahan PR ini paling disedari oleh DAP. Kepemimpinan DAP tahu kedudukan sebenar PR, khasnya kemampuan PKR terus menjadi orang tengah. Ini adalah kerana Pengerusi DAP, Karpal Singh terbabit membela ketua de fakto PR, Anwar Ibrahim, dalam kes liwat keduanya. Dia tentu tahu apa yang sebenarnya berlaku atau setidak-tidaknya pun dia boleh menjangka apa yang akan berlaku seterusnya.

DAP sedar tanpa PKR sebagai pemangkin, kerjasamanya dengan Pas akan terburai akibat perbezaan ideologi dan dasar yang terlalu luas. Lagipun, DAP dan Pas tidak saling gantung untuk terus memerintah negeri-negeri yang mereka kuasai.

DAP boleh memerintah Pulau Pinang tanpa Pas kerana Pas hanya menyumbangkan satu kerusi sahaja, tetapi ia memerlukan PKR yang menguasai tujuh kerusi. Manakala Pas boleh terus memerintah Kelantan tanpa PKR, tetapi memerlukan PKR dan DAP di Kedah.

Apakah tidak mustahil DAP berpakat dengan BN untuk memerintah Pulau Pinang seperti yang dilakukan oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia pada tahun 1969?

Gerakan, sebagai parti pembangkang, menewaskan Perikatan di negeri itu dalam PRU 1969. Ia menubuhkan kerajaan campuran dengan Perikatan dan kemudiannya menyertai BN. Gerakan menerajui Pulau Pinang selama 39 tahun sebelum ditewaskan oleh DAP pada PRU lalu.

Kalau pengundi Pulau Pinang yang majoritinya bukan Melayu boleh memberi mandat kepada Gerakan selama hampir 40 tahun, adalah tidak mustahil mereka akan memberi mandat yang sama panjang kepada DAP.

Sebagai kaum pedagang dan profesional, orang bukan Melayu, khasnya Cina, sedar bahawa untuk mengubah keadaan dan membawa kemajuan, DAP memerlukan masa yang cukup lama.

Soalnya bolehkah pengundi menerima pakatan atau kerjasama DAP-BN setelah mereka mula merasa dan melihat kebaikan daripada mempunyai pembangkang yang kuat?

Tidak dapat dinafikan iaitu mempunyai pembangkang yang kuat memberi kesan positif kepada sistem pengawasan dan perimbangan (check and balance).

DAP Menampakkan Pragmatisme

HAL ini disedari oleh DAP. Manakala ia akan terus mengasak BN di Parlimen, tetapi ia akan melakukan apa saja demi mempertahankan angsa bertelur emas dan permata nilamnya iaitu Pulau Pinang. Ini termasuklah berjinak-jinak dengan kerajaan pusat demi menjamin negeri itu terus mendapat peruntukan pembangunan.

Jadi saya tidak hairan langsung apabila media atas talian melaporkan yang kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan kesediaannya menggugurkan Pelan Induk Pembangunannya demi “membantu Putrajaya melaksanakan Program Transformasi Wilayah Besar Pulau Pinang.”

Portal berita bebas Malaysian Insider pada 2 April melaporkan bahawa Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mengalu-alukan langkah kerajaan pusat sambil berkata kerajaan negeri bersedia menawarkan sepenuh komitmen kepada inisiatif kerajaan pusat itu.

“Pulau Pinang mengalu-alukan inisiatif kerajaan pusat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk sama-sama memajukan Pelan Induk Wilayah Besar Pulau Pinang yang pada akhirnya akan menghasilkan sebuah bandar raya bercantum (urban conurbation) selaras dengan wawasan kerajaan negeri Pulau Pinang mewujudkan sebuah bandar raya pintar antarabangsa.”

Ini bukan cakap-cakap kedai kopi kerana Guan Eng mengeluarkan sebuah kenyataan khas mengenainya.
Tambah beliau: “Sebagi menyahut dan membuktikan keikhlasan serta komitmen kita kepada tawaran Perdana Menteri, kerajaan negeri bersedia mengenepikan Pelan Induk Perindustrian 2011-2015 yang sudah pun siap.”

DAP mengambil sikap pragmatik ini kerana kepemimpinannya sedar bahawa tanpa bekerjasama dengan kerajaan pusat, kemajuan Pulau Pinang mustahil boleh dikekalkan apatah lagi dipesatkan. Mohd Najib pula mahu menggunakan janji pembangunan itu untuk menjinakkan semula pengundi negeri itu kepada BN.

Saya mungkin silap (besar) kalau saya katakan bahawa kepemimpinan pusat yang dipelopori Umno lebih mudah atau lebih suka bekerjasama dengan DAP di Pulau Pinang daripada dengan PKR di Selangor dan dengan Pas di Kelantan dan Kedah.

Kalau tanggapan saya ini betul atau ada sedikit kebenaran, saya takut (amat takut) iaitu yang akan kerugian adalah orang Melayu yang berupa kaum majoriti di Kedah dan Kelantan.

Hatta di Selangor yang kaya itu pun, nasib orang Melayu mungkin tidak terbela kalau permusuhan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri menular dan merebak ke dalam arena ekonomi dan pembangunan.

Peranan Sistem Pengawasan dan Perimbangan

KESIMPULANNYA, manakala BN dikatakan semakin pulih dan PR semakin lemah, persoalan yang harus difahami adalah selera pengundi.

Apakah mereka akan terus mengekalkan pembangkang yang kuat demi menjamin wujud pewujudan sistem pengawasan dan perimbangan (check and balance) yang mantap atau mereka akan kembali kepada monopoli kuasa oleh BN?

Saya rasa pengundi, khas di bandar dan di kalangan kelas menengah tanpa mengira bangsa atau kaum, akan terus memberi pertimbangan serius kepada peranan pembangkang yang kuat bagi menjamin kewujudan sistem pengawasan dan perimbangan (check and balance) yang mantap.

Perwatakan calon mungkin akan mendapat keutamaan yang lebih tinggi daripada pengundi berbanding parti atau janji-janji pilihan raya memandangkan ramainya para Yang Berhormat sekarang, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, yang terbabit dengan pelbagai jenayah dan kegiatan tidak bermoral.

Dengan wujudnya persekitaran media massa yang lebih bebas dan demokratik serta terlindung daripada kawalan pemerintah, “mahkamah pendapat umum” (the court of public opinion) akan memainkan peranan penting mengadili moral, prestasi dan integriti pemimpin dan bakal pemimpin.

Era hegemoni dan pembolotan kuasa oleh BN mungkin sudah berlalu. Walaupun pada zahirnya PR nampak tidak sekuat PRU 2008, namun potensinya untuk terus menjadi pencabar kepada BN tidak boleh dinafikan.

Manakala BN dan PR boleh berikrar dan berjanji dengan manifesto yang hebat bunyinya, tetapi pengundi, khasnya di bandar dan di kalangan kelas menengah, mempunyai aspirasi dan tuntutan mereka sendiri. Politik pangkah parti mungkin tidak mutlak lagi.



0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List