Sudah nasib, wanita perlu ‘bertelanjang’ untuk bersukan...

on May 2, 2011

ADEGAN seorang lelaki asyik menonton siaran langsung sukan renang (air) dan gimnastik di kaca televisyen dimarahi isterinya kerap menjadi bahan lakaran kartunis. Bukan apa, isteri meradang melihatkan keasyikan si laki melihat tubuh wanita yang terbabit dalam acara sukan berkenaan.

Memang dunia sukan menampilkan atlet wanita yang memakai ‘seadanya’ dalam acara berkenaan dan kini ditambah lagi dalam acara seperti bola tampar pantai, malah dalam acara olahraga pun pesertanya tampil dengan pakaian menyamai coli dan seluar dalam.


Sesetengah atlet wanita Malaysia masih kekal dengan singlet dan seluar pendek tetapi sesetengah yang berani sudah mengikut rakan mereka dari Barat.

Dalam acara badminton, biasanya peserta wanita tampil dengan baju-T dan seluar pendek. Mulai 1 Mei ini pemain wanita dikehendaki memakai skirt pula – itulah kod pakaian baru Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Semua pemain wanita perlu memakai skirt pada kejohanan Grand Prix dan kejohanan utama yang menurut IMF akan menjadi daya tarikan kepada sukan tersebut. Apa tak tertariknya lelaki kerana apabila pemain melompat, akan terangkat-angkatlah skirt itu dan berdebar-debarlah hati dan terbelalaklah biji mata mereka!

Demikianlah betapa sukan moden mengeksploitasi tubuh wanita. Tetapi wanita sendiri tidak bantah, malah suka pula, jadi apa boleh dilakukan?

Dalam isu ini, tidak terdengar pula pemimpin dan aktivis-aktivis wanita yang biasanya lantang bersuara, menyatakan bantahan. Mungkin mereka suka agaknya. Apabila mereka suka, takkan kita ini yang hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong nak ke depan?

Namun sukacita kita nyatakan dalam bab berhubung pakaian ahli sukan wanita ini, pemimpin dan aktivis Iran kerap ke depan bagi memperjuangkan hak wanita untuk berpakaian sempurna ketika bersukan. Tidak lama dulu, Persekutuan Bola Sepak Iran memperjuangkan agar anggota pasukan bola sepak wanita mereka diberi hak untuk mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya (termasuk bertudung kepala) pada satu kejohananan antarabangsa di Singapura.

Iran juga pernah menganjurkan Sukan Negara-Negara Islam yang membabitkan atlet wanita yang menutup aurat sepenuhnya di tempat tertutup pula. Di kejohanan-kejohanan antarabangsa pun wanita Iran muncul dengan pakaian menutup aurat.

Jika pemerintah Iran bertegas, bagaimana pula sikap kita, termasuklah individu (atlet) sendiri? Jika atlet Bahrain, Rugaya Al-Ghasari istiqamah berhijab sekalipun bertanding di Sukan Olimpik, bagaimana ahli sukan kita?

Jika Rugaya yang menjuari acara 200 meter Sukan Asia di Doha beberapa tahun lalu boleh berhijab, apalah sangat diri kita yang masih terhegeh-tegeh mencari medal di Sukma atau Sukan Sea sehingga sanggup pakai seluar dan baju katuk!

Jika wanita Islam sendiri tidak bangkit menyatakan ketidakadilan badan-badan sukan antarabangsa lebih-lebih lagi yang ada dalam negara, siapa pula mahu memperjuangkan harga diri dan maruah mereka? Nak harapkan pemimpin dan aktivis berfikiran sekular...usah haraplah!




0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List