Mencari Realiti PRU13

on Dec 4, 2011

Realiti PRU13



ANTARA persoalan paling berlegar selepas Perhimpunan Agung UMNO semalam, ialah bila Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?

Dalam amanat dan ketika penggulungan, Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak telah meniupkan semboyan perang menghadapi PRU13.

Kita semua boleh ghairah meramal dan memperkatakannya tetapi beliau sebagai Perdana Menteri, yang akan membuat penentuan akhir.

Persoalannya, bersediakah Barisan Nasional (BN) untuk memberi impak jika PRU13 diadakan dalam masa terdekat.

Ada yang berpendapat, kerajaan BN perlu menunggu lebih lama agar dapat mencatat kejayaan besar dan memperoleh majoriti dua pertiga.
Awang ada pandangan yang berbeza. Walaupun majoriti dua pertiga menjadi idaman mana-mana parti apatah lagi parti pemerintah, janganlah ia menjadi isu yang mengekang dan akhirnya memerangkap BN.

Dalam mendepani landskap politik yang sama sekali berlainan, kita harus lebih realistik. Keputusan PRU12 telah meninggalkan kesan besar, yang tidak mudah dipadamkan semuanya. Meskipun pakatan pembangkang gagal meningkatkan momentum sokongan rakyat, malah makin kurang popular berbanding ketika 2008, namun ada faktor lain yang tidak boleh diambil mudah.

 Ini termasuk ketidaktentuan setakat ini dalam mendapatkan sokongan lebih besar daripada kaum Cina.

Perkembangan politik dunia juga tidak lagi sama seperti dulu. Lihatlah di beberapa negara Arab.
Walaupun senario di Malaysia jauh lebih baik termasuk dari segi rekod demokrasi, kestabilan, pencapaian ekonomi dan kerajaan serta pemimpin negara yang mesra rakyat namun kerajaan tentunya mahu mengambil iktibar.

Awang lega kerana perwakilan menampakkan kebijaksanaan dengan tidak melaungkan soal majoriti dua pertiga. Beria-ia berbuat demikian juga boleh dilihat oleh sebahagian rakyat sebagai angkuh.

Maka memperoleh kemenangan dengan majoriti selesa pada PRU13, sudah memadai. Pada Awang, ia juga boleh dianggap kejayaan besar. Jika BN menang dengan majoriti selesa sekalipun, ia adalah malapetaka buat pakatan pembangkang yang ghairah melihat PRU13 sebagai kesempatan terbaik untuk berkuasa.

Seandainya BN peroleh majoriti dua pertiga, itu bonus yang boleh dimanfaatkan di Dewan Rakyat. Setiap pertempuran tidak sama sifat, kompleksiti dan cabarannya. Yang sangat dituntut selepas Perhimpunan Agung UMNO ialah taat setia, pengorbanan, perpaduan kukuh dan tidak mengkhianati parti sebagaimana ikrar yang lafaznya diketuai oleh Timbalan Presiden, Muhyiddin Yassin, semalam.

Cabarannya nanti, realiti di Dewan Merdeka tidak sama dengan medan sebenar termasuk ketika penentuan membariskan calon PRU13. Tetapi Awang yakin semboyan yang ditiupkan oleh Najib memberi kesan yang bukan sedikit. Penampilannya yang cukup menyakinkan dan membangkitkan semangat perwakilan ketika penggulungan, memercikkan gelombang keyakinan baru. Kepada orang Melayu, sekali lagi terjamin menerusi penegasan Najib bahawa UMNO tetap benteng dan wadah bernilai buat bangsa.

Kepada rakyat Malaysia, UMNO boleh menjadi sandaran dalam membina masa depan yang gemilang untuk semua. Sudah terbukti begitu sejak dahulu lagi. Bahkan, transformasi Najib dalam ekonomi, pentadbiran dan politik mula menampakkan hasil. Ramai pemerhati antarabangsa tertarik dengan pembaharuan oleh beliau ketika banyak pemimpin negara lain berada di takuk dan gaya lama.

Misi membawa kemenangan pada PRU13 bukan tergalas di bahu Najib dan beberapa kerat pemimpin sahaja tetapi semua orang BN dan rakyat Malaysia yang melihat jauh ke hadapan. Apa yang kita tunggu selepas ini ialah pengumuman pembubaran Parlimen dan senarai calon. Apa kejutannya? -Utusan


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List