Ada sekurang-kurangnya dua perkembangan positif sejak kebelakangan ini berhubung demokrasi dan kebebasan bersuara di negara ini. Dua berkenaan ialah masing-masing satu daripada administratif dan legislatif.
Pertama, pada 30 Oktober 2011, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dilaporkan berkata, penuntut universiti perlu diberi sedikit ruang untuk melahirkan suara mereka berkaitan isu semasa selari dengan janji demokrasi kerajaan.
Bagaimanapun beliau tidak setuju mahasiswa terbabit dengan sebarang demonstrasi kerana bimbang akan digunakan oleh sesetengah pihak bagi kepentingan politik mereka.
Ini adalah keputusan bersejarah dalam undang-undang membabitkan pentadbiran dan pengurusan institusi pengajian tinggi negara ini.Dan semalam, Mahkamah Rayuan memutuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku 1971) yangmelarang penuntut universiti menyertai politik bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah membuat keputusan 2-1 dalam permohonan empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha – mencabar peruntukan 15(5)(a), Auku 1971.
Defendan terdiri daripada kerajaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM.
Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dalam penghakiman 21 muka surat berkata, Seksyen 15(5)(a) adalah tidak rasional kerana ia menghalang pembangunan pemikiran kritis dan asli penuntut yang institusi pengajian tinggi berusaha untuk mencapainya.
Katanya. universiti seharusnya menjadi tapak semaian ahli reformis dan pemikir dan bukan institusi untuk melahirkan penuntut ibarat robot. Jelas sekali, katanya, peruntukan itu bukan sahaja tidak produktif malah menindas.
Selain itu, menurutnya, kebebasan bersuara adalah satu daripada hak asasi utama yang dinikmati seseorang individu dan hak itu turut diiktiraf dalam pelbagai dokumen hak asasi manusia seperti Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik.
Ia adalah asas kepada pewujudan demokrasi dan menghormati nilai diri seseorang dan kebebasan bersuara diberi status terunggul dalam perlembagaan kebanyakan negara.
Seperti dilaporkan malaysianinsider.com, beliau tidak dapat memahami cara mana seseorang penuntut yang menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap sebuah parti politik, boleh memudaratkan atau membawa kesan buruk kepada ketenteraman awam atau prinisp moral.
Hishamuddin berkata, kebanyakan penuntut universiti sudah mencapai usia matang yang mereka boleh menjalin perjanjian, saman dan disaman, boleh berkahwin dan memikul tanggungjawab ibu bapa serta mengundi jika mencapai usia 21 tahun.
“Namun secara ironi, mereka dimaklumkan secara sah mereka tidak boleh berkata apa-apa yang boleh dianggap sebagai sokongan atau bangkangan terhadap sebuah parti politik,” katanya.
Datuk Linton Albert pula dalam penghakiman 15 mukasurat berpendapat seksyen itu melanggar Artikel 10(1)9a) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan bersuara dan ekspresi.
“Sebuah enakmen perundangan yang melarang penyertaan dalam PRK adalah aspek penting demokrasi dan tidak dalam sebarang standard dikatakan sebagai munasabah,” katanya.
Nah, sekarang jelas. Kepada pihak yang masih terbelenggu dengan dokma lama kononnya mahasiwa perlu ‘diikat atau ditambat’ agar tidak terbabit dengan sebarang aktiviti politik, kini patut sedar bahawa ia satu tindakan negatif dan amat tidak wajar dari sudut demokrasi, kebebasan berusara, malah hak asasi manusia.
Hujah yang menyatakan pembabitan mahasiswa akan menyebabkan pencapaian akademik terjejas adalah dangkal dan tidak benar sama sekali. Ia satu pembohongan nyata.
Di negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, mahasiwa diberi kebebasan bersuara tetapi unversiti mereka sentiasa menjadi ‘superior’ dan berada pada ‘ranking’ terbaik di dunia!
Apa status universiti Malaysia? Mereka yang menyokong supaya mahasiswa ‘diikat dan ditambat’ patut tahu apa kedudukan universiti negara ini berbanding universiti negara lain.
Justeru, mahasiswa, malah rakyat keseluruhannya, tidak sepatutnya diletakkan sama taraf dengan haiwan peliharaan; di mana ditambat di situlah tempat makan, kencing dan berak.
Sudah tentu kita semua tidak mahu demokrasi di negara ini menjadi hanyir dan jijik!
sumber
0 comments:
Post a Comment