KITA SAMA-SAMA ISLAM.
Tiba-tiba bum...., kereta saya dilanggar dari belakang. Saya terpaksa berhenti di persimpangan sebuah bulatan. Seorang lelaki Melayu keluar dari sebuah kereta mewah. Saya kira dia hanya seorang pemandu… ada tuannya yang duduk di sebelah kiri bahagian belakang. Juga seorang Melayu.
“Assalamualaikum. Allah humma salli ala Muhammad…” ujar pemandu itu berkali-kali sambil menghulurkan tangan buat bersalam.
Saya menjawab salam dan kemudian terus berjabat tangan.
“Selesai cara mudah sahaja. Kita orang Islam.”
“Ya. Ya, “jawab saya sambil memerhati kerosakan kereta. Kereta mewah yang dipandunya tidak rosak apa-apa tetapi kereta saya memang teruk. Congak saya jika dihantar ke kedai anggapannya tidak kurang rm 500.
“Ya kita buat cara mudah. Kita saling bermaafan sahajalah. Lupa-lupakan sahaja. Lagipun saya tidak sengaja.”
“Tapi tuan melanggar dari belakang. Ini satu kecuaian. Lagipun saya perlu kos untuk membaiki kereta saya ni.”
“Alllhahumma salli ala Muhammad… kita bermaafanlah.”
“Ya. Tetapi kita mesti bertanggung jawab…”
Dia pergi menemui tuannya yang tidak pun keluar dari kereta sejak tadi. Asyik membaca akhbar. Ya, dia orang besar.
“Beginilah encik, ambil kad ini dan talifon kita berurusan kemudian. Kami yang salah, insyaAllah kita ‘settle’ nannti. Jangan lupa call nombor ini ya,” sambil memberi kertas yang ada catatan no talefon.
Oleh sebab percaya dan tidak mahu menyusahkan kereta-kereta yang sudah berbaris di belakang saya menerima kertas itu dan berlalu segera.
Satu hari, dua hari, tiga hari dan sehingga seminggu… saya menalipon nombor yang diberikan. Namun tidak ada jawapan. Cuma sekali ada bunyi diangkat dan saya disergah oleh suara kasar dengan bahasa asing. Tidak ada selawat lagi!
HARGA SEBUAH KEJUJURAN
"Betul ke ni?” tanya saya.
“Betul ayah. Dia berjanji menunggu di kedai inilah,” jawab anak saya.
“Kalau betul memang nyonya tu hebat. Berlanggar dua hari lalu, hari ini janji nak bertemu baiki kereta kita yang rosak, “ kata saya.
Dua hari yang lalu kereta anak saya dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh seorang nyonya tua. Nyonya itu yang salah, buat ‘reverse’ ke belakang tanpa toleh. Begitu menurut anak saya. Akibatnya, dua buah lampu depan kereta anak saya pecah. Nyonya itu berjanji untuk menggantinya di sebuah kedai yang ditentukannya sendiri. Dia sudah biasa di kedai itu. Anak saya baru sahaja mendapat lesen, sangat naif dengan insiden seperti itu. Main percaya sahaja.
Harapan saya 50-50.
“Kalau nyonya Cina tu tak sampai lagi cuba call,” cadang saya kepada anak.
Sedang anak mendail tiba-tiba, seorang nyonya tua berwajah bersih datang dari arah belakang lantas berkata, “Selamat pagi. Maaf, saya lambat sikit. Jalan ada jam sikit. Oh, ni bapak you ka? Semalam saya kata you jangan takut nanti saya terangkan sama bapak you saya yang salah.”
Saya tertawa. Terhibur dengan keramahannya. Kami segera berurusan. Lampu diganti dan kemik kereta di bahagian hadapan pun dibaiki. Semua perbelanjaannya ditanggung oleh nyonya Cina itu.
Ternyata dia menepati janji. Bayangkan, bukan mudah tanpa ada apa-apa ‘gerentor’, hanya berbekalkan kepercayaan… dia benar-benar menepati janji.
Terus terang dalam hati saya terdetik, alangkah baiknya jika dia seorang Islam. Dalam diam saya berdoa, semoga dia menerima hidayah..!!!
P/s Pada pandangan saya yang kerdil ini, bukan isu perkauman… tetapi isu kejujuran yang telah diragukan..!!!! Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment