Abby Abadi : 'Bayar dulu duit hantaran kahwin saya RM11,111.11'
"SEPATUTNYA Norman Hakim jelaskan dulu hutang wang hantaran kahwin saya sebanyak RM11,111.11 dan kemudian barulah dia beri pula wang hantaran baru kepada orang lain," pinta Abby Abadi, 32, kepada bekas suaminya, Norman Hakim, 34, yang dijadualkan bertunang dengan Memey Suhaiza Suhaimi, 22, pada raya keempat kali ini.
Pengakuan menggemparkan Abby atau nama sebenarnya, Arbaeyah Abdul Manan itu dibuat kepada Rap, baru-baru ini.
Kata Abby, dia tiada hak untuk menghalang Norman bertunang atau berkahwin lagi tetapi meminta agar diselesaikan dulu hutang wang hantarannya lapan tahun lalu (mereka menikah pada 8 Januari 2002) dan apa yang sewajarnya dilakukan sebagai seorang ayah kepada tiga anak mereka, Mohamed Danish Hakim, 7, Marissa Dania Hakim, 5 dan Maria Danisha Hakim, 2.
"Saya bersyukur dengan kehidupan saya dan apa yang baik untuk Norman. Saya tak kisah pun kalau mereka nak berkahwin tapi masalahnya sekarang sebelum dia sediakan wang hantaran baru, dia perlulah bayar hantaran saya dulu. Wang itu boleh juga saya gunakan untuk perbelanjaan anak-anak kami.
"Mereka semakin besar dan perlukan perbelanjaan yang banyak. Selama ini apa yang Norman buat tak seperti yang diucapkannya. Sejak dulu saya menanggung semuanya. Sekarang pun dia masih tak menanggung nafkah anak-anak dengan sepenuhnya. Dia cuma bagi ala kadar dan ikut suka hati.
"Sekarang saya sedang menjalani penggambaran telefilem raya, Sabar, arahan Erma Fatima. Norman berlakon sama dan kami sebagai pasangan suami isteri. Banyak jugalah babak saya dengannya. Ini kali pertama kami berlakon bersama selepas bercerai dan mungkin lakonan saya bersamanya buat kali terakhir juga.
Click Here
"Saya tahu dia akan berlakon sama dan saya ambil tawaran itu pun demi mencari rezeki untuk anak-anak. Saya tak kisah langsung berjumpa dia di lokasi yang sama. Saya pun bukannya orang gila nak bergaduh tak tentu pasal.
"Ingatkan apabila sudah berdepan dengannya bolehlah dapat bajet untuk belanja raya tapi tak nampak bayang pun. Selama ini saya berdepan dengan manusia yang tidak ada hati dan perasaan.
"Di lokasi saya buat biasa saja dan kalau perlu bercakap pun berkaitan anak-anak. Kalau tak sebab anak, saya tak perlu ambil tahu apa pun yang terjadi padanya. Banyak perkara yang dia patut selesaikan dan dah berjuta kali saya cakap tapi bak kata pepatah, macam curah air ke daun keladi, tak berbekas langsung.
"Apa yang saya buat dan cakap, seolah-olah tak memberi impak kepadanya. Banyak lagi cerita yang saya simpan, kalau saya keluarkan nanti takut ramai terkejut. Tapi tak perlulah saya buka aib orang, cuma saya tengok dia jenis tak tahu menghormati perasaan saya sebagai wanita, bekas isteri dan ibu kepada anak-anaknya," kata Abby dengan kesal.
Sejak awal perkahwinan lagi tambah Abby, Norman tidak bersedia untuk meletakkan dirinya sebagai seorang suami.
"Saya tak tahu apa yang difikirkannya. Dia hendak buat apa, sesuka hatinya saja dan saya rasa ia tidak patut berlaku. Selama ini saya banyak mengalah dan apabila saya memutuskan hendak bercerai, perkara itu semakin memberi ruang kepadanya untuk bersikap lepas tangan.
"Bagusnya apabila perceraian itu berlaku, terlepaslah bebanan perasaan saya dan dapat memberi tumpuan kepada anak-anak. Barangkali ramai yang kata saya kuat dan untuk itu saya sangat berterima kasih kepada Allah swt kerana beri kekuatan ketika saya sangat memerlukannya.
"Tapi saya juga manusia biasa dan setiap kali terkenang perbuatannya, saya menangis sendiri. Mungkin ramai anggap saya terlalu berterus-terang tapi sebenarnya banyak lagi perkara yang saya pendam," katanya.
Kepada Memey, pnta Abby jangan diulang lagi yang dia dapat menerima anak-anaknya sebagai anaknya sendiri.
"Mereka adalah anak-anak dan zuriat saya dan saya amat berat hati untuk menerima Memey menjadi ibu mereka. Dia langsung tak menghormati perasaan saya. Kalau teringin hendak anak juga, beranaklah sendiri, jangan ambil anak orang.
"Begitu indah susunan kata Norman apabila media bertanya mengenai tanggungjawabnya kepada anak-anak. Berapa sen sangat yang dia bagi. Kalau dia bercakap benar, cuba suruh dia bercakap mengenai perkara itu depan saya.
"Sepatutnya soal pemberian nafkah diputuskan sama ketika hendak bercerai dulu tapi atas nasihat peguam demi tak mahu panjangkan cerita, lebih baiklah ia dibincangkan di luar mahkamah.
"Tapi inilah jadinya dan sekarang kalau saya mahu buka balik kes ini, saya sendiri tak mampu nak bayar peguam. Apa yang saya buat sekarang, hanyalah untuk anak-anak," katanya.
Abby juga sempat beritahu anak bongsunya yang dipanggil Baby akan menyambut hari lahirnya ke dua pada 17 September ini. Katanya, Baby paling kurang mendapat kasih sayang ayahnya kerana sebaik saja dilahirkan, mereka bercerai.
Beralih kepada sambutan Syawal ini, Abby bercuti 10 hari dan menyambutnya di rumah ibu bapanya di Keramat, Kuala Lumpur. Sejak terjadinya perceraian itu, Abby berpindah ke kediaman baru berdekatan rumah orangnya.
"Kami baru bercerai dua tahun tapi sebenarnya sudah tiga kali anak-anak beraya tanpa ayahnya kerana sebelum bercerai lagi, Norman sudah tidak balik ke rumah. Walaupun saya dapat menyediakan segala keperluan hari raya untuk anak seperti baju dan kasut namun mereka terlalu kecil untuk memahami kenapa keluarga mereka tak sempurna seperti keluarga orang lain. Danish banyak bertanya dan kerana dia sudah besar saya kena jelaskan padanya.
"Walaupun banyak perkara belum selesai tetapi hati saya sedikit lapang tambahan sejak menetap berhampiran rumah emak. Bapa pun tak berapa sihat dan dalam keadaan saya sekarang, saya sentiasa perlukan emak dan ayah ada hampir dengan saya. Kalau saya ada penggambaran, senanglah mereka menjenguk cucu mereka," katanya lagi.
Kebetulan ketika sesi fotografi itu 'teman tapi mesra' Abby, iaitu Zulkifli Ariffin (Zul), 24, ada sama. Kelihatan Zul begitu mesra dengan anak-anak Abby namun seperti dijangka Abby atau Zul cuma bersahabat dan belum memikirkan untuk mengikat ikatan lebih kukuh.
Tumpuan Abby lebih kepada anak dan Zul juga ingin menstabilkan dulu kedudukannya dalam bidang seni.
"Saya tidak reti menipu, inilah hakikat hubungan kami dan terserah pada ketentuan Allah swt," katanya.
Zul pula berkata, dia menerima Abby sebagai seorang sahabat dan bersimpati dengan nasibnya.
"Apa orang hendak kata mengenai kami, saya tidak boleh halang," kata Zul yang balik beraya di kampungnya di Air Kuning, Taiping, selama 10 hari bersama orang tua tersayang.
Kelantan: 28 pendatang ditahan di sekitar Gua Musang
1 minute ago
0 comments:
Post a Comment