Pembunuhan kejam Sosilawati: ‘Wati lega agih syarikat pada anak’
Copy & Posted By mahi on Sep 15, 2010
KUALA LUMPUR: ‘Wati lega, anak-anak sudah habis belajar dan tanggungjawab lima syarikat sudah diagihkan kepada anak,’ luah jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, kepada peguamnya, Datuk Zaidi Zain ketika pertemuan terakhir mereka pada 26 Ogos lalu.
Zaidi berkata, ketika memaklumkan perkara itu, Sosilawati seolah-olah mahu berhenti daripada menguruskan perniagaan dan menyerahkan semuanya kepada lima anaknya yang sudah menamatkan pelajaran.
“Ia seperti petanda. Dalam perbualan itu, saya tidak mengesyaki sesuatu dan hanya menganggap dia sudah letih menguruskan lima syarikatnya di Kuala Lumpur dan Selangor sehingga mahu melepaskan tanggungjawab itu kepada anaknya,” katanya semalam.
Beliau berkata, selain bercerita mengenai perniagaannya, Sosilawati memaklumkan beliau banyak ditipu oleh individu di sekelilingnya termasuk orang kanannya yang selama ini diberi kepercayaan penuh menguruskan kewangan syarikat.
“Wati hanya meluahkan perasaannya dan meminta nasihat saya untuk terus bangkit dan tidak mudah berputus asa mengenai masalah itu. Saya tidak sangka, itu kali terakhir saya bercakap dan berjumpa dengan Wati yang dikenali sejak 13 tahun lalu,” katanya.
Zaidi menyifatkan Sosilawati yang dikenali sepanjang tempoh itu sangat baik dan seorang yang bekerja kuat tanpa bergantung kepada individu lain.
“Wati seorang yang kuat semangat dan akan berusaha sebaik mungkin untuk memperoleh apa yang diimpikan. Semua yang berlaku sudah tersurat dan berharap anaknya kuat menghadapi ujian itu,” katanya.
BH Online
Labels:
Sosilawati
0 comments:
Post a Comment