MAKA GUGUR LAH PANGLIMA PERANG AZMIN........???

on Sep 27, 2010

Panglima perang Azmin tumbang......macam-macam lagi ‘cacamarba’ warnai pemilihan........




Ketika Azmin Ali - anak emas Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului dengan selesa pencalonan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, pemilihan di peringkat cabang parti itu penuh dengan kejutan.
Beberapa pemimpin PKR yang dilihat penyokong kuat Azmin tewas dalam pemilihan jawatan Ketua Cabang.
Antaranya Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abbas, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Exco Selangor yang panas dengan isu gambar separuh bogel, Elizabeth Wong tewas di Petaling Jaya Utara.
Lebih parah cabang Teluk Kemang menyintuk limau luka dengan mencalonkan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Timbalan Presiden dan Anwar yang tak mau bertanding apa-apa jawatan sebagai Presiden.

Kamarul Baharain cuma mendapat 137 undi manakala saingannya M Ravi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Port Dickson mendapat 279 undi. 
Malah, Naib Presiden Mustafa Kamil Ayub yang sudah cukup pencalonan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden juga tewas di Pasir Salak.
Inipun hanya jumlah diperolehi Agendadaily sebelum pemilihan pringkat cabang yang dijadualkan berakhir minggu depan.

Dalam perkembangan berkaitan,Nurul Izzah yang diketahui menyokong Zaid juga menang sebagai Ketua Cabang Lembah Pantai.Beliau mendapat 429 undi menewaskan tiga calon lain.
Melihat kepada kekalahan Kamarul Baharin dan Johari – antara orang kuat Azmin, timbul banyak persoalan sama ada ahli parlimen Gombak itu yang sudah memperolehi 78 pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden boleh menewaskan Datuk Zaid Ibrahim.
Ada sumber PKR mendakwa, perwakilan cabang menghantar mesej awal kepada Anwar dan Azmin bahawa ‘team Azmin’ tidak akan menang mudah dalam pemilihan utama November ini.
Bagi mereka, kalau Ketua Umum itu mahu Azmin menang pencalonan, mereka boleh bagi tetapi soal undi pada pemilihan kelak, ahli-ahli peringkat bawahan akan menentukan.
Itulah padah diterima Kamarul Baharin, Johari, Elizabeth dan juga Mustafa Kamil apabila ahli-ahli menggunakan ‘kuasa mereka’.
Kekalahan Kamarul Baharin dan Johari yang boleh dianggap panglima Azmin pasti mengejutkan beliau kerana dalam menyatakan sokongan kepadanya, kedua-dua ahli parlimen itu yang paling ke depan.
Baru-baru ini Kamarul Baharin sendiri mengetuai kumpulan membuat ikrar bersama ahli parlimen PKR yang lain bahawa mereka tidak akan ‘lompat parti’ ketika beberapa ahli parlimen parti itu keluar dan jadi ahli parlimen Bebas.
Kamarul juga mengetuai kumpulan menyatakan sokongan terhadap Azmin jika Naib Presiden itu bertanding menentang Zaid bagi jawatan nombor dua parti itu.
Sebenarnya, banyak pemilihan cabang PKR dalam suasana kelam kabut dengan risiko pemilihan digantung sekiranya keputusan tidak memihak selera Anwar dan Azmin.
Ada juga insiden pergaduhan antara kumpulan yang bertanding termasuk kejadian membalik kotak undi seperti di cabang Klang, Kapar dan Kuala Langat.

Di Kota Raja keadaan menjadi tidak terkawal hinggakan kotak undi terpaksa dibawa ke ibupejabat PKR di Tropicana.

Di Petaling Jaya Selatan pemilihan terpaksa ditangguh kerana urusetia tidak cukup kertas undi.

Elizabeth Wong pula telah membuat bantahan atas kekalahannya kerana mendakwa pemenang Lee Chin Chen adalah ahli PKR cabang Petaling Jaya Selatan bukan Utara.
Timbul dakwaan penggunaan gangster dan wang untuk meraih undi dan menakut-nakutkan perwakilan.
Apapun, Azmin yang dilihat selesa dengan pencalonan besar belum boleh goyang kaki atau tidur lena kerana ‘mesej’ yang dihantar pada pemilihan cabang boleh menjadi mimpi buruk kepadanya.
Sekiranya, pencalonan yang diterima itu dijadikan ukuran, memanglah Azmin sudah pasti menumpaskan Zaid atau Mustafa Kamil.
Bagaimanapun, tidak mustahil Azmin akan terperangkap dengan mainan perwakilan peringkat bawahan yang sudah bosan dengan beliau serta Anwar yang mahu menguasai parti tanpa memberi laluan kepada pemimpin lain.
Tidak mustahil Zaid yang kini mendapat 29 pencalonan akan menang pada pemilihan kelak kerana pencalonan yang diterima olehnya mungkin ikhlas daripada perwakilan yang mahu melihat perubahan dalam PKR.
Kini ramai berdebar-debar menunggu keputusan pemilihan November nanti untuk melihat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kekal Presiden, Zaid timbalan manakala Nurul Izzah Anwar antara dipilih Naib Presiden.
Jika ini berlaku, Azmin boleh ucapkan ‘sayonara’ kepada PKR kecualilah Anwar mahu terus membela Adun Bukit Antarabangsa itu dengan mewujudkan satu jawatan yang tiada dalam perlembagaan parti sama seperti Ketua Umum asalkan Anwar dan Azmin tetap bersama.
Agendadaily

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List