Karpal: Penghakiman bertulis mesti dalam BM

on Sep 27, 2010

Peguam kanan Karpal Singh membangkitkan isu perlembagaan di Mahkamah Persekutuan hari ini dengan menegaskan bahawa semua penghakiman bertulis mestilah dibuat dalam Bahasa Malaysia.

Beliau berkata, para hakim harus memenuhi syarat-syarat Akta Bahasa Kebangsaan, dan bahawa "semua penghakiman bertulis dalam Bahasa Inggeris hendaklah diisytiharkan batal dan tidak sah".

Karpal menegaskan demikian dalam bantahan awalnya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Datuk Seri AnwarIbrahim berhubung saman fitnah yang difailkannya pada 2006 terhadap mantan perdana menteri Tun Dr MahathirMohamad.

Karpal meminta mahkamah tertinggi itu mengarahkan Mahkamah Rayuan menulis penghakimannya dalam Bahasa Malaysia, dan selepas itu, permohonan rayuan boleh diteruskan.

Sambil berhujah bahawa penghakiman bertulis dalam Bahasa Inggeris mungkin tidak mengikut perlembagaan, Karpal kemudian memberitahu wartawan bahawa permohonan berhubung bantahan awalnya itu mungkin mempunyai kesan yang serius.

"Sebahagian besar penghakiman bertulis dalam kes jenayah dan sivil adalah dalam Bahasa Inggeris di semua peringkat mahkamah.
"Oleh kerana itu, ini menimbulkan persoalan terhadap kesahihannya dalam bidangkuasa semua penghakiman yang ditulis dalam bahasa Inggeris," katanya.

Menurut Karpal, Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan bahawa semua prosiding (selain pemberian keterangan) di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau sebarang mahkamah bawahan, harus dalam bahasa kebangsaan.

Peruntukan itu juga, katanya, tertakluk ke atas para hakim, kerana ia tidak menyediakan mereka pengecualian untuk menulis penghakiman dalam bahasa Inggeris.

Seksyen 8 juga menyebut bahawa pihak mahkamah, boleh sama ada atas usulnya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding - dan setelah menimbang kepentingan keadilan dalam prosiding berkenaan - memerintahkan prosiding (selain saksi memberi keterangan), boleh sebahagiannya dibuat dalam bahasa kebangsaan dan sebahagian lagi dalam Bahasa Inggeris.

Dalam menolak rayuan Anwar sebelum ini, Hakim Datuk Abdul Malik Ishak berkata semua dokumen mahkamah hendaklah dalam bahasa kebangsaan kerana supremasi Bahasa Malaysia terkandung dalam perlembagaan persekutuan.

Ironinya, Malik yang menulis penghakimannya dalam Bahasa Inggeris, berkata Perkara 152 perlembagaan, dibaca bersama dengan Akta Bahasa Kebangsaan, menyebut bahawa semua prosiding mahkamah selain memberi keterangan, hendaklah dalam harus dalam bahasa kebangsaan.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List