Perkasa tiada hak pengaruhi Umno, desak pecat pemimpinya.

on Sep 21, 2010



Khairy: Mereka (Perkasa) terus-menerus berkata bahawa mereka tiada apa-apa motif politik, jadi mengapa mereka harus mengugut parti-parti politik, parti komponen terbesar (Umno) dalam kerajaan (BN) yang memerintah?

KUALA LUMPUR, 21 Sept — Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberi amaran kepada Perkasa bahawa pertubuhan bukan kerajaan bela orang Melayu itu tiada hak untuk menentukan hala tuju perjuangan Umno ataupun mendesak membuang mana-mana pemimpin yang mereka tidak suka.

Khairy, salah seorang daripada beberapa pemimpin Umno yang secara konsisten mendesak agar parti itu menjauhkan diri daripada Perkasa mengulangi pendirian beliau tentang keperluan untuk beralih daripada ‘kebergantungan’ pada pertubuhan bukan kerajaan itu.

“Pendirian saya dalam isu ini sangat jelas dan tidak berubah. Umno tidak harus mempunyai sebarang kaitan dengan Perkasa,” kata Khairy kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Rembau ini enggan mengulas dakwaan berubahnya pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam isu berkaitan dengan keperluan menjauhkan diri daripada Perkasa.

“Mereka (Perkasa) terus-menerus berkata bahawa mereka tiada apa-apa motif politik, jadi mengapa mereka harus mengugut parti-parti politik, parti komponen terbesar (Umno) dalam kerajaan (BN) yang memerintah?

“Mengapa menggesa agar Presiden Umno memecat Ku Nan (Tengku Adnan)? Ku nan adalah pemimpin kanan parti dengan mempunyai rekod prestasi yang baik. Mengapa minta ketua Umno menyingkirkan setiausaha agung?” katanya.

Tengku Adnan juga merupakan Setiausaha Agung BN.

“Jika anda konsisten dengan pendirian anda, tak mengapa. Tetapi anda terus meniupkan retorik ekstremisme apabila anda mengikat kerjasama dengan beberapa pemimpin Umno... anda sebenarnya menyusahkan perdana menteri,” kata Khairy yang juga Ketua Pemuda BN.

Beliau memberi amaran kepada kumpulan itu agar berhenti daripada mempengaruhi Umno dari segi arah tuju parti.

“NGO tiada hak atau kedudukan politik untuk berbuat demikian,” katanya.

“Berhenti daripada mengatakan kami apa yang kami perlu lakukan dalam menentukan hala tuju politik kami. Saya akan terus dengan pendirian saya,” kata Khairy.

Semalam, Perkasa melahirkan pandangan agar Najib mempertimbangkan untuk memecat Tengku Adnan daripada jawatan setiausaha agung Umno dan BN.

Dalam gesaannya, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang mendakwa Presidennya Datuk Ibrahim Ali sudah tentu telah memecat beliau jika membuat kenyataan yang menjatuhkan imej badan berusia dua tahun itu.

“Saya setiausaha agung agung Perkasa kalau buat kenyataan menyusahkan Perkasa, sudah tentu Presiden saya Datuk Ibrahim Ali akan pecat saya serta-merta.

“Tak tahulah Presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) kalau dia masih nak simpan setiausaha agung macam ini,” kata Syed Hassan berpendapat kenyataan Tengku Adnan bahawa BN memutuskan untuk menjauhkan Perkasa bukan kecil telah menjejakan imej perikatan itu dan juga Umno.

Malah, semalam Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (Penawar) juga mendesak Umno agar bekerjasama dengan Perkasa dan badan-badan bukan kerajaan Melayu lain yang memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera.

Keputusan itu diambil oleh Dewan Tertinggi Penawar semalam di sebalik pandangan bahawa Umno dan BN harus menjauhkan diri daripada Perkasa jika tidak mahu sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 terhakis.

Presiden Penawar Tan Sri Adam Kadir berkata, pihaknya juga duka cita dengan kenyataan Tengku Adnan dan mahu beliau memohon maaf atau dipecat.

Sebelum ini, Perkasa dalam siri kenyataan berkontroversi membabitkan Khairy beberapa bulan lalu pernah meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno kerana menyokong pendirian rakan sejawatannya dari MCA dalam berkaitan soal biasiswa.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin Umno menegaskan parti itu sebenarnya tidak tunduk kepada tuntutan-tuntutan Perkasa meskipun pemimpin-pemimoin kanannya memperlihatkan perubahan pendirian dalam isu kontroversi menjauhkan diri daripada Perkasa.

Pemimpin-pemimpin Umno menekankan bahawa parti itu sebenarnya beralih daripada Perkasa, meskipun Najib tidak secara terbuka memperlihatkan pendirian tidak memihak kepada pertubuhan itu.

Malah kata mereka, dasar-dasar Perdana Menteri adalah “inklusif” dan kerajaan persekutuan adalah berdasarkan merit dan menuju ke arah liberasi ekonomi.

“Tindakan-tindakan adalah berkesan daripada perkataan. Umno bukannya, saya mengulangi Umno tidak tunduk kepada tuntutan Perkasa dalam erti kata tindakan.

“Dalam tindakan, Perdana Menteri sebenarnya bergerak jauh daripada Perkasa.

“Pelbagai dasar yang diperkenalkan oleh pentadbiran semasa, menerusi konsep 1 Malaysia, dari segi liberalisasi ekonomi, tindakan ke arah sistem berasaskan merit, kesemua ini dan semua yang ditentang oleh Perkasa,” katanya.

“Umno, BN tidak memberi mereka (Perkasa) apa yang mereka mahukan,” kata Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ketua Umno Pulai itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa Najib selaku Presiden Umno tidak mengarahkan partinya menyisihkan diri daripada Perkasa sebab beliau tidak mahu mendiskriminasikan mana-mana parti ataupun NGO.

“Dalam kenyataan-kenyataan ya, kerana beliau mahukan sifat inklusif. Beliau tidak mahu mendiskriminasi mana-mana pihak atau organisasi,” kata Nur Jazlan.

Pengerusi UDA itu berkata tindakan Tengku Adnan “berubah pendirian” tidak bermaksud Umno sudah tunduk kepada tuntutan Perkasa.

“Berapa banyak yang Perkasa telah lakukan? Meskipun mereka telah menyebabkan pemimpin-pemimpin membetulkan kenyataan mereka, ia tidak digambarkan dalam tindakan kerajaan semasa.

“Perkasa tidak memperoleh apa yang mereka mahukan. Dalam tindakan, kami tidak mendengar apa yang mereka lakukan,” kata beliau.

“Perkasa, (Datuk) Ibrahim Ali tidak penting, tetapi mereka dijadikan penting dengan cara pemimpin kita dan media memberi respons kepada kenyataan-kenyataan mereka,” kata Nur Jazlan lagi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah mempertahankan pendirian Najib mengenai Perkasa dengan berkata, tidak kisah sama ada Perkasa menyokong Umno atau tidak setuju dengan Umno dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak orang Melayu.

“Saya tidak menolak Perkasa. Tetapi bagi saya Umno perlu berubah dalam caranya memperjuangkan agenda orang Melayu.

“Ia perlu mencari cara baru. Saya tidak membangkang mereka, tetapi Perkasa menggunakan rangka kerja lama dalam mengetengahkan isu orang Melayu, Perkasa mewakili cara pemikiran lama, dan kami di Umno perlu merangka pendekatan baru.

“Jika Perkasa menyokong kami, OK. Jika tidak pun OK,” kata Ahli Parlimen Temerloh ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini menambah Umno perlu melihat kumpulan pendesak Melayu sebagai satu cabaran, dan parti memerlukan “bahasa politik yang baru” apabila menangani isu-isu berkaitan dengan hak orang Melayu, yang boleh diterima oleh bukan Melayu, tanpa dilihat sebagai rasis atau ketuanan Melayu.

Sumber: Malaysian Insider

1 comments:

Anonymous said...

KJ,
Kalau UMNO betul2 jujur dalam memperjuangkan hak hak semua warga Malaysia, maka UMNO seharusnya ketepikan Perkasa.
Kalau ibrahim ali betul2 jujur dalam memperjuangkan hak2 Melayu tanpa melibatkan diri dalam politik, kenapa asyik2 nakl kacau orang politik? Ha.......KJ kena tahu, bos Perkasa itu siapa dia? dan yang sokong membuta tuli itu siapa dia?
Bos Perkasa, malas nak sebut nama, amat memalukan, muka tebal macam kulit gajah. MASA UMNO, MENANG KERUSI MP, KELUAR UMNO, JADI PAS BERTANDING KALAH, MASUK PAS, GUNA TIKET PAS MENANG KERUSI MP, KELUAR BALIK JADI PAS. MACAM KATAK PURU.
Kalay KJ menyingkap karier itu orang dan teliti kenapa dia tubuh Perkasa, baharu lah KJ akan tahu apa niat busuk Bos Perkasa. Kuasa dan pengaruh dia dah hilang bila jadi MP Bebas, maka nak pulihkan kuasa dan pengaruh, kena lah mendekati UMNO, jadi macam mana nak mendekati UMNO? Secara terus terang, UMNO haramkan, naka berbaik dengan PAS, dah ditalak tiga oleh PAS. Maka peralatkan Pekasa lah baharu dia dapat memulihkan pengaruh dan kuasa karier politiknya.
Kajian, kalau semua ahli UMNO bersatu dan menegakkan perjuangan UMNO yang asal, tinggalkan Perkasa yang RASIS dan EKSTRIM.
tdm yang sokong membutsa tuli itu ada niat tidak baik.kemungkinan besar mahu anaknya jadi PM Ke 7 nanti. Karang anaknya dalh hilang kuasa dan pengaruh dalam UMNO, tdm nak cari jalan macam mana nak pulihkan kuasa dan pengaruh anaknya dalam meneruskan perjuangan politik, bagai orang mengantuk di sorongkan bantal, itu sebab sokong membuta tuli Perkasa.
Tidak ada kebaikkan bagi mana mana ahli UMNO yang juga menjadi Ahli Perkasa.
Perkasa kalau NGO, buat cara NGO, jangan kacau hal hal politik.

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List