Zaid: Tepuk dada tanya selera........???

on Sep 21, 2010

Membaca tulisan terbaru Datuk Zaid Ibrahim dalam laman blognya yang bertajuk Hormatilah presiden dan perlembagaan parti maka kita dapat bayangkan bagaimana seorang peguam ternama dan pemilik syarikat guaman terbesar di negara itu nampak macam dah nak tenggelam punca dengan karenah PKR.

Mungkin luahannya kali ini juga dilihat satu bahan kempen untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.

Soalnya isu yang dibawanya cukup besar.

Malah dari pengakuannya dalam tulisan itu ,PKR mungkin satu-satunya parti dalam dunia ini yang secara terbuka menjadikan Presiden Datuk Dr Seri Wan Azizah Ismail yang sah dari segi perlembagaan parti sebagai lambang sahaja manakala ahli biasa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai orang yang paling berkuasa.

Bodoh sangatlah kalau ada siapa tak tahu Anwar ialah Sivaji The Boss PKR .Apa yang Zaid bising ialah dari sudut struktur parti.

Memang pedih hingga beliau terpaksa mengeluarkan kata-kata : Kalau kita dari parti Keadilan tidak hormati jawatan Presiden kita yang sah kerana kita berpuas hati Presiden itu hanya lah lambang (walaupun dia berkuasa penuh mengikut Perlembagaan parti); apa jaminan kita akan menghormati Perlembagaan Negara bila kita berkuasa nanti?

Kalau peguam besar seperti Zaid merasa begitu peliknya pada cacamarba parti yang baru disertainya Julai tahun lalu kesimpulan yang dapat dibuat pastinya tepuk dada tanya selera .

Sebagai orang yang mendakwa dirinya cukup berprinsip hingga sanggup letak jawatan Menteri waktu dalam UMNO kerana tidak setuju dengan isu penahanan ISA yang antaranya melibatkan wartawan...ramai yang sedang memerhati sejauh mana beliau berprinsip kali ini.

Lebih mengaibkan beberapa jam selepas tulisan dalam blognya tersiar,salah seorang orang kepercayaan Anwar yakni Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Ahmad terus memperlekehkan desakannya supaya dikembalikan kuasa Presiden...hanya sebagai satu gimik.

Budak baru main politik itu lantas mengajar Zaid supaya berpegang kepada disiplin dan tanggongjawab bersama pada parti. 

Beliau cuba mengingatkan Zaid rentetan bagaimana Anwar diberi status de facto kerana masalah edah lima tahun tak boleh pegang apa-apa jawatan politik selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004.

Edah itu sudah tamat pada April 2008…dan sekarang ialah bulan September 2010.Soalnya apa lagi yang buat Anwar nak terus bergayut kepada Penasihat yang tidak ada dalam perlembagaan parti?

Polimek menjelang pemilihan PKR itu bukan ciptaan Barisan Nasional atau mana-mana musuh politik di luar sana.

Segalanya adalah pandangan Zaid dalam bentuk hitam putih.

Begitu juga dalam tulisan pertamanya yang mendedahkan bagaimana beliau diserang kiri kanan apabila menyatakan hasrat nak bertanding Timbalan Presiden PKR serta meluahkan tentang kemungkinan nasib politiknya dalam PKR jadi macam Allahyarham Tun Ghafar Baba. 

Tidak lama masa berlalu selepas mereka saling puja memuja dalam kegairahan kempen pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor bagai dunia ana yang empunya ,Zaid kini macam tidak boleh dipandang sebelah mata oleh puak yang taksub pada Anwar.

Dalam politik tidak ada sahabat yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal. Yang ada cuma kepentingan bersama dan Zaid boleh anggap dirinya tidak masuk dalam lingkungan ' kepentingan bersama' itu.

Zaid sudah lama berguru mengenai hal ini sewaktu dalam UMNO dulu.Kalau disingkap balik beliau tidak pernah memekak mengenai hal seperti ini sewaktu dalam UMNO dulu.

Kini baru setahun lebih dalam PKR Zaid tiba-tiba ‘tersedar’ parti itu memang hebat dan cukup hebat hingga beliau ibarat sudah jadi loyar buruk.

Ada yang kata kalau begini halnya apa nak hairan Zulkifli Nordin,Datuk Zahrain Hashim,Salahuddin Hashim,Dr Chandra Muzaffar,Mohsin Fadil Shamsuri,Tan Tee Beng,Wee Choo Keong, Senator Ezam Mohd Nor ,Lokman Nor Adam ,Zaid Md Arip dan sebilangan nama besar pengasas parti itu mengucapkan selamat tinggal.

Namun Zaid jangan lupa ada juga kata-kata Inggeris yang berbunyi if you can’t beat them…join them.Itu pun satu prinsip...bagi mereka yang tak ada prinsip.



Berikut ialah tulisan penuh Zaid di laman blognya: Hormatilah presiden dan perlembagaan parti 
'
Pencalonan bagi pemilihan langsung Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah pun berlangsung di seluruh negara, dan saya diberitahu ada beberapa cabang parti telah mencalonkan saya sebagai Timbalan Presiden.
Dengan ini saya telah memenuhi syarat untuk menawarkan diri kepada ahli-ahli Keadilan membuat pilihan pada 29hb Oktober nanti. Beberapa Cabang yang saya tak pernah temui seperti Padang Rengas, Tampin, Jerantut dan lain-lain, terus juga memberi pencalonan mereka.
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan terhadap keyakinan mereka. Selepas ini saya akan ke seluruh negara untuk bertemu dengan para ahli parti. Saya akan menjelaskan beberapa perkara pokok di pertemuan ini.
Dalam utusan blog hari ini, saya ingin menulis mengenai perkara yang selalu di bibir penganalisa politik. Adalah tanggungjawab Timbalan Presiden untuk memberi sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada Presiden sesebuah parti. Bagi Timbalan pula, kesetian kepada parti bererti taat setia kepada Presiden dan menolong beliau dalam menjalankan tugas-tugasnya. Timbalan Presiden mesti mengimbangi atau ‘complement’ kekuatan Presiden. Hanya dengan cara itu prestasi dan imej parti kita akan jadi lebih baik.
Kita tidak boleh membiarkan Presiden kita dianggap oleh sesetengah pihak hanya sebagai lambang. Terlalu kerap saya dengar bisikan mengenai kononnya Datin Seri Wan Azizah bukan ketua sebenar. Malah ada pula yang berkata beliau tidak ada kuasa. Keadaan ini berlaku kerana ada di kalangan kepimpinan parti yang kurang menghormati jawatan Presiden. Kepimpinan parti lebih selesa memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Ketua Umum, iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim. Saya juga memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim, kerana dia pengasas parti dan juga Ketua Pembangkang tetapi dari segi struktur parti buat masa ini beliau hanya ahli biasa.
Kalau saya menang, saya akan membantu Presiden memenuhi tanggungjawab beliau. Presiden parti tidak akan dianggap sebagai lambang semata-mata. Kalau kita dari parti Keadilan tidak hormati jawatan Presiden kita yang sah kerana kita berpuas hati Presiden itu hanya lah lambang (walaupun dia berkuasa penuh mengikut Perlembagaan parti); apa jaminan kita akan menghormati Perlembagaan Negara bila kita berkuasa nanti?
Pemilihan ini adalah peluang bagi ahli-ahli Keadilan untuk membuat keputusan berikut: Siapakah antara calon yang lebih berkebolehan, lebih mampu menolong dan menghormati Presiden parti Keadilan.
Datin Seri Wan Azizah telah banyak membuat pengorbanan termasuklah meletakkan jawatan beliau sebagai ahli Parlimen demi keperluan suaminya dan PKR. Pengorbanan ini adalah pengetahuan umum. Sebagai ahli PKR, saya percaya dengan kepimpinan dan kebolehan Presiden parti; dan sebagai calon untuk jawatan Timbalan Presiden saya ingin menyokong beliau dalam usaha beliau dan dengan ikhlasnya meneruskan dan mengukuhkan dasar reformis parti untuk menunjukkan bahawa PKR mampu memenuhi perubahan yang dinanti-nantikan ahli-ahli parti dan rakyat Malaysia
Agendadaily

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List