Timbalan Presiden PKR: Adakah Khalid akan masuk gelanggang....????

on Sep 23, 2010

khalid

KUALA LUMPUR: Persoalan utama muncul pada saat ini, adakah Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim, akan turun ke dalam gelanggang merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang semakin panas?
Sudikah Khalid masuk gelanggang bertarung bersama-sama dengan Naib Presiden Azmin Ali dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zaid Ibrahim yang terlebih awal menyatakan hasrat mereka untuk merebut jawatan itu?
Memandangkan penyertaan Khalid mampu memecah undi di antara dua tokoh utama PKR itu, namun beliau sehingga ini masih merahsiakan hasratnya untuk bertanding hingga ke suatu masa yang difikirkannya sesuai.
Apabila ditanya oleh pihak media, sama ada beliau akan bertanding pada pemilihan parti penghujung tahun ini, Khalid tersenyum kecil dan berkata, "saya akan umumkan selepas 5 Oktober depan."
Adalah difahamkan tarikh itu dipilih ketika mana penamaan di peringkat cabang dijangka selesai pada waktu itu.
Menurut senarai penamaan calon, Khalid setakat ini hanya menerima satu pencalonan untuk jawatan nombor dua itu, dari Masjid Tanah, Melaka dan beliau memerlukan satu lagi pencalonan untuk melayakkan diri.
Perlu dua pencalonan untuk layak
Apabila disoal lagi oleh para wartawan sama ada beliau akan bertanding mana-mana jawatan yang dicalonkan oleh cabang-cabang, beliau menjawab, "saya tidak tahu, ya….. kita memerlukan dua pencalonan untuk layak."
Khalid, yang juga ahli MPP, tidak memberi gambaran yang jelas, jawatan yang mana satu beliau akan bertanding memandangkan beliau juga menerima pencalonan yang mencukupi untuk jawatan naib presiden.
Jika beliau memperolehi pencalonan yang mencukupi maka pertarungan merebut jawatan yang menjadi tumpuan (nombor dua) menjadi lebih menarik kerana para penyokong Azmin didakwa telah mencabar Khalid untuk jawatan menteri besar.
Sehingga semalam, Malaysiakini melaporkan Azmin mendapat 43 pencalonan, meninggalkan Zaid jauh di belakang dengan hanya 21 pencalonan.
Sementara itu, naib presiden Mustaffa Kamil Ayub juga ketinggalan dengan 10 pencalonan sahaja untuk jawatan yang sama.
Pemimpin-pemimpin lain yang menerima pencalonan untuk jawatan timbalan presiden ialah Pengarah Strategik Tian Chua dengan tiga pencalonan dan Fuziah Salleh (1).
Bagaimanapun, Fuziah secara jelas menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan naib presiden dan Tian Chua dilaporkan ingin menjauhkan diri dari jawatan itu.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List