"Wajarkah bagi mana-mana individu mendakwa dirinya berkorban untuk agama, negara dan rakyat padahal pada masa yang sama hidup mewah dan membina kekayaan untuk dirinya sendiri?"
Demikian soal calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali sebagai Chegu Bard ketika bercakap tentang pengorbanan sempena Hari Raya Korban yang disambut oleh umat Islam negara ini hari ini.
Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak hanya mempertikaikan pengorbanan pihak lain tetapi harus juga memikirkan adakah diri sendiri pernah berkorban untuk pihak lain.
"Kerajaan meminta rakyatnya berkorban untuknya tetapi apa pula pengorbanan kerajaan untuk rakyat negara ini?
"Apabila negara ini dikatakan bakal muflis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala tidak berapa lama dahulu, rakyat diminta berkorban untuk negara.
Gaya hidup mewah
"Tetapi apa pula pengorbanan mereka ini untuk rakyat dan negara, dengan gaya hidup yang mewah mereka tanpa sedikit pun merasa bimbang akan nasib negara dan rakyat.
"Saya percaya rakyat negara ini tidak merasa ragu untuk berkorban untuk negaranya, asalkan kena pada caranya dan pemimpin sendiri harus menunjukkan contoh teladan yang baik" kata Chegu Bard.
Beliau turut mengingatkan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya anak-anak muda agar jangan hanya pandai bercakap tentang pengorbanan yang kononnya pernah dilakukan untuk parti.
"Kadang-kadang ada yang mendakwa telah berkorban itu dan ini untuk parti. Hakikatnya yang mendakwa berkorban ini ada yang membina kekayaan melalui jawatan politik yang disandangnya.
"Jadi dalam situasi ini, siapa yang berkorban sebenarnya? Parti atau orang-orang seperti ini? Tentulah imej parti yang akhirnya terkorban apabila dipandang serong oleh masyarakat nanti," ujar beliau.
Pengorbanan sebenar
Disamping itu beliau menyanjung tinggi pengorbanan sebenar yang pernah dilakukan oleh anggota parti itu dari pelbagai peringkat untuk meletakkan parti berada di kedudukannya sekarang.
"Saya amat menyanjung tinggi pengorbanan ahli parti semua peringkat yang berkorban untuk perjuangan keadilan ini lebih-lebih lagi di akar umbi sehinggakan ada yang terpaksa bergolok bergadai untuk meneruskan perjuangan parti.
"Jadi amat wajar pemimpin yang berada di atas untuk merenung pengorbanan mereka di bawah yang tidak punya apa-apa kepentingan diri.
Apabila ditanya pengorbanan yang pernah dilakukan untuk perjuangan parti, Chegu Bard menjawab, "Di mana keikhlasan jika bertujuan untuk mendapatkan publisiti atas pengorbanan yang telah dilakukan?
"Biarlah beberapa teman rapat yang mengetahui kesulitan, pengorbanan yang pernah saya lalui dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan ini. Selain itu, Tuhan saja yang tahu," ujarnya.
Di samping itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di negara ini.
0 comments:
Post a Comment