Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Dari Aisyah Radiallahuanha, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dari menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada Hari Kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
Hukum berkorban adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Tetapi akan menjadi wajib jika seseorang itu bernazar hendak berkorban. Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian berhubung dengan korban wajib (nazar) dan korban sunat ini, antaranya daging korban wajib hendaklah disedekahkan keseluruhannya termasuklah kulit dan tanduk binatang itu dan haram hukumnya bagi orang yang berkorban wajib dan orang yang di bawah tanggungannya memakan daging korban tersebut. Sekiranya orang yang berkorban wajib dan orang-orang di bawah tanggungannya memakan sesuatu daripada korban yang wajib itu, maka wajib ke atasnya menggantikan dan menyedekahkannya.
2/3 daging2 korban untuk di sedekah kan.
Manakala daging korban sunat pula, wajib disedekahkan sebahagian daripada daging tersebut dalam keadaan mentah kepada fakir miskin, dan sunat bagi orang yang berkorban memakan sedikit daripada daging korban sunatnya dan selebihnya terserahlah sama ada untuk disedekahkan atau dimakannya atau dijadikan jamuan. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Hajj ayat 28 yang tafsirannya:
"Makanlah kamu dari daging binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin."
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Hajj ayat 36 yang tafsirannya:
"Makanlah sebahagian daripadanya, dan berikanlah bahagian yang lain kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta."
Perlu diingat bahawa daging korban sama ada wajib ataupun sunat adalah haram disedekahkan atau dijual kepada orang kafir, sama ada yang memberi dan menjual itu orang yang berkorban atau fakir miskin yang menerima sedekah atau orang kaya yang diberi hadiah daging itu. Tetapi jika fakir miskin yang menerima sedekah daging itu menjualnya kepada orang Islam, maka adalah harus dan sah hukumnya. Akan tetapi jika daging korban yang diberi kepada orang kaya sebagai hadiah lalu dijualnya, maka hukumnya adalah haram. Manakala kulit, tanduk dan bulu binatang tersebut adalah haram dijual oleh orang yang berkorban, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu ia berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesiapa yang menjual kulit korbannya, maka tiada dikira baginya korban."
Daging korban tidak boleh dipindah ke negara lain, ia hendaklah disedekahkan di negara tempat ia berkorban itu sahaja. Bagi orang yang menyembelih pula, haram diberikan kepadanya daging korban dengan niat sebagai upah menyembelih, tetapi adalah harus sekiranya diberikan sebagai sedekah atau hadiah.
Adalah tidak sah berbuat korban bagi orang yang masih hidup melainkan dengan izinnya, dan begitulah juga orang yang telah meninggal dunia jika ia tidak berwasiat, tetapi harus bagi bapa atau nenek membuat korban dengan hartanya bagi anak atau cucunya.
Perlu diingat juga bahawa bahagian yang wajib disedekahkan itu hendaklah ia daging yang masih basah dan mentah dan tidak memadai jika bahagian yang disedekahkan itu berupa kulit, hati, tanduk dan seumpamanya. Begitu juga tidak memadai jika daging tersebut dimasak, kemudian dihidangkan kepada orang yang fakir dan miskin, kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang telah dimasak.
Memandangkan hukum berkorban itu sunat muakkadah dan mempunyai banyak kelebihan, maka rebutlah peluang seumpama ini dengan memahami hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Mudah-mudahan ibadat korban kita itu benar-benar menepati hukum syarak dan diterima oleh Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarabbalalamin.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hajj ayat 36 yang tafsirannya:
"Dan Kami jadikan unta yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu. Pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu, oleh itu sebutlah nama Allah semasa menyembelihnya ketika ia berdiri dan terikat, maka apabila ia tumbang serta putus nyawanya, makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah bahagian yang lain kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu menguasainya dan menyembelihnya supaya kamu bersyukur.”
0 comments:
Post a Comment