KUALA LUMPUR, 18 Nov – Bekas timbalan setiausaha agung PKR, Jenapala Perumal Subaan menuntut mahkamah mengisytiharkan beliau layak bertanding jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan pusat yang sedang berlangsung sekarang.
Jenapala memfailkan saman di Mahkamah Tinggi hari ini.
Beliau juga mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa pelucutan hak untuk bertanding jawatan timbalan presiden diisytiharkan sebagai tidak sah.
Dalam samannya, Jenapala menamakan Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Senator Dr Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail sebagai defendan.
Pada September lalu, Saifuddin berkata, Jenapala sebenarnya telah tidak lagi menjadi anggota PKR setelah beliau dipecat dari keanggotaan pada Februari tahun lalu kerana mengkritik pimpinan parti secara kasar dan bertindak menubuhkan parti baru.
Oleh itu, Jenapala tidak boleh dicalonkan untuk apa-apa jawatan dalam pemilihan PKR.
Justeru, kata Saifuddin, tindakan Jenapala mempertikai dan mengkritik kewibawaan pemilihan 2010 dengan melontarkan pelbagai tuduhan yang amat tidak berasas, palsu dan bohong dilihat bukanlah perkara yang luar biasa memandangkan beliau telah terbukti sebagai suatu watak yang khianat pada perjuangan.
- TMI -
0 comments:
Post a Comment