TIADA siapa tahu kenapa masih terdapat 4.2 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi enggan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); seolah-olah mengundi adalah kerja paksa atau kunta-kinte di arena politik?
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mendedahkan bahawa sehingga berakhir suku ketiga tahun ini, hanya kira-kira 100,000 atau 2.3 peratus daripada 4.3 juta rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi.
Angka tersebut kata Wan Ahmad amat rendah dan mengalu-alukan kerjasama pihak agar menggandakan usaha untuk mendaftar lebih ramai pengundi sebagai persediaan pilihanraya umum akan datang.
"Dalam laporan suku ketiga tahun ini, 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas yang belum berdaftar berbanding 4.3 juta sebelum itu. Walaupun ada yang mendaftar, jumlah itu terlalu sedikit dan tidak seperti yang kita harapkan supaya lebih ramai golongan ini mendaftar untuk menentukan masa depan negara," katanya kepada media baru-baru ini.
SPR sebelum ini, menganggarkan hampir lima juta rakyat Malaysia yang mencapai usia 21 tahun dan ke atas dijangka tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan keengganan mereka mendaftar sebagai pemilih.
Dianggarkan kira-kira 15.6 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas layak mengundi, tetapi sehingga 30 Mei lalu hanya 11.24 juta yang mendaftar sebagai pemilih, manakala baki kira-kira 4.3 juta lagi belum berbuat demikian. Daripada 4.3 juta itu, seramai 1.9 juta atau 43 peratus adalah orang Melayu.
Wan Ahmad berkata, sikap tidak peka dan sambil lewa adalah antara faktor kenapa ramai tidak mendaftar sebagai pengundi sehingga mereka gagal menunaikan hak sebagai warga negara dan tidak peka situasi politik tanah air; namun berharap agar mereka tidak menunggu saat akhir untuk mendaftar.
0 comments:
Post a Comment