Untuk sesiapa yang ada telur......
Sengaja atau tidak, hidup kita memang penuh dengan seribu kepalsuan. Ada duit palsu, ada kad pengenalan palsu. Ada cinta palsu, ada janji palsu. Ada ijazah palsu, cukai jalan palsu, sijil nikah palsu.
Ada bomoh palsu, Ph.D palsu. Selalu juga kita dengar pengakuan palsu. Malah, video seks sepanjang 21 minit itu pun setakat ini masih belum disahkan ketulenannya, mungkin juga palsu.
Di tubuh kita sendiri banyak yang palsu. Ada gigi palsu bagi mereka yang rongak. Sekiranya malu sebab kepala botak berkilat atau penuh uban, ada rambut palsu. Kalau hendak bergaya tetapi tidak ada duit, boleh pakai jam tangan berjenama palsu.
Bagi wanita, jika tidak yakin dengan wajah asal, boleh sahaja palsukan wajah anda dengan suntikan botox. Ada orang tidak mengaku telah dibotoxkan, tetapi yang melihat boleh cam, sebab wajah botox seakan-akan sama.
Hairan juga, wajah sudah cantik apa perlunya suntikan botox? Tetapi bagi orang berduit mereka tidak rasa membazir berbelanja RM ribu-ribu untuk menukar rupa yang tulen menjadi kecantikan palsu.
Apakah benar suntikan tersebut menjadikan wajah bertambah cantik? Tidak semestinya begitu. Sesetengah wanita yang sudah memang asal cantik, menjadi tidak cantik setelah menjalani suntikan. Tetapi mereka tidak yakin yang asli, sebaliknya lebih bangga kepada yang palsu.
Tidak sahaja pada wajah, sudut-sudut lain tubuh juga boleh dipalsukan. Kalau bahagian dada kurang berisi, boleh dipalsukan dengan pembedahan plastik. Ada duit semua boleh jadi. Tetapi bukan semua berjaya.
Masih ingat kes seorang wanita yang tidak puas hati sebab payudaranya kecil? Dia ke ‘klinik pakar’ untuk mendapat rawatan, belanja berpuluh ribu RM. Benar setelah menjalani pembedahan, dia mendapat sepasang payu yang segar.
Tetapi, tidak sampai sebulan dia mengalami kesakitan dan terpaksa dibedah semula. Salah satu dari payunya makin mengecil setiap hari, akhirnya hilang. Dia berbelanja besar untuk memalsukan payunya, akhirnya payu yang dua tinggal satu; yang satu lagi kesep dan rata.
Pinggang yang bentuknya menyakitkan mata dan hati, boleh dipalsukan supaya ramping seperti biola, menerusi pembedahan. Punggung, paha, betis, kaki, lengan, semua boleh diubah dari bentuk asal kepada bentuk palsu yang lebih cantik.
Pendek kata mana-mana sahaja bahagian tubuh kita yang tidak sesuai – dari hujung rambut hingga hujung kaki – boleh diubah kepada bentuk palsu menggunakan pembedahan dan lain-lain kaedah saintifik.
Tidak kira lelaki atau wanita, muda atau tua, tubuh kita boleh dibonzaikan mengikut bentuk yang kita mahu. Bagi mereka yang berduit semua boleh dipalsukan untuk mengabui mata setiap orang.
Kemudian ada Datuk palsu. Apabila Datuk palsu dengan sendirinya Datin pun palsu. Ada orang mencari duit secara mudah dengan memalsukan Datuk. Contohnya seperti yang telah dilaporkan media beberapa hari lalu.
Seorang wanita, 31, dan lelaki, 51, telah menerima bayaran RM50,000 dan RM75,000 daripada beberapa individu sebagai dorongan untuk mendapat anugerah kebesaran bergelar Datuk dari istana.
Pembayaran yang diterima pada 8 Disember 2010 itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Perkara ini telah dibawa ke mahkamah. Bayangkan bagi orang berduit, mereka sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapat gelaran tersebut, tidak kiralah sama ada gelaran yang diterima itu tulen atau palsu. Siapa tahu mungkin sudah ramai Datuk palsu dalam negara kita!
Sekiranya orang sanggup membayar beribu-ribu RM untuk Datuk palsu, Ph.D palsu, kad kredit palsu, pasport palsu, wajah palsu, payudara palsu, jadi apa luar biasanya kita ada telur palsu?
Sekiranya gigi, rambut, bulu mata, paha boleh dipalsukan, tentu sekali telur yang besar sedikit dari bola pingpong itu boleh dipalsukan. Jadi, mereka yang mempunyai telur janganlah gundah gulana atau marah-marah jika mendapati telur mereka adalah palsu.
Jangan fikir yang bukan-bukan, saya bercakap mengenai telur betul, telur ayam. Ada dakwaan bahawa telur tiruan @ palsu berada di pasaran tempatan dan ditemui di beberapa kedai di Pulau Pinang.
S M Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menjalankan kajian mendapati telur palsu mengandungi bahan-bahan yang membahayakan kesihatan. Tetapi Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian awal yang dilakukan mendapati hampir 400 butir telur yang dirampas dari kedai-kedai berkenaan adalah telur tulen, bukan palsu.
Oleh sebab isu telur palsu dihebohkan dalam media dan internet sehari dua ini, makin ramai orang ragu-ragu setiap kali melihat telur.
Jangan terkejut sekiranya sehari dua ini ada pihak tertentu mendesak ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat telur kita!
Kelantan: Mayat wanita bertudung tersangkut pada 'taut'
45 minutes ago
0 comments:
Post a Comment