PAS SEBAGAI SUARA KETIGA...

on Apr 19, 2011

My PhotoSemalam wartawan Harakah menghubungi saya, meminta komen mengenai pilihanraya Sarawak. Mulanya beliau bertanya mengenai peranan media sosial, kemudian kami berdiskusi mengenai strategi PAS di Sarawak. Jawapan saya hampir sama dengan apa yangsaya tulis di blog ini sebelum ini. Saya katakan bahawa mesej yang ingin dibawa oleh PAS dalam pilihanraya Sarawak tidak jelas. Malah, dalam blog ini juga saya sebutkan bahawa PAS seperti mencedok tema kempen DAP, tanpa strategi yang jelas. Terserahlah sama ada penyokong PAS ingin menerima komen tersebut secara positif atau sebaliknya.

Saya cukup yakin pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PAS cukup jelas dengan perjuangan parti. Mereka dididik melalui usrah, tamrin dan sebagainya. Bagaimanapun, "real politics" memaksa mereka bertindak dengan cara yang akhirnya membuatkan masyarakat bertanya, "Apakah perjuangan PAS sebenarnya?"

Di Sarawak, saya bertanya beberapa orang mengenai apakah yang mereka fahami dengan perjuangan PAS. Daripada sekitar 10 orang yang saya tanya, hampir kesemua memberikan jawapan yang mempunyai perkataan "ekstrim." Saya percaya PAS menafikan parti itu ekstrim. Malah, saya juga tidak setuju PAS itu ekstrim. Namun, itu tidak penting. Apa yang penting ialah itu persepsi sebahagian masyarakat Sarawak mengenai PAS. Kalau begitu, saya boleh simpulkan bahawa PAS menghadapi krisis identiti.

Sewaktu Muktamar PAS ke 55 pada tahun 2009 yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, saya melihat tidak ada sepatah pun perkataan "Islam" di banner atau bilboard yang dipasang sekitar kawasan muktamar tersebut. Kalau ada pun, ia ditulis dalam tulisan jawi sebagai sebahagian nama PAS itu sendiri. Bukan sahaja orang bukan Islam tidak dapat membaca tulisan jawi, malah orang Islam pun ramai tak dapat membacanya.

Slogan bernada Islam seperti "Membangun Bersama Islam" digantikan dengan "PAS for All." Seorang sahabat bertanya saya mengapakah tidak gunakan slogan "Islam for All" sesuai dengan sifat kesempurnaan (syumul) Islam itu sendiri. Saya jawab, saya tak ada jawapan. Mungkin "real politics" memaksa PAS untuk menggunakan strategi demikian. Bagaimanapun, soalan sahabat tadi menunjukkan bahawa dia juga keliru dengan identiti PAS.

Terus-terang saya katakan bahawa PAS mempunyai potensi besar dalam politik Malaysia. Bagaimanapun, "real politics" menjadikan parti itu berasa kerdil.

Bagi saya, PAS boleh merealisasi potensi untuk menjadi "king maker" dalam politik Malaysia dengan memposisikan dirinya sebagai "the guardian of Islam." PAS tidak perlu ke kiri atau ke kanan. PAS tidak perlu mempertahankan tindak tanduk PKR atau DAP, dan ia juga tak perlu condong kepada BN. PAS wajar kekal sebagai sebuah parti yang berdiri sendiri. Betul atau salah, bukan ditentukan oleh "political expediency" seperti sekarang. PAS harus dilihat berani menegur PKR dan DAP, sama seperti keberaniannya menentang BN.

Sekiranya PAS mampu berbuat demikian, maka orang akan melihat PAS sebagai sebuah parti berprinsip. Sebahagian pemimpin PAS selalu menegur "ulamak" yang tidak membetulkan kemungkaran sebagai "ular dalam semak" atau "syaitan bisu." Apabila pemimpin PAS mendiamkan diri melihat kesalahan PKR dan DAP (kedua-dua parti ini bukan maksum), maka adakah gelaran itu boleh dikembalikan kepada mereka? Atau, gelaran "Alamak!" lebih sesuai?

Dalam konteks demokrasi di Malaysia dan atas semangat menjadi "guardian of Islam," saya fikir PAS wajar memainkan peranan sebagai suara ketiga. Kita dapat melihat bagaimana dalam konteks politik di Malaysia, kaum Cina bermain politik dengan cukup hebat sehingga memaksa kedua-dua belah pagar politik sujud, atau pun sekurang-kurangnya tunduk kepada kehendak mereka. Mengapakah PAS tidak merealisasikan potensi yang ada untuk menjadi suara ketiga bagi mendesak BN, PKR dan DAP untuk lebih responsif kepada tuntutan Islam?

Pada masa ini, PAS mempunyai 16 kerusi Dewan Rakyat dan sekiranya ia bertindak sebagai suara ketiga, saya fikir parti itu boleh menjadi satu kuasa yang kuat di Parlimen Malaysia. PAS boleh menggunakan kedudukan strategik ini untuk "collaborate" dengan mana-mana pihak yang dilihat melakukan sesuatu yang menguntungkan Islam.

Seperti yang selalu disebutkan oleh pemimpin PAS (dan saya percaya mereka ikhlas dalam soal ini), perjuangan PAS ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah swt. Sekiranya dengan bekerjasama dengan BN bagi "co-sponsor" insiatif tertentu di Parlimen, mengapa tidak PAS bersikap terbuka dalam soal ini? Ini bukan bermaksud PAS harus menyokong BN sepanjang masa. Dalam isu-isu tertentu, PAS boleh menyokong DAP dan juga PKR. PAS boleh membentuk kerajaan campuran (coalition government) bersama DAP dan PKR di negeri-negeri tertentu dan menjadi pembangkang kepada kedua-dua parti itu di negeri lain.

Kemampuan PAS untuk melonggarkan ikatan politik dengan lain-lain parti akan meletakkannya sebagai suara ketiga yang dihormati.

Saya tahu nanti akan ada orang berkata cadangan saya itu akan memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Begitulah, setiap kali apabila ada cadangan baru, pasti ada suara-suara sumbang yang melihatnya dari kacamata sedemikian. Apa nak buat, itulah cara sesetengah orang melihat politik. Itulah saja cara yang kita tahu.

Ah, mungkin saya lupa, itulah "real politics."

Dan, dalam konteks Malaysia, "real politics" adalah politik pertentangan. Politik hitam dan putih. Sehingga akhir sekali kita gagal melihat warna-warna pelangi yang jauh lebih indah!





0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List