PKFZ: Rakaman Audio Mesyuarat Kabinet Dimusnah

on Nov 17, 2011



Mahkamah Tinggi yang mendengar kes bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik berkaitan projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) diberitahu rakaman audio mengenai mesyuarat Kabinet dimusnahkan selepas minit mesyuarat disahkan.
Ketua Siasatan Jenayah Perdagangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Superintendan R Rajagopal berkata sehubungan itu, beliau tidak dapat mengemukakan rakaman tersebut sebagai eksibit.
Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan bahawa rakaman audio akan dibuat pada mesyuarat jemaah menteri, termasuk perbincangan mengenai PKFZ.
Rajagopal, saksi ke-25 pendakwaan, berkata sepanjang siasatan terhadap Dr Ling iaitu pada 2 Oktober 2009 dan 1 April tahun lalu, bekas Presiden MCA itu memberikan kerjasama yang baik.
Selain itu, beliau berkata tidak ada sebarang laporan khusus dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bekas perdana menteri tersebut ditipu berhubung projek PKFZ.
Katanya, beliau ada merakam percakapan Dr Mahathir pada 15 Ogos lepas iaitu selepas Dr Ling (gambar tengah) didakwa di mahkamah.
Rajagopal turut memaklumkan tidak ada sebarang laporan polis dibuat mana-mana anggota Kabinet mulai 1999 sehingga 2002 berkaitan penipuan projek PKFZ oleh Dr Ling.
Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 satu kaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
Dr Ling, 68, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 September dan 6 November 2002.
Rajagopal juga berkata beliau tidak memperoleh hasil laporan yang dibuat penasihat khas Dr Mahathir iaitu Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman berhubung projek PKFZ kerana Ali Abul Hassan tidak lagi menyimpan kajian itu.
“Saya ada meminta hasil kajian yang dibuat Tan Sri Ali Abul Hassan tetapi saya tidak memperolehnya kerana semasa rakaman percakapan dengannya, Tan Sri Ali Abul Hassan berkata dia tidak menyimpannya lagi,” katanya.
Beliau berkata kes PKFZ disiasat secara menyeluruh dan teliti.
Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok bagi memberi peluang kepada pendakwaan meneliti senarai saksi sebelum menutup kes.




Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List