BATU PAHAT: “Jasa dan pengorbanan Kak Wati kepada kami sekeluarga amat besar terutama dalam membantu memperbaiki kehidupan kami, malah saya sekeluarga sebak apabila diberitahu Kak Wati tidak lupa mengasingkan RM1 juta setiap tahun daripada keuntungannya khusus bagi golongan anak yatim seluruh negara,” kata Rosnani Lawiya, 45.
Rosnani berkata, walaupun sudah berjaya dan dikenali, kakaknya tidak pernah meninggi serta membanggakan diri malah tidak pernah gagal membantu semua anggota keluarga berkongsi kejayaannya.
"Kami terharu Kak Wati tidak pernah lupa asal usul kami yang susah dengan membantu insan tidak bernasib baik ketika rezekinya dimurahkan tuhan"
Rosnani Lawiya
Adik
“Walaupun hubungan kami adik-beradik amat rapat, kami sekeluarga tidak pernah mengambil tahu bagaimana Kak Wati menggunakan wangnya tetapi apabila diberitahu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor, Dr Robia Kosai dalam kunjungan ke rumah saya baru-baru ini, bahawa Kak Wati memperuntukkan RM1 juta untuk anak yatim seluruh negara setiap tahun, sudah tentu kami amat berbangga dan terharu sekali.Rosnani Lawiya
Adik
“Bukan mahu menunjuk-nunjuk, bermegah atau bangga diri mempunyai kakak yang dilimpahi kesenangan tetapi kami terharu Kak Wati tidak pernah lupa asal usul kami yang susah dengan membantu insan tidak bernasib baik ketika rezekinya dimurahkan tuhan.
“Sekurang-kurangnya perasaan luluh di jiwa kami mengenangkan nasib yang menimpa Kak Wati sehingga diperlakukan sebegitu kejam sekali, diubati sedikit dengan berita sifat Kak Wati yang penuh kasih sayang,” katanya sebak.
Sementara itu, suami Rosnani, Misjan Jamikun, 48, yang juga adik ipar jutawan berkenaan berkata, dia tidak dapat membayangkan bagaimana ada insan yang tergamak melakukan kekejaman begitu sekali apalagi terhadap seorang wanita yang bergelar ibu.
“Kak Wati adalah kebanggaan dan harapan keluarga kami apatah lagi beliau berjaya dengan usahanya sendiri walaupun bermula daripada tidak mempunyai apa-apa dan berasal dari keluarga susah.
“Sudah tentu kami sekeluarga sukar menerima cara pemergiannya itu kerana Kak Wati adalah antara insan paling pemurah, penyayang serta pemaaf di dalam keluarga kami. Bagaimanapun, jika ini ditentukan Allah, kami reda dan akan mendoakannya supaya ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya.
Adik bongsu ahli perniagaan berjaya itu, Mohd Haris Lawiya, 29, pula berkata kakaknya itu banyak memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka adik-beradik termasuk dirinya.
“Kak Wati tidak pernah sekali pun melupakan keluarganya. Saya sendiri pun diajak bekerja dengannya di Kuala Lumpur di bahagian stok bagi menambah pendapatan keluarga saya dan pemergian Kak Wati memberi kesan besar kepada keluarga kami,” katanya.
Ketua Kampung Sri Menanti, Sri Medan, Omar Salleh, 63, berkata Sosilawati adalah dermawan unggul dan beliau amat berbangga dengan sifat pemurah anak jati kelahiran kampungnya itu.
“Saya bukan mahu memuji-muja, tetapi inilah hakikatnya. Sosilawati sebenarnya tidak suka pemberiannya diungkit-ungkit mahupun diuar-uarkan berikutan tidak mahu ia dianggap menunjuk-nunjuk sedangkan Allahyarhamah ikhlas melakukannya.
“Bagaimanapun, semua pihak harus diberitahu bahawa sifat pemurah Allahyarhamah itulah banyak membantu kami di sini terutama apabila arwah tidak pernah lupa memberi bantuan dan sumbangan berterusan setiap tahun antaranya kepada Masjid Seri Dayong, Sri Medan; Surau Kampung Sri Menanti serta sekolah angkatnya, Sekolah Kebangsaan Seri Dayong dan Sekolah Agama Seri Dayong, sudah pasti pemergian Allahyarhamah, kehilangan besar buat semua yang pernah mengenalinya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment