Wan Chik syukur hajat suami meninggal Jumaat termakbul

on Sep 19, 2010

Hasrat pelakon dikebumi bersebelahan pusara ibu juga dilaksana 



KUALA LUMPUR: Isteri kedua pelakon M Rajoli, Wan Chik Daud bersyukur kerana hasrat Allahyarham untuk meninggal dunia pada hari Jumaat termakbul. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang pada jam 10.45 malam kelmarin.

Wan Chik Daud“Saya diberitahu Allahyarham juga mahu dikebumikan bersebelahan dengan kubur arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2 Ramadan tahun lalu dan hal itu juga dipenuhi keluarganya. Saya bersyukur akhirnya dia dijemput Penciptanya kerana memang itu kehendaknya.
“Dulu dia pernah berkata akan menjadi insan yang paling bahagia jika nyawanya dicabut Tuhan pada usia 63 tahun seperti mana usia wafatnya Nabi Muhamad SAW. Memang sudah lama dia bersedia bertemu dengan Tuhan dan persoalan mengenai akhirat sentiasa meniti dibibirnya,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu. 

Bekas pembaca berita RTM itu berkata, beliau juga diberitahu saat Allahyarham sedang nazak, mulutnya tidak pernah lekang menyebut kalimah suci. 

“Allahyarham sangat ceria orangnya. Dia sangat kasih kepada Allah dan Rasul. Dia berlakon pun atas tiket berdakwah dan mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Dia juga tak nak saya berkahwin lagi. Dialah pemimpin, kawan dan tempat mengadu saya selama ini. Dia tiada tolok bandingnya,” katanya. 

Menurut Wan Chik lagi, dia tidak mahu mengeruhkan ‘sengketa’ di antaranya dan keluarga isteri pertama yang pernah dilaporkan media sebelum ini. Wan Chik juga mengiyakan bahawa dirinya masih lagi isteri kedua kepada Allahyarham. 
Katanya, dia hanya dapat tahu mengenai berita nazak Allahyarham daripada pelakon Kartina Aziz dan jiran yang menghubungi. 

Mengenai ketiadaannya pada majlis pengebumian itu, Wan Chik berkata tiada guna jika hanya dapat menjenguk mayat suaminya yang sudah terkujur kaku. 

“Sudah setahun setengah saya tidak bertemu dengan suami sepanjang hayatnya masih ada. Jadi kalau alang-alang nak tengok, lebih baik saya dapat melihatnya ketika masih bernyawa. Saya rasa tak perlu untuk saya bertemu dalam keadaan begini. 

“Sekalipun kami tak dapat bersua di dunia, harapnya kami dapat bertemu kembali di akhirat. Saya hanya mampu pasrah dan reda dengan ketentuan ini. Sebagai hamba-Nya, saya hanya mampu menghadiahkan bacaan Yasin dan ayat suci kalamullah kepada Allahyarham. 

“Saya amat merinduinya dan yakin Allahyarham juga melalui perkara yang sama. Tiada guna ke sana (tanah perkuburan) hanya kerana mahu berdepan dengan orang ramai dan menangis sedangkan Allahyarham sudah tiada di muka bumi,” kata Wan Chik. 

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List