Malaysiakini diminta dikeluar dari bilik media di perhimpunan agung Umno kerana tidak memiliki pas media yang dikeluarkan oleh sekretariat parti itu.
Semua lapan wartawan portal berita bebas itu diberitahu tidak dibenarkan menggunakan kemudahan bilik media oleh seorang pegawai sekretariat perhimpunan itu.
Perkara itu berlaku walaupun setiausaha agungnya Tengku Adnan Tengku Mansor - dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini pada 5 Oktober lalu - menjanjikan sedia mengeluarkan pas berkenaan.
"Sesiapa yang tidak memiliki tag, tidak dibenarkan berada dalam pusat media," kata pegawai berkenaan sambil memberitahu bahawa wartawan terbabit turut dilarang memasuki dewan tempat persidangan berlangsung.
Menurut pegawai terbabit, arahan tersebut dikeluarkan terus dari setiausaha agung.
Usaha menghubungi Tengku Adnan setakat ini belum berhasil tetapi Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin memberitahu di laman Twitter,beliau akan meneliti aduan tersebut.
Pusat media berkenaan menyediakan kemudahan meja, televisyen kemudahan soket elektrik untuk kemudahan petugas media mengikuti persidangan tahunan mereka.
Sejak beberapa tahun lalu, Malaysiakini dibenarkan menggunakan kemudahan tersebut tanpa gangguan walaupun dinafikan pas media.
Bagaimanapun, petugas Malaysiakini akan terus menghantar laporan persidangan tiga sayap Umno hari ini yang ditulis di sekitar ruang legar di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
0 comments:
Post a Comment