Saya tidak pasti - sama ada saya tersalah faham, atau pun sememangnya Zaid Ibrahim menempah hari celaka untuk dirinya sendiri. Kenyataan terbaru Zaid di bawah saya petik dari portal beliau. Daripada empat isi yang saya kemukakan di bawah - fahaman saya (jika silap tolong betulkan) Zaid cuba menyampaikan mesej, bahawa PKR sepatutnya sudah mengubah asas perjuangan mereka yang berpaksikan kepada "menuntut keadilan untuk Anwar Ibrahim" kepada "menuntut keadilan sejagat".
Pada hemat Zaid, PKR harus mendominasi Pakatan Rakyat dan bukan sebaliknya. Secara sinis, Zaid menyindir ahli-ahli PKR yang masih menjadikan perjuangan keadilan untuk Anwar, sebagai perjuangan yang sempit dan tidak akan membawa parti ke mana-mana. Apakah Zaid faham - sindirannya ini hanya menempah "neraka" untuk masa depan politik beliau dalam PKR? Zaid kelihatan jujur untuk membawa PKR melangkaui konsep keadilan yang selama ini disempitkan hanya untuk Anwar Ibrahim semata-mata - dengan nada yang lembut, Zaid menyampaikan maksudnya dengan jelas agar ahli-ahli PKR sedar - Anwar Ibrahim tidak akan hidup untuk selama-lamanya. Anwar Ibrahim akan tetap akan mati dan menemui Tuhannya satu hari nanti. Lantaran itulah Zaid tidak mahu PKR terus-menerus bergantung hidup dengan nyawa Anwar Ibrahim. Soalnya sekarang mampukah Zaid merombak pemikiran ortodoks yang sudah berakar umpi dalam pemikiran para pengikut Anwar lebih daripada satu dekad yang lalu ini?
Walaupun mungkin ramai yang tidak sependapat dengan saya - tetapi saya yakin Zaid akan memenangi kerusi Timbalan Presiden PKR - itu pun, sekiranya tiada "unsur-unsur sabotaj". Namun demikian, saya yakin Zaid akan tetapi dianiaya. Beliau akan ditewaskan dengan penuh tipu muslihat - apatah lagi tulisan terbarunya ini, sudah membuktikan ideologi politiknya yang sama sekali tidak "mendewa-dewakan" Anwar Ibrahim. Wallahualam. Baca Tulisan Zaid di bawah (artikel penuhnya di laman portal beliau).
1. KEADILAN perlu diacuankan untuk menjadi sebuah kekuatan politik yang tulen, sebagai sebuah kekuatan yang boleh dijadikan sandaran rakyat dan rakan-rakan dalam pakatan dalam usaha membentuk masa depan yang lebih baik. Pemilihan ini adalah penentu masa depan parti dan negara. Kita perlu terlebih dahulu memperbaiki diri kita sebelum kita boleh memikirkan soal memperbaiki negara.
2. Kita perlu meletakkan diri sebagai pemimpin dalam Pakatan Rakyat, menjadi pentas yang kukuh bagi orang ramai dan mengemudi Pakatan bagi memenangi PRU-13 nanti. Kewujudan kita harus menguntungkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan bukannya hambatan. Kita perlu memperjuangkan keadilan untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim, namun pada masa yang sama juga terdapat banyak ketidakadilan yang menimpa rakyat negara ini yang memerlukan perhatian kita.
3. Rakyat rata-rata mendesak mahukan keadilan ekonomi dan keadilan sosial dan hak supaya diberi layanan dengan hormat dan bermaruah mengikut kedaulatan undang-undang. Kita tidak patut menurunkan darjat parti ini menjadi sebuah parti yang memperjuangkan hanya satu isu. Hal ini tidak adil bagi mereka yang ingin kita wakili.
4. Kita bukan sahaja sebuah parti “Reformasi”, sebagai nama bagi sebuah gelombang di hujung 1990an, tetapi juga sebuah parti yang menuntut refromasi tulen dan sanggup untuk mereformasi diri. Saya menitikberatkan masa depan proses perubahan. Pemilihan kali ini bukan soal jawatan, kedudukan atau permainan kuasa. Ia bukan soal siapakah yang bakal memegang tampuk kuasa selepas ini. Ia adalah soal apakah yang hendak dan boleh dilakukan selepas ini.
Sumber :- AzliShukriToday
0 comments:
Post a Comment