Menjelang PRU13, pengundi-pengundi dan ahli UMNO di Balik Pulau, Pulau Pinang dalam keadaan dilema. Ramai pemimpin UMNO di Balik Pulau berhasrat menjadi calon Parlimen Balik Pulau kali ini. Walaupun tidak diisytiharkan secara terbuka tetapi di kalangan pemimpin UMNO dan orang-orang UMNO mulai bercakap sesama sendiri.
Semua pemimpin UMNO yang bercita-cita menjadi calon parlimen Balik Pulau mempunyai karekter dan 'track record' yang baik. Yang lama mengatakan dia berpengalaman dan yang baru mengatakan dia kuat bekerja. Tidak seorang pun mahu mengalah, tak seorang pun mahu mengundur diri dan tak seorang pun mahu bertolak ansur.
Menghangatkan lagi suasana persaingan bila ada pihak yang sudah menamakan calon tertentu untuk diketengahkan tanpa melihat implikasinya kepada UMNO sendiri. Yang sudah pasti akan ada yang tidak dicalonkan. Mungkin akan terkeluar terus dari senarai calon dalam PRU yang akan datang. Apakah pemimpin-pemimpin UMNO ini telah memikirkan bahawa persaingan seumpama ini sesuatu yang baik untuk UMNO dalam jangka pendek dan jangka panjang? Tidak takutkah nanti, akan berlaku "menang sorak kampung tergadai".
Kadang-kadang tindak tanduk pemimpin dalam mempromosi diri dilihat agak keterlaluan. Program-program yang dilaksanakan secara 'adhoc' mempunyai maksud tertentu. Kelihatan pemimpin-pemimpin mulai membawa haluan masing-masing. Ketua-ketua Cawangan dan pemimpin-pemimpin UMNO yang ditemui telah melahirkan perasaan kurang senang dengan situasi UMNO hari ini.
Presiden UMNO DS Najib pernah berpesan agar UMNO dapat diperkukuhkan lagi di peringkat bahagian-bahagian. Tapi apa yang sedang berlaku, pemimpin tidak lagi ambil kisah tentang perkara itu. Tiada usaha untuk memantapkan pengurusan parti. Tiada usaha untuk merapatkan sayap kanan dan kiri UMNO, Pemuda dan Wanita serta Puteri bersama Bahagian dalam satu gerakerja yang bersepadu bagi menghadapi PRU yang akan datang.
Yang kita lihat pemimpin dengan program masing-masing. Yang ada duit boleh buat program. Yang tak ada duit buatlah program sekadar yang ada. Jika berlaku PRU dalam masa yang terdekat, bersediakan UMNO untuk hadapi pilihanraya? UMNO bukan lagi parti yang memerintah di Pulau Pinang. Bersatulah pemimpin demi untuk masa depan UMNO yang lebih gemilang dan terbilang. Janganlah merebut-rebut sesama sendiri. Cari jalan penyelesaian yang terbaik melalui semangat bermusyawarah dan bertolak ansur.
0 comments:
Post a Comment