Cabaran Buat Datuk Sri Najib Mencari Calon "Boleh Menang"

on Dec 8, 2011



CABARAN memang cukup besar untuk pucuk pimpinan UMNO memilih winnable candidate pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Tanpa motif apa-apa, di atas kertas memanglah ideal. Berjiwa rakyat dan bersedia berkhidmat untuk rakyat 24 jam. Calon pilihan seelok-eloknya mestilah anak tempatan yang tahu selok belok dan masalah yang dialami penduduk kawasan.

Ini memudahkan wakil untuk turun padang tanpa menunggu aduan dari penduduk setempat.

Kalau mengikut takrifan tonggak Barisan Nasional (BN) itu, tidak kiralah kalau calon itu mampu menang dan memang dia yang terbaik, apa salahnya dia dipilih walaupun dia hanya 'singa tua'.

Namun, apa yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempo beliau mengkehendaki ciri-ciri winnable candidate ini amat ketat.

Semua ini demi memastikan tidak ada sekelumit kesilapan yang mengakibatkan pembangkang mudah 'cari pasal'. Dan lebih penting lagi, menjamin survival parti.

Diimbas rekod PRU12, sebanyak 54 peratus daripada pengundi Melayu yang turun mengundi telah mengundi UMNO berbanding 39 peratus bagi kaum Cina dan 5 peratus kaum India.

UMNO memperoleh sokongan kira-kira 1.87 juta undi Melayu daripada 112 kawasan Parlimen manakala BN mendapat 2.28 juta undi Melayu di Semenanjung. PKR pula hanya memperoleh kira-kira 700,000 undi Melayu di 68 Kawasan Parlimen yang ditandinginya di Semenanjung.

Sebilangan besar pengundi telah mengundi kerana setia dengan parti manakala sumbangan undi tertinggi disebabkan populariti khas calon tidak dapat dinafikan. 

Bagaimanapun seseorang calon biasa hanya mampu memperoleh undi individu yang marginal sahaja, tidak melebihi 1,600 undi dan kira kira 83 peratus calon UMNO adalah dalam kategori ini.

Realitinya berbanding keputusan pilihan raya umum 2004, hasil analisis menunjukkan peratusan undi Melayu untuk UMNO hanya menurun kira-kira 3.3 peratus sahaja menggambarkan keadaan lebih baik dari tanggapan umum.

Ini lebih baik daripada prestasi BN yang kehilangan 10 peratus undi Melayu yang secara tidak langsung menggambarkan kemerosotan sokongan Melayu kepada parti MCA, MIC dan Gerakan. Juga, pada PRU12, UMNO kehilangan separuh undi Cina dan hampir semua undi India.

Di Sarawak, jika sebelumnya DAP memiliki hanya enam kerusi DUN, April lalu menerusi Pilihan Raya Negeri, ia berjaya memenangi 12 kerusi, iaitu peningkatan 100 peratus. 

Dikatakan sejumlah 75 peratus pengundi Cina mengundi DAP pada pilihan raya tersebut berbanding dengan hanya 60 peratus pada PRU 2008, satu peningkatan sebanyak 15 peratus.

Jika keadaan serupa berlaku di Semenanjung, berapa agaknya kerusi yang mampu dimenangi parti tersebut? Malah di kawasan bumiputera bukan Islam di Sarawak, jika parti itu 'agresif lagi dengan cetusan isu dan sentimen', maka mungkin ia boleh meningkat kepada sejumlah kerusi yang semua boleh jangkakan.

Atau mungkinkah DAP akan muncul sebagai parti dominan dan kedua terbesar selepas UMNO pada PRU13?

Atas sebab inilah faktor dan ciri-ciri winnable candidate perlu diperketatkan bukan sahaja daripada sisi UMNO malahan seluruh parti-parti komponen BN.

Untuk UMNO, elakkan unsur sabotaj terutama apabila calon terpilih bukan daripada kepimpinan bahagian. Jangan pilih mereka dari kalangan yang memiliki rekod jenayah, skandal atau 'bayangan rasuah'.

Di peringkat 191 bahagian parti, hindarikanlah sentimen warlord (hulubalang) yang mahu terus memberikan penekanan bahawa mereka telah mengasah pedang begitu lama.

Terimalah keputusan 'Jeneral' (Presiden) dalam penentuan kedudukan calon. UMNO dan BN perlukan bala tentera yang berada di belakang dan mendapat sokongan semua.

Pengalaman PRU12 harus dijadikan pengajaran berguna.

Jangan ulangi lagi permasalahan dalaman yang tidak diselesaikan waktu itu sehingga menjadi penyumbang utama kekalahan banyak calon UMNO dan BN.


sumber
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List