Bukan Pasal Kahwinkan PAS Dengan UMNO

on Dec 8, 2011





SHAH ALAM, 8 Dis — PAS menolak tanggapan bahawa pengurniaan pingat Datuk Paduka Mahkota Selangor kepada Datuk Dr Hasan Ali sempena sambutan hari keputeraan Sultan Selangor minggu ini bertujuan menghargai usaha beliau “mengahwinkan” parti Islam itu dengan Umno.
“Ia hanya satu anugerah, berdasarkan tafsiran saya, satu pengiktirafan diberi untuk mewakili parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad pada sidang media di sini hari ini.
Khalid yang juga Ketua PAS Shah Alam dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, Sultan Selangor telah bertindak dengan adil dan mengurniakan pingat yang sama kepada seorang pemimpin dari setiap komponen Pakatan Rakyat.
“Saya fikir Sultan Selangor telah bertindak dengan adil di mana pada tahun pertama, baginda memberi pingat Datuk Seri kepada (Menteri Besar) Tan Sri Khalid Ibrahim mewakili PKR dan satu pengiktirafan ke atas kepimpinan PKR di Selangor.
“Ketika tahun kedua, baginda menganugerahkan pingat Datuk kepada (Speaker) Teng Chang Kim selaku wakil DAP, sebagai parti komponen kedua terbesar dalam Pakatan Rakyat dan tahun ini, tahun ketiga pentadbiran, kami diberikan gelaran Datuk Mahkota, kepada Datuk Dr Hasan Ali, sebagai bekas pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco kanan (dalam pentadbiran negeri),” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini.
Semalam, akhbar milik Umno menulis Hasan (gambar), yang akan menerima pingat Datuk Paduka sempena keputeraan Sultan Selangor hujung minggu ini perlu memainkan peranan “melakukan perkahwinan” antara PAS-Umno.
Pandangan ini diberikan susulan Perhimpunan Agung Umno minggu lalu yang mengisytiharkan PAS sama sekali tidak boleh menggantikan Umno dalam arena politik negara ini dalam menjaga hak dan kepentingan orang Melayu selepas selama tiga tahun mempelawa parti Islam mengadakan kerjasama politik.
Nama Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor, sudah lama muncul sebagai antara orang “penting” dalam mewujudkan kerajaan perpaduan Umno-PAS ekoran keputusan pilihan raya umum 2008.
Bagaimanapun PAS telah menolak kerajaan perpaduan dalam tiga muktamar lalu dengan Hasan, antara orang, menjadi sasaran kritikan.
Beliau seringkali didakwa sebagai pro idea kerajaan perpaduan Umno-PAS.
“Di Selangor Faktor Dr Hasan amat penting sekali. Pengikutnya di dalam PAS (yang sehaluan dengan beliau) amat besar sekali. Pengaruhnya di kalangan penjawat awam Melayu dalam kerajaan Selangor juga amat besar sekali,” kata Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan dalam kolum mingguannya semalam.
Kata penulis itu, kedua-dua faktor itu memberi kelebihan kepada Hasan, yang digugurkan sebagai ketua PAS Selangor Jun lalu, untuk melakukan perubahan.
Beliau digantikan oleh Dr Abd Rani Osman iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Meru.
“Dr Hasan berupaya melakukan perkahwinan itu demi menegakkan kesucian agama Islam dan keutuhan umat Melayu di Selangor,” katanya dengan memetik titah Sultan Selangor ketika mengadakan kunjungan ke kompleks percetakan Kumpulan Utusan di Bangi awal minggu ini.


malaysianinsider
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List