Hudud: Perkasa gesa Soi Lek tarik balik kenyataan atau tunggu PRU-13

on Dec 5, 2011



Pertubuhan pendesak hak orang Melayu, Perkasa mendakwa Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek celupar dan masih kabur mengenai undang-undang hudud apabila mendakwa pelaksanaan hukum Islam itu akan membawa kepada kemusnahan ekonomi negara dan binasa diri.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali mahu Umno selaku parti teras Barisan Nasional (BN) “mengajar sikit mulut celupar” Presiden MCA yang tidak tahu hujung pangkal menyatakan hudud akan menjatuhan ekonomi Malaysia.
Kata Syed Hassan, Umno perlu menasihatkan Presiden MCA itu supaya menarik balik kenyataan salah mengenai hudud, yang dibuat pada satu forum di Wisma MCA semalam.
Dr Chua (gambar)dipetik berkata pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan “binasa diri” jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.
Beliau melahirkan pandangan terbaru ini ketika polemik mengenai sistem perundangan Islam itu masih berterusan. Dua bulan lalu ketika kepimpinan PAS merayu kepada umum agar diberi peluang untuk melaksanakan hudud di Kelantan sebagai percubaan, Umno pula berkata kini bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.
Dr Chua berkata sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.
Bekas menteri kesihatan ini meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.
“Apabila kesemua sektor ekonomi berhadapan dengan kesan, semua rakyat Malaysia tidak kira agama akan mengalami kesannya,” kata beliau lagi.
Justeru Perkasa, tegas Syed Hasan, tidak minta Dr Chua mohon maaf kerana sedar beliau tidak faham tetapi perlu menarik balik kenyataannya dengan segera dalam sehari dua ini dan jika tidak, Perkasa akan “mengajar MCA secukupnya pada pilihan raya umum ke-13.”
“Soi Lek juga berkata sukar untuk mencari pelabur disebabkan rekod hak asasi Malaysia tidak baik dan hukuman pula dianggap kejam, juga akan membuatkan perlabur yang sedia ada akan lari,” kata beliau menerusi satu kenyataan.
Syed Hassan menambah, pihaknya merasakan Dr Chua masih kabur tentang hukum hudud dan sepatutnya bekas menteri kesihatan itu meminta nasihat Umno jika mahu membuat kenyataan seumpama itu.
“Untuk rekod Perkasa menyokong hudud. Itu hukum Allah. Cuma hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS, Perkasa tolak.
“Banyak terpesong dari hudud sebenarnya yang mahu laksanakan oleh PAS,” katanya lagi.
Syed Hassan berkata Perkasa sanggah kenyataan pemimpina MCA itu kerana dengan hudud sebenar, sudah pasti akan membawa banyak pelabur dari luar melabur di Malaysia.
“Sudah pasti jenayah akan kurang, rasuah akan sifar, rogol dan buang bayi tak akan berlaku kerana ada hudud sebenar.
“Kalau ini boleh berlaku, ia membuat negara aman damai. Cuma Perkasa percaya negara belum bersedia melaksanakan hudud sebenar,” katanya lagi.
Jika hukum hudud dilaksanakan dengan tidak tepat kehendak prinsip yang sebenar, katanya, maka akan berlaku ketidakadilan.




Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List