Siapa sebenarnya pengkhianat?

on Dec 5, 2011

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhhHxi0RVKebU1Y1SDr_UwToxz9QtTgUjC1mg9Tu95D8d6WbKD472L8Gh-4ynH2t8hcAGlKZ-3b_PLJRSa7XTY5myW830XctnIVmnJ37OlRiVeE5EDoTAbWd5MhfEdkCeguJnzffABNSPM/s400/GAMIT+-+Anwar+Reformasi+azizah.jpg


KEBANGKITAN rakyat yang bertindak membanjiri jalan raya di Kuala Lumpur pada 20 September 1998 melaungkan “Reformasi” terpahat sebagai nostalgia untuk ramai aktivis sosial. 
Keghairahan ini mengombak semula ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, menyaksikan keterlibatan masyarakat majmuk yang melangkaui batas kaum, agama dan budaya.

Namun, untuk satu jangka yang amat panjang selepas zaman Reformasi, khususnya ketika era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi, perhimpunan ataupun demonstrasi jalanan diadakan secara kecil-kecilan - dalam lingkung 3,000 orang. Pada waktu itu perhimpunan dianjurkan oleh Protes - satu gabungan untuk membantah kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya - biasanya diadakan di KLCC, ataupun di tepi jalan raya.

Adegan yang terharu memaku dalam hati saya sehingga hari ini, mengenang perhimpunan-perhimpunan yang tidak sebesar mana itu. Mungkin ingatan sesetengah orang digilap apabila saya mengungkit bagaimana seorang petugas Unit Amal bertubuh tegap, bernama Amran Zulkifli dibelasah sehingga darah melimpah dari kepalanya yang botak. Tapi untuk diri saya, saya tidak akan lupa sepanjang hidup saya - melihat dengan mata sendiri bagaimana peserta demonstrasi tidak membalas balik ketika dibelasah anggota FRU sedemikian rupa.

Kerana janjinya perhimpunan aman. Mereka sanggup dicederakan secara fizikal, semata-mata untuk mempertahankan nama perhimpunan aman. Malah anakanak yang dibawa sesetengah peserta perhimpunan melihat dalam ketakutan bagaimana bapa mereka dilanyak di khalayak ramai – tanpa boleh melakukan apa-apa.
Justeru, saya mual apabila media kawalan pemerintah memintal ceritanya bahawa polis terpaksa menggunakan kekerasan kerana diserang dan diprovok. Media yang menikam dengan fitnah berbisa ini harus disumpah agar syarikatnya menjadi padang jarak padang terkukur untuk tujuh keturunan.

Pengorbanan mereka memberi makna. Sejak zaman Reformasi masyarakat Cina ditakut-takutkan bahawa demonstrasi jalanan bakal berakhir sebagaimana tragedi di Indonesia - wanita Cina akan dirogol dan dibunuh, komuniti Cina akan dikambing-hitamkan.

Namun sepanjang satu dekad ini, terdapat sekumpulan aktivis dan intelektual Cina juga yang berhempas- pulas menyanggah pembohongan tersebut. Media alternatif bersungguh-sungguh memaparkan situasi yang sebenar ketika demonstrasi mengambil tempat di jalan raya. Anak muda berkongsi pengalaman bagaimana saudara mara Melayu menghulurkan garam dan air kepada peserta Cina yang buat pertama kali turun ke jalan raya.

Kesemua ini bukan propaganda untuk memukau masyarakat Cina yang masih kesangsian. Kesemua ini adalah fakta yang teruji dan terbukti apabila sebahagian besar anak Cina turun ke jalan raya pada 9 Julai 2011. Kebenaran akhirnya ditegakkan, di atas robohan tembok keraguan sesama kaum.

Catatan ini terlalu kecil sebagai rakaman penghargaan kepada ribuan manusia yang mungkin namanya tidak termuat dalam buku sejarah. Gambar wajah mereka tidak diberi ruang untuk menghiasi dada akhbar. Jikalau gambar ditangkap dari atas sekalipun, mereka tidak pasti kepala manakah milik mereka - dalam lautan manusia itu.

Perhimpunan aman yang dipertahankan rakyat dengan air mata, titisan peluh dan darah, malah nyawa ini - kini diperlekehkan Perdana Menteri, Najib Razak dengan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman. Protes jalanan diharamkan atas nama perhimpunan aman – bukankah Najib sedang memperkudakan pengorbanan rakyatnya, menuai hasil perjuangan rakyat untuk dijadikan keuntungan politik dirinya, malah memijak-mijak titisan peluh dan darah rakyatnya?

Ini bukan kali pertama perjuangan rakyat dikhianati. Cuba bayangkan, sepanjang lima dekad selepas kemerdekaan, berapa orang yang dibelasah di tepi jalan raya, dikurung dalam penjara, ditohmah dan difitnah - sematamata kerana perjuangannya untuk menghambat kebebasan, keadilan dan kebenaran?

Berapa orang yang kebebasan individunya dirampas, kerana menuntut kebebasan negara? Berapa orang yang anak mereka ditinggalkan dalam ketakutan, berapa isteri yang ditinggalkan bersendirian, diselubungi ugutan dan gangguan mata-mata gelap yang tidak bermaruah - apabila mereka ditahan di bawah ISA?

Cuba bayangkan, berapa orang yang terpaksa meninggalkan tanah air ini kerana mempertahankan kebenaran? Berapa orang yang disaman politikus, kroni yang boleh mempengaruhi keputusan hakim, hanya kerana mendedahkan sesuatu yang benar?

Hasil yang kita kecapi hari ini bukan kurniaan Najib Razak. Ruang kebebasan bersuara yang kita ada pada hari ini diperjuangkan aktivis media yang tidak tunduk berdepan dengan penguasa. Untuk 12 tahun Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan berdepan dengan gangguan polis, dan institusi yang direka untuk mencerobohi kebebasan ruang internet. Kartunis politik Zunar, dikejar dari balai ke balai - hanya kerana sebatang pen dakwatnya yang berpendirian!

Bukankah ia satu penghinaan, apabila kebebasan bersuara yang diperjuangkan ini diperalatkan untuk melontarkan fitnah? Bukankah ia satu pengkhianatan apabila hak perhimpunan yang diperjuangkan ini, diperkudakan Perkasa untuk membuat perhimpunan antiperhimpunan? Dan bukankah penghinaan dan pengkhinatan, apabila seseorang PM menindas hak rakyat berhimpun atas nama memberi kebebasan berhimpun kepada rakyat?


Oleh LIM HONG SIANG

Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List