Mujur ada DAP, boleh juga Umno jadikan kambing hitam

on Dec 5, 2011

http://www.pribumiperkasa.com/wp-content/uploads/2011/10/IMG_0079.jpg



AHLI Parlimen Kulim Bandar Baharu, Dato’ Zulkifli Nordin yang diberikan laluan oleh Dato’ Ibrahim Ali sewaktu ahli Parlimen Pasir Mas itu berucap, mengambil peluang secukupnya membuat tohmahan terhadap Lim Kit Siang dan DAP walaupun butiran belasahannya itu tidak lebih daripada ulangan piring hitam lama cap anjing

Kononnya DAP dengan liciknya mahu menguasai Malaysia dengan berpaksikan slogan mereka Malaysia Malaysian. Kononnya juga Melayu yang lupa sejarah terus sanggup membiarkan diri mereka dijadikan perkakas oleh DAP. Melayu yang hilang jati dirinya sudah mula rela menjadi barua DAP untuk menyerang sesama Melayu.

Melayu yang semakin lupa Allah itu Tuhannya sudah mula bersedia untuk menerima agama-agama baru yang DAP sedang suntik ke dalam masyarakat hari ini.

Bagi menambahkan lagi perisa provokasi rasisnya, orang nombor dua Perkasa itu mengungkapkan kata-kata pembakar nafsu perkauman Melayu seperti “Mati Melayu”, “Apa polis boleh buat, kita Raja.
Buang sama polis Melayu”, “Melayu sakai pergi masuk hutan”, “KL sekarang Cina punya”, “Melayu balik kampung, Melayu sekarang tiada kuasa.

Sekarang kita Cina sudah kontrol.” Kononnya itu yang diucapkan oleh DAP dalam peristiwa berdarah 13 Mei.  Memang bahasa pembakar sentimen perkauman begitu.
Mereka akan mengungkapkan apa sahaja agar merah cuping telinga orang Melayu lalu hilang kewarasan dalam membuat perhitungan, walhal bangsa Melayu terus terperosok dalam bencana ketinggalan dalam serba serbi bidang kehidupan.

Retorik perkauman Perkasa dan Umno dalam isu 13 Mei tiada kena mengena dengan usaha memartabatkan bangsa Melayu.

Pejuang bangsa Melayu akan melenting dengan tuduhan itu, tetapi sejak 42 tahun berlalunya peristiwa 13 Mei, sewaktu Umno mendominasi kerajaan yang memerintah tanpa bersengkokol dengan DAP, apakah Melayu telah menjadi bangsa yang lebih maju berbanding Cina dan India?

Hari ini dari aspek pemilikan ekuiti orang Melayu hanya menguasai 19 peratus; 20.3 peratus dalam pemilikan syarikat, 11.7 peratus dalam pemilikan bangunan komersial, 14 peratus dalam pekerjaan pengurusan tertinggi dan 20 peratus pemegang jawatan CEO. Bakinya semua dimiliki oleh bukan Melayu.
Orang Melayu hanya berjaya menguasai tahap sosioekonomi terendah sebanyak 76 peratus dan pengangguran 73.3 peratus.

Oh ya, lagi catatan kejayaan orang Melayu ialah peratusan tertinggi sebagai penagih dadah, pembuang bayi, mat rempit, bohsia dan bohjan. Purata pendapatan isi rumah orang Melayu juga adalah yang ketiga terendah selepas kaum Cina dan India.

Peristiwa 13 Mei sudah menjadi bahan sejarah. Semua pihak yang terbabit dengan persengketaan pada masa itu, termasuk parti-parti politik sudah melalui proses transformasi yang berkali-kali.
Parti-parti politik yang masih bertahan hari ini juga telah dihuni oleh majoriti ahli-ahli yang sewaktu berlaku Peristiwa 13 Mei mereka belum melangkah kaki menyertai politik.
PAS sendiri adalah parti yang bersetuju dengan Umno dengan cabaran perkauman pada masa itu, lantas memilih untuk bersama Umno memantapkan permuafakatan seagama dan sebangsa.

Bukankah PAS menyertai kerajaan campuran bersama Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional adalah ekoran Peristiwa 13 Mei? Jadi hari ini, jika PAS (PAS hari ini) dikecam kerana menjalin kerjasama dengan DAP (yang juga telah melalui transformasi) maka ia tidak lebih dari usaha terdesak kumpulan katak bawah tempurung yang masih meletakkan pemikiran mereka di bawah longkong perkauman ala empat dekad lalu.
Kalaulah bahan sejarah menjadi ramuan terbaik untuk dieksploit dalam pertikaian politik terkini, maka pengkhianat terbesar terhadap nasib orang Melayu di Malaysia ialah Umno itu sendiri.

Umnolah yang melutut penuh rela kepada penjajah British menerima prinsip Jus Soli yang mengizinkan pendatang Cina dan India pada masa itu diberi taraf kerakyatan.
Andai DAP mahu dianggap rasis Cina, maka hakikatnya DAP tidak mungkin wujud di Malaysia jika tidak kerana ketundukan Umno kepada kehendak penjajah itu.

Hari ini seluruh rakyat Malaysia bersetuju bahawa sejarah memberi kerakyatan kepada pendatang Cina dan India tidak perlu diungkit sekalipun dengan niat untuk meratapi nasib malang bangsa sendiri ‘menjual’ hak.
Tiada bezanya juga dengan mengungkit Peristiwa 13 Mei bagi meratapi nasib malang bangsa sendiri dimaki hamun walhal ia tidak dapat mengubah apa-apa.

Dalam kalendar orang Yahudi mereka menyambut satu hari untuk bermuram durja atas nasib malang yang menimpa bangsa mereka. Tapi untungnya Yahudi mereka tahu untuk membangunkan semula bangsa mereka yang pernas ditindas sehingga menjadi bangsa yang maju di dunia.

Pemuka perkauman Melayu seperti Umno dan Perkasa pula mengungkit kisah bangsa yang kononnya dimaki hamun untuk melebarkan permusuhan sesama bangsa dengan menyalahkan, memfitnah, mengecam, mengutuk dan menghina PAS dan KeADILan. PAS digambarkan sebagai parti yang tiada prinsip perjuangan sehingga akan membenarkan Perdana Menteri daripada DAP, Kristian dijadikan agama rasmi, pemerintahan beraja dihapuskan dan seribu satu macam tuduhan yang tidak masuk akal.

Persefahaman PAS dengan DAP tiada bezanya dengan persefahaman antara Umno dengan MCA, MIC dan Gerakan dari aspek mendapatkan undi bukan Melayu. DAP dan MCA berkongsi dalam banyak perkara yang melibatkan kepentingan bukan Melayu namun DAP ‘nampak jahat’ hasil manipulasi media yang dikuasai sepenuhnya oleh BN, yang tidak habis-habis mempotrait DAP sebagai rasis.

Sekurang-kurang DAP konsisten dalam memerangi rasuah, penyelewengan, pembaziran, kezaliman berbanding MCA yang separuh abad bersama memakmurkan budaya rasuah dalam kerajaan.
Pilihan raya umum makin hampir, apa lagi formula terbaik bagi Umno untuk menakutnakutkan orang Melayu kalau bukan ancaman perkauman.

Media talibarut Umno akan terus meletakkan topeng hantu di wajah DAP bagi mencetuskan ancaman di kalangan orang Melayu. Maka melompatlah segelintir orang Melayu menghunus keris, menjulang laungan ketuanan Melayu hingga langit ketujuh, walhal di bumi Malaysia yang satu ini bangsa Melayu sedang bergelut dalam pelbagai bidang selepas tertinggal jauh dengan bangsa lain. Mujur ada DAP, boleh juga jadi kambing hitam.



Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List