BAGI orang-orang UMNO, berakhirnya perhimpunan semalam bermakna tiada lagi hal lain yang perlu difikirkan melainkan persiapan untuk berpilihanraya. Tidak kurang juga yang memasang angan-angan mereka ada ciri-ciri ‘winnable candidate’ atau calon boleh menang seperti yang diinginkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sepengetahuan penulis, proses pemilihan calon-calon pilihanraya biasanya bermula diperingkat bahagian, sejauh mana kepimpinan bahagian mereka benar-benar memahami konsep ‘winnable candidate’ ini sangatlah tidak dipastikan.
Apa sekalipun, satu perkara yang boleh penulis simpulkan ialah betapa yakinnya orang-orang UMNO dengan parti mereka dan kebarangkalian menang dalam pilihanraya akan datang. Beberapa kajian yang dijalankan oleh pihak-pihak luar UMNO termasuk dari PAS, PKR dan UIA digunakan untuk menggambarkan ketinggian populariti Najib dibanding dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain seperti Tuan Guru Nik Abd Aziz dan Datuk Seri Anwar dijadikan petunjuk kehebatan UMNO.
Memetik sedikit dari ucapan Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi, dikatakan bahawa populariti Najib pada 2008 ialah 41% dikalangan seluruh rakyat Malaysia dan 38% dikalangan orang Melayu. Peratusan ini dikatakan meningkat pada 2011 dengan 55% dari kalangan seluruh penduduk dan 59% dari kalangan orang Melayu.
Menurut Zahid lagi, perbandingan ini lebih tinggi dari populariti DS Anwar (21% umum dan 22% Melayu) dan TG Nik Aziz (35% umum dan 45% melayu).
Dalam keadaan biasa penulis boleh sahaja mempertikaikan penemuan atau dapatan dari kaji selidik ini tapi itu kelihatannya terlalu mudah. Apa yang boleh penulis katakan ialah, sedikit atau tidak langsung orang-orang UMNO ini faham bahawa kaji selidik itu merujuk kepada populariti individu, bukan populariti parti.
Dalam pilihanraya, akan ada lebih banyak faktor yang boleh menyumbang kepada kekalahan dan kemenangan calon-calon parti bertanding, bukan sekadar betapa popular atau tidaknya kepimpinan tertinggi mereka. Dengan politik UMNO yang kita semua ketahui dimana cantas mencantas, hasad dengki dan busuk hati menjadi budaya, tidak mustahil ketinggian populariti Presiden mereka tidak memberi kesan kepada pola pengundian nanti.
Inilah kebimbangan sebenar Najib dalam ucapannya semalam apabila menyebut tentang hubungan Ketua Bahagian dan Timbalan Ketua Bahagian dan sebagainya. Walaupun dilontar dalam gaya santai dan bersahaja tetapi jelas kelihatan pada mata penulis kebimbangannya itu.
Bagaimanapun, mesej kepada kepimpinan Pakatan Rakyat itu begitu jelas, kita tidak boleh sesekali memandang rendah keupayaan UMNO walaupun kita rasa UMNO berada di tahap yang paling rendah sekarang ini terutama dengan pendedahan penyelewengan wang rakyat yang membabitkan syarikat milik keluarga Ketua Wanita mereka, Shahrizat Abd Jalil.
Yang lebih penting ialah gerak kerja mendekati dan memahami kehendak rakyat diperingkat akar umbi itu perlulah berterusan dalam menghadapi gelombang wang ringgit dan salah guna jentera kerajaan persekutuan yang biasa digunakan UMNO dalam menghadapi perjalanan pilihanraya.
Fokus kita perlu tidak beralih daripada menuntut proses pilihanraya yang telus dan bersih kerana hanya dengan itu sahajalah kita mampu untuk merampas kerajaan Persekutuan daripada UMNO, seterusnya mengubah landskap politik yang dpenuhi rasuah dan penyelewengan.
Oleh SuaraPakatan
0 comments:
Post a Comment