Najib Bimbang Nasibnya Seburuk Pak Lah

on Dec 1, 2011



Jika BN kalah teruk, Najib akan terancam dan sudah tentu ada pihak yang akan mendesak beliau meletak jawatan sebagai presiden Umno dan juga perdana menteri.

Beberapa pemimpin Umno mendakwa presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak bimbang beliau akan menerima nasib  sama seperti yang menimpa mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Nasib Najib bakal ditentukan selepas pilihan raya umum ke 13 (PRU13) kelak, kata mereka yang ditemui di luar dewan di mana berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
“Jika Barisan Nasional (BN) kalah teruk, Najib akan terancam dan sudah tentu ada pihak yang akan mendesak beliau meletak jawatan sebagai presiden Umno dan juga perdana menteri.
“Sebab itu, Najib mahu ahli dan penyokong bersatu padu dalam memenangkan parti dalam PRU13,” kata seorang pemimpin Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Najib semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno pagi tadi.
Letak jawatan
Dalam ucapannya, presiden Umno antara lain meminta ahli parti mengutamakan kepentingan parti dan bekerja kuat untuk kemenangan PRU13.
Abdullah yang menjadi perdana menteri dan presiden Umno sejak 2003 terpaksa meletakkan jawatan pada 2009 selepas BN kalah teruk dalam PRU12.
Kekalahan BN itu juga menyebabkan berlaku pergolakan dalam Umno sehingga munculnya pemimpin tertentu yang mendesak Abdullah meletakkan jawatan.
Wakil Wilayah Persekutuan itu menambah, tidak semua ahli Umno sukakan kepimpinan Najib lebih-lebih lagi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengkritik Najib.
“Mereka yang berjiwa Melayu tulen tetap mahu perdana menteri dan presiden parti yang sayangkan Melayu sepenuh hati.
Muhyiddin lebih Melayu
“Orang nampak Tan Sri Muhyiddin Yassin (timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno) lebih kuat semangat Melayu.
“Mungkin mereka lebih percayakan Muhyiddin dalam memimpin orang Melayu,” tambahnya.
Sementara itu seorang pemimpin dari Kedah berkata, sebahagian orang Umno masih belum merasa yakin dengan Najib.
Katanya, beberapa polisi Najib tidak menguntungkan orang Umno dan Melayu sendiri.
Beliau berkata, Najib mungkin sedar tentang perkara ini hingga menyebabkan beliau terpaksa merayu supaya ahli parti bersatu menyokong kepimpinannya.



Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List