Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) memandang sinis ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap Umno parti yang ‘mendakap demokrasi’.
“DPP Malaysia menganggap ucapan beliau umpama ibarat tin-tin kosong yang hanya kuat berdegar berbunyi apabila diketuk, tetapi kosong di dalamnya,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Bagi DPP Malaysia, katanya Perdana Menteri mungkin mahu rakyat serta ahli-ahli partinya menganggap Umno adalah parti yang suci bersih dan mengamalkan demokrasi tulen.
“Beliau mungkin merasakan rakyat percaya kenyataan beliau tersebut dan menelannya hidup-hidup, walhal hakikatnya, rakyat kini semakin cerdik dan tidak lagi boleh ditipu,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, mungkin dalam mentaliti ahli-ahli dan pemimpin Umno ‘mendakap demokrasi’ bererti mendera dan membuli rakyat sesuka hati terutama pembangkang.
Demokrasi bagi mereka, kata beliau adalah bertindak berat sebelah dalam pilihanraya, menggunakan seluruh jentera kerajaan sama ada media, jabatan kerajaan dan agensi di bawahnya bagi berkempen untuk mereka.
Beliau menambah, bagi Umno, memberi rasuah, mengugut, memberi habuan atau projek segera pilihanraya kepada rakyat dibenarkan untuk mereka.
Katanya lagi, menjadikan insitusi penting negara sebagai perkakas yang boleh arah sesuka hati adalah budaya mereka selama ini.
Umum, ujarnya mengetahui sejak dahulu hingga sekarang, sistem pilihanraya di Malaysia tidak pernah berlangsung dengan adil dan bebas.
Menurutnya, walaupun Jawatankuasa Khas Parlimen baru ditubuhkan, namun kedengarannya ia tidak sempat menghabiskan tugasnya kerana pilihanraya akan berlaku bila-bila masa dari sekarang.
Malah, kata beliau rakyat masih belum melupakan bagaimana RUU Perhimpunan Aman diluluskan baru beberapa hari yang lepas dengan mudah yang bererti menyekat kebebasan dan hak rakyat untuk berhimpun.
“Dengan daftar pemilih yang sangat diragui, dengan beberapa siri pengangkapan warga asing yang diberi hak kerakyatan dan mengundi, beberapa bukti daftar pemilih klon dan bertindih, penemuan pemilik kad pengenalan palsu, dengan undi pos yang jelas diselewengkan hasil dari pengakuan beberapa bekas anggota tentera, dakwat kekal yang masih tidak terlaksana, pengundi mati yang masih turun mengundi, dan banyak lagi pendedahan boleh dibuat apakah maksud demokrasi sebenar,” katanya.
Justeru, katanya DPP Malaysia mahu bertanya kepada PM, bilakah pemimpin Pakatan Rakyat diberikan akses kepada media khususnya menjelang pilihanraya kecil atau umum dengan adil sebagaimana yang dibuat oleh pemimpin Umno sekarang.
Setahu rakyat, ujarnya bukan setakat tidak berpeluang muncul berkempen di media, malah habis teruk pemimpin Pakatan Rakyat diserang pelbagai penjuru menggunakan media rasmi kerajaan.
“Pernahkah PM memikirkan untuk melaksanakan ‘kerajaan sementara’ setelah bubarnya parlimen sebagaimana yang penah dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen,” tanya beliau.
Bagi PM, tambahnya mungkin idea ini tidak ‘mendakap demokrasi’ kerana jika dilaksanakan sudah pasti akan mengancam dirinya dan Umno dalam PRU ke 13 nanti.
Justeru, katanya DPP Malaysia berpendapat, PM kena tukar istilah dari ‘mendakap demokrasi’ kepada ‘mendekam demokrasi’ kerana istilah inilah yang paling sesuai memandangkan inilah realiti yang berlaku ke atas nilai demokrasi di negara ini sejak merdeka sehingga kini.
sumber :- Harakah Daily
0 comments:
Post a Comment