Apa habuan jika tiada saman AES...?

on Nov 12, 2012





KUALA LUMPUR: Jika tidak ada kesalahan lalulintas dirakamkan, apa pula habuan yang kerajaan janjikan kepada syarikat konsesi Sistem Kamera Automatik (AES).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan perlu mendedahkan kepada rakyat perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat berkenaan, iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, supaya rakyat tahu apakah lagi bayaran lain yang dijanjikan oleh syarikat berkenaan.

Selama ini, katanya, rakyat diberitahu bahawa syarikat-syarikat tersebut akan mendapat keuntungan hasil dari kesalahan trafik yang dirakamkan oleh AES melalui skim pembayaran yang dijanjikan kepada mereka.

"Sekarang terdapat pula dakwaan kononnya pemasangan AES mengurangkan saman kerana para pemandu lebih mematuhi peraturan kerana tidak mahu dirakam oleh AES.

"Jika hasil dari saman tidak ada dan menjejaskan keuntungan syarikat-syarikat tersebut, apa pula habuan yang kerajaan janjikan kepada mereka?
"Kerajaan mesti berterus terang kepada rakyat apakah perjanjian sepenuhnya dengan syarikat-syarikat itu," kata Mahfuz (gambar).

Mengenai dakwaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang cuba menggambarkan pemasangan AES menghasilkan kejayaan kerana berkurangannya jumlah pemandu yang melanggar peraturan, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menolak apa yang disifatkan sebagai "analisa kartun" itu.

Bagi Mahfuz, dakwaan saman berkurangan itu pun boleh dipertikaikan kerana baru 14 kamera dipasang, sudah 79,000 saman dikeluarkan.

"Itu baru 14 kamera, bagaimana jika 817 kamera dipasang dalam fasa kedua nanti?

"Sebab itulah pada saya, mudah sangat analisa kartun JPJ itu untuk mengaburi mata rakyat," katanya.

Mahfuz juga mengingatkan, rakyat hendak tengok berkurangannya jumlah kemalangan, bukan apa yang cuba didakwa oleh JPJ itu.

Malah, beliau menyifatkan percubaan untuk mendakwa kejayaan AES dengan hanya menyebut penurunan jumlah pemandu yang melanggar peraturan itu adalah pengakuan bahawa jumlah kemalangan tidak berkurangan.

"Bila kemalangan tidak berkurangan, betullah apa yang kita katakan sebelum ini bahawa kemalangan bukan hanya berpunca akibat memandu laju sahaja," kata Mahfuz yang juga Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Lagi pun, katanya, buat apa mengikut peraturan atau mematuhi had laju di hadapan AES sahaja dan bila jauh dari kamera serta merta langgar peraturan.



Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List