Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), usaha-usaha yang diambil oleh Barisan Nasional (BN) untuk “mempertahankan” Putrajaya semakin rancak. Begitu juga usaha Pakatan Rakyat (PR) “merampas” Putrajaya.
Dalam keasyikan kedua-dua pihak merebut kuasa, kita jangan sesekali lupa bahawa “kuasa” sebenar terletak pada tangan Rakyat (huruf besar disengajakan). Dalam sistem pemerintah demokrasi, Rakyat yang berkuasa dan berhak memilih wakil yang akan membentuk kerajaan.
Di tengah-tengah keghairahan BN dan PR berebut bola di tengah padang, usah kita lupa walau sesaat bahawa keputusan mutlak sebenarnya terletak di tangan kita sebagai Rakyat; khususnya individu yang sudah mendaftar sebagai pengundi.
Kita mengikuti pandangan yang dikemukakan orang ramai dan ramai orang mengenai isu ini di pelbagai media alternatif – lupakan media konvensional yang ternyata lebih cenderung menjadi lidah salah satu pihak.
Persoalan utama yang muncul adalah mengenai “perubahan” yang mahu disaksikan dan mahu dilakukan oleh Rakyat menerusi PRU-13. Gambaran umum yang disebarkan melalui media alternatif oleh orang ramai adalah bahawa pengundi perlu berani menukar pemerintah yang terlalu berkuasa sehingga pemeintah itu beranggapan bahawa kuasa pemerintahan itu adalah hak mutlak yang dimilikinya.
Benar, saya bersetuju dengan bahagian kedua pada pandangan ini: pemerintah mengandaikan bahawa kuasa memerintah adalah hak mutlak yang sudah diberikan sepenuhnya kepadanya sejak Pilihan Raya Umum pertama.
Bagi saya, jika kerajaan yang ada sekarang gagal “berubah” maka Rakyat berhak menggunakan kuasa undi untuk melakukan “perubahan” yang wajar dan sesuai. Itulah makna sebenar demokrasi.
Mampukah kepincangan diatasi?
Mampukah kepincangan diatasi?
Namun, persoalannya di sini: jika PR membentuk Kerajaan Persekutuan, apakah Rakyat boleh berasa yakin bahawa segala “kepincangan” yang (kononnya) dimiliki kerajaan BN akan dapat diatasi?
Demikian persoalan yang saya kemukakan menerusi ruangan status pada laman rangkaian sosial Facebook pada 9 November 2012 untuk mendapatkan pandangan, hujah dan reaksi rakan-rakan.
Pada pendapat Rosihan Pawnstar Amri, PR wajar diberi peluang selama lima tahun. “Kalau gagal, semasa PRU-14, kita buat keputusan semula,” katanya.
Bagi Sofian Alias, kepincangan tidak dapat dihapuskan dengan sekelip mata. “Tetapi rakyat pada waktu itu (lima tahun lagi) akan mudah untuk dididik dengan ilmu dan kebenaran. Tiada lagi agen untuk menakut-nakutkan Rakyat; serta akhbar yang memperbodohkan manusia. Jadi, apabila manusia sudah terdidik, maka mudahlah untuk mereka memilih wakil mereka daripada kalangan politikus yang terdidik pula,” katanya.
Seorang lagi rakan di Facebook, John Phoon berkongsi pandangan dengan mengatakan bahawa “jika PR tidak diberi peluang, bila kita akan tahu sama ada BN adalah sebuah parti pemerintah yang lebih efektif? Mungkin negara kita akan lebih baik di bawah PR dan jikalau keputusan tidak seperti yang dikehendaki, maka Rakyat boleh membuat pilihan baru pada PRU-14.”
Pandangan ini ada logiknya kerana selagi kita tidak mencuba, selagi itulah kita tidak tahu. Tambahan pula, dalam konteks negara kita, Rakyat sentiasa berada di bawah Kerajaan Pusat BN.
Perhatikan sahaja dalam kes di Selangor, misalnya. Setelah sekian lama berada di bawah BN, Rakyat berani melakukan perubahan. Mereka berani mengambil risiko “menukar” kerajaan kerana mahu membersihkan segala kepincangan yang (kononnya) wujud di bawah pemerintah terdahulu.
Selangor sebagai contoh
Lihat sahaja keadaan di Selangor sekarang. Apakah Rakyat di negeri Selangor merana kerana “menderhaka” kepada BN pada PRU-12? Dan kalaulah benar mereka – dan saya juga sebagai pengundi di Selangor – mendapati PR gagal memenuhi tuntutan Rakyat, maka Rakyat pasti akan menggunakan kuasa undi pada PRU-13 nanti.
Dalam hal ini, pada pandangan John Norafizan, “lima tahun adalah satu jangka masa yang panjang untuk mengorbankan keamanan”. Mungkin pada pandangan beliau, “keamanan” akan tergugat sebaik sahaja BN tidak lagi menguasai Putrajaya. Pada masa sama, jangan kita lupa bahawa “kebimbangan” sama pasti dikongsi ramai lagi Rakyat di negara ini yang sering dimomokkan dengan pelbagai cerita.
Hal ini juga tidaklah bermakna saya setuju agar kuasa “dirampas” daripada BN dan diberikan kepada PR menerusi kuasa undi pada PRU-13. Perkara ini dihuraikan secara jelas oleh Kumaran Rajamoney yang turut berkongsi pandangan di Facebook.
“Ahli politik yang belum memiliki kuasa lazimnya ikhlas dalam perjuangan. Malangnya, apabila sudah mempunyai kerusi empuk, segalanya mungkin berubah. Ada pemimpin yang seakan-akan mahu menghapuskan apa sahaja legasi kepimpinan terdahulu, akhirnya membebankan Rakyat,” ulasnya dengan penuh kritikan.
Menurut Kumaran lagi, “Bukannya tiada perkara baik yang berlaku, Cuma kecenderungan untuk kekal berkuasa mengakibatkan niat sebenar berpolitik sudah semakin malap. Akhbar milik Kerajaan Negeri juga dikatakan sudah berkiblatkan pemimpin politik dan bukannya berorientasikan Rakyat; sekali gus mencerminkan seolah-olah kebebasan media tidak wujud meski pun pemerintahan berubah.”
Kata-kata pengamal media itu ada benarnya. Malah, pada penelitiannya, Rakyat kini berada dalam keadaan serba kekeliruan. “Ramai calon yang ada sekarang sebenarnya tidak layak dan calon yang bakal dipilih nampaknya masih banyak kepincangan. Inilah dilema bagi Rakyat yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Berbalik kepada pandangan John Norafizan mengenai “mengorbankan keamanan”, Rosihan kembali berkongsi pandangan bahawa Amerika Syarikat berpeluang menukar presiden setiap empat tahun, seluruh kongres setiap dua tahun.
“Tidak pula kelihatan negara itu lumpuh. Amankah kita sekarang jika kita pergi ke ceramah politik, kita dibaling cat merah, batu, kasut dan selipar? Adakah dengan menekan golongan minoriti, Malaysia dianggap aman? Dengan membiarkan penyelewengan berleluasa, adakah kita dianggap bangsa yang cinta akan keamanan?” Soalnya secara penuh retorik.
Perubahan bawa kelainan, ketidak selesaan
Persoalan sama diperkatakan oleh John Phoon. Dia tertanya-tanya bagaimana dan mengapa John Norafizan “yakin kita akan ada kekacauan” jika tampuk pemerintah negara berubah – daripada BN kepada PR.
“Bukankah kita semua orang Malaysia? BN orang Malaysia dan PR orang Malaysia. Jadi, kenapa mesti Rakyat Malaysia mengundi BN, baru ada keamanan?” Satu lagi pertanyaan retorik yang wajar difikirkan.
Seorang lagi rakan, Unus Sabri, melihat segalanya sebagai transformasi. “Selalunya orang meminta Rakyat menerima perubahan dan perubahan itu adalah perubahan. Namun, semua yang dilakukan perlu ke arah yang betul iaitu ke arah pembinaan negara bangsa; satu Malaysia,” katanya.
Pada pandangan Antonie William Augustine, “Segala kejayaan perlu ada pengorbanan serta perubahan. Perubahan mungkin akan memberikan kelainan dan ketidak selesaan. Kita perlu mengalami perubahan dan bersedia melakukan sedikit pengorbanan jika ingin menikmati kelainan.”
Dalam pada itu, Patricia Rose anne Clement tampil mengingatkan bahawa apabila seorang politikus mengisi ruang/kerusi dalam kerajaan (pemerintahan), maka ketamakan, kuasa dan populariti muncul secara automatik.
“Jadi, isu mengenai kepincangan itu bukan persoalan utama. Apa yang penting adalah bahawa sebuah negara harus ada kerajaan (pemerintah) dan pembangkang supaya tidak ada hanya satu pihak yang mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan. Sekiranya PR membentuk Kerajaan Persekutuan menerusi PRU-13, BN akan menjadi pembangkang. Maka, tidak menjadi persoalan besar kerana tetap demokratik. Jangan kita lupa bahawa masih ada banyak lagi isu penting untuk difikirkan dan diselesaikan berbanding memikirkan parti mana yang memerintah negara,” katanya.
Hussain Sajad pula membawa tumpuan kembali kepada pandangan John Norafizan yang tidak sanggup “mengorbankan keamanan”. Katanya secara penuh sinis: “Sudah tentu akan ada kekacauan. Pihak yang pernah memerintah lebih 5 tahun tidak akan duduk diam selepas disingkir oleh Rakyat menerusi kuasa undi.”
“Mereka mungkin akan membuat kekacauan semasa proses peralihan kuasa atau mereka mungkin menjadi pembangkang yang akan berbuat apa sahaja untuk menang kembali lima tahun kemudian,” katanya tanpa menafikan bahawa Rakyat tetap berkuasa melakukan perubahan jika Kerajaan PR juga gagal menepati janji nanti.
Perebutan kuasa bukan isu utama
Perebutan kuasa bukan isu utama
Pada penelitian Muthannah Marawan, kepincangan akan sentiasa wujud di mana-mana. “Tetapi perubahan adalah sesuatu yang amat perlu. Idea-idea baru harus didengar dan dipraktikkan sekiranya ia sesuai dengan keadaan semasa,” katanya dan membiarkan kita menganalisis makna kata-kata itu.
Harus dinyatakan bahawa persoalan utama di sini bukan mengenai “perebutan kuasa” antara BN dan PR. Sebaliknya, kuasa dan hak Rakyat untuk melakukan perubahan serta menuntut sebuah kerajaan yang benar-benar bekerja untuk Rakyat. Jangan sampai politikus terlalu leka dan menganggap mereka adalah “bayangan Tuhan” dan perlu disembah oleh Rakyat.
Dalam hal ini, saya bersetuju dengan kenyataan Amin Ahmad bahawa beliau tidak mengundi kerana mereka BN atau PR. Ya, Rakyat mahu memilih calon atau pemimpin yang boleh benar-benar melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Apabila saya berkali-kali mengatakan bahawa Rakyat adalah pihak yang sebenarnya memiliki kuasa, jangan pula ada pihak yang mengandaikan bahawa Rakyat boleh menuntut apa sahaja daripada pemerintah.
Perkara sama turut dinyatakan Nordianah Bachok. Beliau secara sinis – tetapi benar – mengatakan bahawa “Rakyat juga adalah ahli politik yang menentukan budaya dan gaya politik di Malaysia”.
“Walaupun wujud BN dan PR, ramai yang terlupa peranan Rakyat. Malah, khabarnya sekarang ada Rakyat yang mengambil kesempatan daripada Wakil Rakyat dengan menuntut perkara-perkara yang tidak masuk akal dan membebankan Wakil Rakyat,” katanya.
Apa yang dikemukakan itu ada benarnya. Pelbagai pihak membuat pelbagai tuntutan yang kadang-kadang melucukan dan menunjukkan tahap mentaliti mereka. Kita sering mengungkitkan kepincangan dalam kerajaan. Bagaimana pula dengan kepincangan dalam kalangan Rakyat iaitu satu lagi komponen penting dalam pemerintahan negara?
Sempena sambutan Deepavali dan Maal Hijrah, mari kira renungkan bersama: Apakah Rakyat di negara ini sebenarnya sudah sampai ke tahap benar-benar berani melakukan transformasi, lonjakan dan perubahan pada pemerintahan negara? Tepuklah dada, tanyalah selera.
Uthaya Sankar SB adalah penulis bebas dan pemilik tunggal ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’
0 comments:
Post a Comment