Tidaklah dapat diketahui secara pasti sama ada Tun Dr. Mahathir begitu ghairah atau merasa begitu bangga dan bertuah dengan penemuan terbarunya tentang Pakatan Rakyat.
Bercakap kepada wartawan Malaysia di Khartoum minggu lalu selepas menyampaikan syarahan umum di hadapan 1,000 jemputan terdiri daripada pelajar, ahli akademi dan tokoh korporat dari seluruh Sudan, bekas Perdana Menteri itu menganggap kerjasama kini terjalin di antara parti Pembangkan sebagai bersifat sementara dan hanya untuk memenangi pilihanraya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.
Memang benar, Dr. Mahathir cukup berpengalaman secara langsung dalam menghadapai pilihanraya dan begitu juga pengalaman dalam politik yang tidak perlu sesiapa pertikaikan.
Tetapi adakalanya, pengalaman yang banyak menjadi tidak berguna dan tidak lagi relevan apabila orang yang memiliki pengalaman itu sudah kehilangan sentuhan ke atas realiti zaman.
Kita bukan sekadar bercakap tentang ketiadaan-batasan dalam penyebaran pelbagai berita yang kini lebih cepat dari sekadar jangka masa sekelip mata atau kepelbagaian maklumat yang seolah-olah merupakan pembentangan hasil pelbagai penyelidikan mengenai UMNO dan BN yang selama ini tidak diketahui oleh umum, tetapi kita sebenarnya bercakap tentang pola kepercayaan rakyat dan hala tuju minda generasi baru yang melihat UMNO-BN dengan penuh syak wasangka.
Tidaklah diketahui sama ada Dr. Mahathir mengetahui atau menyedari betapa pada PRU-12, bunga-bunga penolakan terhadap UMNO, MCA, dan MIC oleh orang Melayu, Cina dan India sudah berputik dan malah sudah banyak yang berbunga dan berbuah.
Ketika itu Dr. Mahathir yang masih berada di luar UMNO ekoran tindakannya keluar parti tersebut kerana memprotes kepimpinan penggantinya itu mungkin gagal menyelami/mengesan kepulangan klasik pemimpin UMNO ke dalam zon selesa ciptaan mereka apabila hampir kesemua pemimpinnya, termasuk pemimpin parti komponen lain dalam BN meletakkan faktor utama prestasi buruk mereka kepada kepimpinan flip-flop, batuk, tersasul, tertidur Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun).
Apabila Datuk Seri Najib dilantik, Dr. Mahathir kembali ke dalam UMNO dan memberikan sokongan moral kepada putera mahkota UMNO yang dipilih sendiri dengan tangan beliau. Benar, Najib tak sama dengan Pak Lah tetapi beliau memiliki koleksi masalah begitu berkepelbagaian dan tidak mungkin dapat diperbetulkan oleh partinya.
Begitupun, di sebalik pendedahan demi pendedahan tentang permasalah Najib dan kelemahannya, pemimpin dan para penyokong parti tersebut masih hidup dengan kepercayaan: Najib kian popular, Najib berjaya pulihan ekonomi, Najib perihatin kepada rakyat, Najib itu dan Najib ini.
Ringkasnya, kuman dan virus ‘sindrom penafian’ membiak pesat dalam jiwa dan sanubari pemimpin dan juga penyokong tegar UMNO. Pembiakannya begitu besar dan menyeluruh sehinggakan tokoh sehebat Dr. Mahathir yang telah begitu lama bergelumang dalam sepak terajang politik UMNO-BN tidak lagi dapat melihat realiti politik Malaysia dalam perspektik muktahir dan sahih – bahawa majoriti rakyat sudah menolak UMNO-BN seawal pasca PRU12 lagi.
Dalam pada sibuk menulis entri dalam blok beliau, memuji memuja Najib atau UMNO, atau mempertahankan kononnya orang Melayu akan kehilangan kuasa politik sekiranya UMNO ghaib dari muka bumi ini, Dr. Mahathir sepatutnya turut meluangkan masa untuk membaca segala entri dalam Facebook, blog-blog, Twitter, Tumbler, laman web khusus dan berdedikasi yang memetik atau menyiarkan semula berita dari media cetak, laman web khusus dan berdedikasi yang menyalurkan maklumat tentang keboborokan UMNO-BN (lengkap dengan bukti), portal berita dan lain-lain rangkaian lagi, termasuk emel berantai.
Kalau tak mahu baca sekalipun sebab tidak ada masa atau malas, kajian rambang dan rawak sahaja pun sudah mencukupi untuk menyatakan kepada beliau betapa banyaknya rangkaian di Internet yang menghentam UMNO-BN berbanding yang menghentam Pembangkang atau memuji kerajaan UMNO-BN.
Justeru, nampaknya ketika dengan ghairahnya bercakap di Khartoum tentang kerjasama bersifat sementara Pakatan Rakyat, Dr. Mahathir, bak kata Inggeris, ‘just don’t get’ (memang benar-benar tak faham).
Majoriti rakyat sudah begitu muak dengan UMNO-BN dan bersedia untuk sanggup menggunakan apa sahaja cara bagi menjatuhkan dan seterusnya menentukan betapa sejarah UMNO-BN akan terhenti sebaik sahaja berakhirnya PRU-13 termasuk andai kata betapa sementara sekalipun Pakatan Rakyat atau sebagaimana Dr. Mahathir lebih selesa menyebut ‘pakatan Pembangkang’.
Rakyat tak kisah sekiranya pakatan Pembangkang terus dibubarkan selepas PRU-13 kerana apa yang menjadi matlamat maha penting dan maha utama ialah menurunkan kerajaan UMNO-BN yang telah berkuasa sejak sebelum Merdeka (Pilihanraya Umum 1955) sehinggalah selepas Merdeka.
Apa nak jadi sekiranya pakatan Pembangkang terbubar, tidak perlulah disibukkan sangat. Negara Malaysia bukannya hak mutlak UMNO-BN (dan tak perlu mempertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir sebagaimana yang dilafazkan Najib satu ketika dulu.)
Menurut Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Angkatan Tentera dan semua Akta yang berkaitan, hak ke atas Malaysia adalah urusan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Pilihanraya umum hanyalah untuk menentukan siapa yang bakal menjalankan kuasa eksekutif bagi pihak Baginda. Tidak ada dalam mana-mana Perkara Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana Akta Persekutuan atau Enakmen mana-mana negeri menyebut tentang kuasa, keistimewaan dan hak UMNO-BN.
Tak ada UMNO-BN, tak ada kerjasama di antara Pembangkang sekalipun, ada sahaja badan berwibawa dari segi undang-undang yang bakal memerintah dan mentadbirkan Malaysia.
Oleh itu, tak perlu Dr.Mahathir atau sesiapa sahaja merasa excited giler atau ghairah terlampau kerana konon merasakan pakatan Pembangkang bersifat sementara. Dari segi ini, kita kesian dengan Dr. Mahathir kerana baru sedar. Cukuplah tu Che Det.
Oleh : Shirzad Lifeboat
0 comments:
Post a Comment