PKR: Tubuh Badan Bebas Menyiasat Aduan.......

on Nov 11, 2010

PKR Wilayah Persekutuan menggesa ibu pejabat parti itu menubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat dengan segera segala aduan bagi memastikan proses pemilihan berjalan dengan adil dan telus.
Memandangkan kedua-dua Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub - calon jawatan timbalan presiden mendakwa lebih 160 aduan masih belum disiasat, maka parti harus memulakan siasatan, kata Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan Osman Karim hari ini.

Difahamkan aduan-aduan itu meliputi pemilihan peringkat bahagian dan mesyuarat agung tahunan cabang.
“Oleh kerana kedua-dua Datuk Zaid dan Mustaffa mengumumkan bahawa banyak aduan yang belum disiasat oleh jawatankuasa pemilihan pusat, maka kami membuat resolusi agar aduan-aduan ini disiasat segera.
“Jadi, kami merasakan kalau betul ada aduan yang pernah dibuat, tetapi tidak disiasat lagi, kami minta agar ditubuhkan satu badan untuk siasatan, dalam parti sendiri,” kata Osman lagi.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas PKR Wilayah Persekutuan di sini, malam tadi. Biro Politik PKR pula, mengadakan mesyuarat khas malam tadi untuk membincangkan memorandum kata dua calon timbalan presiden berhubung pemilihan pusat tidak membuat keputusan muktamad atas alasan memerlukan bukti kukuh dan keterangan susulan.

Menurut sumber yang layak dipercayai, msyuarat itu yang dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berlangsung kira-kira dua jam, memutuskan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pengadu.

Memorandum itu diserahkan oleh Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub — salah seorang calon timbalan presiden — kepada presiden dan pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat Dr Molly Cheah petang kelmarin. Memorandum itu menggesa parti mengambil tindakan segera dalam 48 jam — tempoh yang akan berakhir petang ini.

Ia menggesa agar proses pemilihan dibatalkan dan digantikan dengan pengundian baru walaupun 87 cabang sudah selesai mengadakan pengundian sepanjang lima hari pertama, sehingga Ahad lalu. Sehari sebelum itu seorang lagi calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding atas alasan wujud banyak kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan.

Malah Zaid juga melepaskan semua jawatan dalam parti dan menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang lagi calon timbalan presiden Azmin Ali keluar parti. Biro Politik mengadakan mesyuarat mingguan malam tadi tetapi calon-calon yang bertanding pada pemilihan kali ini termasuk Mustaffa sendiri tidak hadir.

Ia hanya dihadiri oleh mereka yang tidak bertanding manakala Dr Wan Azizah sudah menang tanpa cabaran. Mustaffa dijangka menemui presiden dan pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat petang ini. (AK)

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List