PETALING JAYA: Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail perlu memainkan peranan yang tegas dan berani dalam menangani kemelut pemilihan yang semakin meruncing.
Seorang ahli PKR dari Kuching, Illang Kubang ak Dagang yang nombor keahliannya Q060000568 menggesa supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu dengan mandat dari Majlis Pimpinan Pusat dan Presiden sebagai pengerusi untuk menstabilkan parti.
"Presiden harus menampilkan kepimpinan yang tegas dan melantik sebuah Jawatankuasa Pemilihan Parti baru dengan mandat penuh untuk menguruskan proses pemilihan secara adil dan bebas.
"Ketua Umum parti mesti menghormati kedudukan dan kuasa-kuasa Presiden dan beliau sewajarnya tidak campur tangan dengan keputusan-keputusan yang diambil oleh Presiden.
Sayugia diingatkan, Ketua Umum telah terlibat dalam krisis ini dan banyak pihak meragui peranan beliau dalam proses pemilihan," jelas Illang.
Parti akan berpecah
Menurut Illang, sekiranya krisis ini tidak ditangani dengan tegas, besar kemungkinan parti akan berpecah sekali gus memusnahkan peluang Pakatan Rakyat untuk menang di PRU 13. Kemaraan ke Putrajaya akan menjadi hanya sebuah impian.
Katanya, kemelut pemilihan ini menjadi salah satu ujian dan kayu pengukur kepada Wan Azizah sebagai presiden.
"Presiden parti yang telah menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini perlu bertindak mengawal keadaan dan menyelamatkan parti.
"Hal-hal pemilihan parti tidak perlu dibincang dan diputuskan oleh Biro Politik kerana ramai ahli dalam Biro Politik mempunyai kepentingan dalam proses dan keputusan pemilihan. Budi bicara Presiden memadai untuk membuat keputusan muktamad atas hal-hal pemilihan," jelas beliau lagi.
0 comments:
Post a Comment