Pergelutan kuasa PKR: Mengapa Zaid tidak dijulang....???

on Nov 11, 2010

Berbalik kepada Zaid Ibrahim, yang sebenarnya memiliki ketinggian moral sebagai kelebihan imej dirinya.  Usaha Zaid Ibrahim untuk memberi bayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara ketika beliau menyandang jawatan Menteri Jabatan Perdana Menteri, dan keberanian beliau meletak jawatan sebagai protes terhadap penangkapan ISA - menampilkan beliau seorang ahli politik yang berprinsip, dan cuba melakukan perubahan dalam sistem ketika berada dalam kerajaan UMNO-BN.

Lebih-lebih lagi, pandangan beliau yang progresif dan memperlihatkan keterbukaan, khususnya dalam isu perkauman dan agama, cukup disegani kaum bukan Melayu.  Bukunya "Saya Pun Melayu", pernah diberi penilaian bahawa pandangannya lebih ke depan, jikalau dibandingkan dengan buku tulisan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad pada 40 tahun yang lalu, iaitu Dilema Melayu.

Justeru itu, tidak hairan apabila nama Zaid Ibrahim dijulang tinggi pada peringkat awal beliau menyertai PKR - sehingga pernah disebut sebagai pengganti Anwar Ibrahim seandainya Ketua Umum PKR dan pemimpin utama Pakatan Rakyat ini dipenjarakan.  Malah, media pro-UMNO pada suatu ketika cuba menonjolkan Zaid Ibrahim sebagai "anak emas" dalam PKR, kerana diberi pelbagai keistimewaan - menyarung jersi PKR dalam PRK Hulu Selangor belumpun genap setahun masuk parti, dan kemudian dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur biarpun kecundang dalam PRK.

Zaid vs Azmin

Malah, jikalau dibandingkan dengan Azmin Ali, Zaid Ibrahim jelas memiliki kelebihannya.  Zaid Ibrahim kelihatan lebih lantang dan menonjol untuk menangkis serangan UMNO - dengan kenyataannya yang sinis dan keras, lantas meraih populariti yang luas di kalangan bukan Melayu.  Zaid sanggup mengorbankan "jawatan menteri" untuk membantah ISA, terus disanjung aktivis sosial dan NGO hak asasi manusia.  Malah, rakan parti dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PAS dikatakan lebih selesa dengan Zaid Ibrahim, berbanding Azmin Ali.

Sebaliknya, Azmin Ali dibayangi persepsi yang negatif.  Salah satu tuduhan yang dilemparkan terhadap "pengikut setia Anwar Ibrahim" ini adalah beliau terlalu angkuh, "tidak menjawab panggilan", hanya menurut perintah seorang, iaitu Anwar Ibrahim.  Azmin tidak mempunyai pandangan yang memahat ingatan, selain retorik "me-nyah-kan UMNO dari muka bumi" yang kerap diulanginya dalam ceramah politik, dan kebanyakan masanya sekadar mengitar semula air liur Anwar Ibrahim.

Mungkin persepsi kedua-dua Zaid dan Azmin ini boleh dipertikaikan, namun ia tidak jauh dari pengamatan orang umum.  Persoalannya, jikalau ianya benar, mengapa Zaid tidak meraih sokongan daripada puak "NGO dan PRM" dalam parti, sebaliknya puak ini memberi sokongan, atau setidak-tidaknya berdiam diri memberi laluan kepada Azmin Ali?

Lebih menarik, Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang sebelum ini cuba dilambung oleh Zaid Ibrahim, dengan tawarannya "sudi memberi laluan", pujiannya berbunyi "banyak pengalaman yang boleh membantu parti", "tak suka hentam dan burukkan orang lain", "lebih minat berkerja" dan sebagainya - tidak termakan dengan tawaran tersebut.  Pengumuman Khalid untuk bertanding jawatan yang disasarkan Zaid Ibrahim, memberi isyarat bahawa dirinya tidak berada dalam kem  Zaid Ibrahim.

Sokongan memihak kepada Azmin

Sebaliknya, keadaan kelihatan lebih memihak kepada Azmin Ali.  Timbalan Presiden, Syed Husin Ali dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, menyentuh Zaid Ibrahim apabila berkata "Dia perlu jadi team player.  Ketika beliau dilantik masuk Biro Politik, bila suka datang (hadir mesyuarat).  Bila tak suka, tak datang.  Macam mana anda menjadi pemimpin seperti itu?"

Meskipun tidak menyebelahi Azmin, dengan mengakui kekurangan yang ada pada Azmin Ali, namun nadanya lembut ketika menjawab dakwaan bahawa Azmin dilihat kurang menyentuh soal dasar.  Syed Husin (gambar kanan) berkata, "Dari segi idea, dia ada idea.  Dia harus lebih cakap pasal dasar, mulai sekarang..."

Situasi semakin jernih apabila hampir kesemua pemimpin utama dalam parti hadir dalam Majlis Pidato Penerimaan Pencalonan dan Pelancaran Manifesto "Reformasi Menuju Putrajaya" oleh Azmin Ali pada 16 Oktober 2010.  Bukan sahaja rakan sekerjanya dalam pejabat ketika zaman Anwar menyandang TPM, misalnya Khalid Jaafar dan Mansor Othman turun memberi sokongan, malah pemimpin reformasi seperti Tian Chua turut hadir, biarpun terlewat.

Ia belum termasuk kenyataan Naib Presiden, Sivarasa Rasiah dan Lee Boon Chye yang mengkritik Zaid Ibrahim baru-baru ini.  Bahkan, Syed Husin Ali yang sebelum ini hanya mencuit Zaid Ibrahim di twitter dengan "siapa makan cili dia rasa pedas", semakin keras nadanya ketika membalas tuduhan Zaid Ibrahim kebelakangan ini.

Zaid lebih angkuh daripada Azmin?

Sesungguhnya, beberapa orang pimpinan tidak senang dengan Zaid Ibrahim selepas PRK Hulu Selangor.  "Bukan team player", inilah tuduhan yang dilemparkan terhadap Zaid Ibrahim.  Tuduhan ini pernah dibangkitkan kepada Zaid Ibrahim dalam satuwawancara bersama MerdekaReview, namun Zaid terus menafikannya, sambil menyifatkannya sebagai tuduhan yang "tidak masuk akal".

"Lebih angkuh daripada Azmin Ali", demikianlah penilaian seorang pemimpin yang kurang selesa dengan Azmin, tetapi lebih tidak menyenangi Zaid (gambar kanan).  Inilah yang diberitahu sumber maklumat kepada MerdekaReview, bahawa pertarungan PRK Hulu Selangor adalah pengalaman yang tidak baik buat mereka yang berhempas pulas untuk Zaid Ibrahim.

"Justeru itu, mereka akhirnya menganggap adalah lebih mudah untuk bekerja dengan Azmin.  Azmin sudah berada dalam pimpinan parti untuk sekian lama.  Betapa 'benci' sekali pun, pasukan ini tetap berfungsi.  Mereka tidak dapat nak bayangkan kalau Zaid menjadi Timbalan Presiden..." Demikianlah jawapannya daripada sumber dalam parti, ketika MerdekaReview cuba mencari punca mengapa Zaid tidak meraih sokongan di kalangan pimpinan asal sebagaimana yang dijangkakan.

Strategi Zaid Ibrahim

Namun demikian, adalah tidak adil seandainya seorang pemimpin politik hanya dinilai dari perspektif interaksi peribadi.  Ia seharusnya dilihat dalam konteks yang lebih besar, malah bagaimana reaksi pemimpin politik itu mendatangkan impak terhadap senario politik.  

Di sinilah Zaid Ibrahim melakukan sesuatu yang cukup "dipertikaikan".
Ramai yang memperlekehkan Zaid kerana "tidak pandai mengatur strategi berperang" - berdolak-dalih, menjadikan kawan sebagai lawan, menyinggung perasaan anggota dan sebagainya.  Namun demikian, Zaid sebenarnya tidak "bodoh" sebagaimana yang dianggap.  Strateginya untuk mendukung Puteri Reformasi, Nurul Izzah (gambar kiri) cukup cerdik.

Ia memberi gambaran seolah-olah Nurul Izzah menyokong dirinya.  Untuk mereka yang tidak begitu jelas dengan keadaan sebenarnya, senang untuk menganggap bahawa Zaid mendapat sokongan Anwar melalui Nurul Izzah.  Bagi mereka yang tahu "sedikit sebanyak" keadaannya pula, menganggap keluarga Anwar bercanggah pandangan dalam isu ini - Bapa menyokong Azmin, sementara anak menyokong Zaid.

Ia mungkin berakhir dengan kemenangan dirinya bersama Nurul Izzah, atau kemenangan Azmin Ali.  Namun, apapun kesudahan ini tidak semestinya sesuatu yang baik untuk PKR.  Bayangkan, gandingan Ketua Umum-Anwar, Presiden-Azizah, dan Naib Presiden-Nurul Izzah - ia semestinya memberi persepsi "parti keluarga", dan tidak terelak daripada label "nepotisme".  Sebaliknya, seandainya Azmin Ali pula yang menang dalam pertandingan Timbalan Presiden, ia akan terus dituduh sebagai pemilihan untuk memenangkan kroni Anwar.  Lebih menarik, daripada apa yang berlaku sekarang, senario yang paling mungkin berlaku adalah kemenangan kroni dan anak sulung.

Dan bukankah ini yang berlaku sekarang?  Zaid Ibrahim terus mengikat "Anwar-Azmin" sebagai punca masalah PKR, sementara media online seperti Free Malaysia Today, menyiarkan tulisan bertajuk "Ramai menaruh harapan pada Zaid – Nurul Izzah".  Jelas, kedudukan Nurul di atas pagar terus diambil kesempatan untuk memberi gambaran bahawa wujudnya perselisihan dalam parti, malah secara tidak langsung "mengangguk kepada tuduhan Zaid Ibrahim."

Malah, Zaid Ibrahim sudi menerima wawancara Utusan Malaysia, media milikan UMNO yang pada satu ketika dahulu menyerang peribadi beliau sebagai kaki botol, pemilik kuda lumba dan sebagainya.  Sememangnya Zaid boleh mempertahankan tindakannya dengan pendirian "tidak mahu boikot media", mungkin atas prinsip "kebebasan media" dan sebagainya, namun pada masa yang sama orang akan mempertikaikan mengapa beliau menyaman A. Kadir Jasin, penulis blog yang dikatakan "memfitnah beliau"?

Pelbagai tuduhan mula dilemparkan terhadap Zaid Ibrahim, kononnya "Trojan Horse" untuk memusnahkan PKR dari dalam, agen UMNO dan sebagainya.  Tuduhan ini mudah mengundang tuduhan "fitnah", memandangkan dakwaan ini tidak semestinya disokong dengan bukti.  Lebih-lebih lagi, tindakan Zaid untuk letak jawatan pada September 2008, nyaris-nyaris menjadi pukulan maut kepada UMNO.

Namun demikian, beberapa soalan yang terus berlegar dan mencungkil pertikaian terhadap Zaid Ibrahim.  Sementara Zaid Ibrahim mempersoalkan mengapa beliau dinobatkan sebagai wira ketika menyertai PKR, dan kini pula ditohmah sebagai pengkhianat, beliau harus juga merenung persoalan mengapaUtusan Malaysia memberi ruang liputan seluas-luasnya untuk diri beliau yang seketika dahulu digelar "biadap"?

Lebih-lebih lagi, keputusan beliau untuk menarik diri dari Pemilihan PKR, meletak jawatan parti dan sebagainya berlaku dalam konteks di mana PKR diselubungi suasana merudum, berikutan kekalahan dalam PRK Batu Sapi.  Ia mungkin berlaku secara "kebetulan", dan ia juga mungkin pukulan maut kepada PKR - sebagaimana yang berlaku ke atas UMNO-BN pada September 2008.

Ringkasnya, pergelutan kuasa  ini telah mengheret PKR ke dalam satu situasi yang memudahkan serangan musuhnya, berikutan beberapa keputusan yang dibuat, termasuk keengganan Anwar untuk bertanding sebagai Presiden.  Dari persepsinya, PKR akan dilihat parti untuk keluarga, dan manipulasi berlaku dalam pemilihan untuk menyingkirkan pencabarnya.

Mungkin tidak adil untuk menuduh bahawa Zaid Ibrahim sebagai "Trojan Horse" sebermulanya, namun apa yang pasti benar, "Tiada kawan dan lawan yang kekal selama-lamanya dalam politik". (Bahagian kedua, tamat)

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List