PETALING JAYA: "Apa yang saya tahu, sekurang-kurangnya hingga ke hari ini tidak ada sebarang cadangan untuk memecat Datuk Zaid Ibrahim dari PKR".
Demikian ujar Pengerusi PKR Pahang, Dato Fauzi Abdul Rahman ketika mengulas laporan sebuah akhbar portal yang memetik Zaid sebagai berkata beliau akan menubuhkan Parti Keadilan Baru jika dipecat dari PKR.
"Saya percaya PKR bukanlah sebuah parti yang dengan sewenang-wenangnya memecat ahlinya hanya kerana wujudnya perbezaan pendapat.
"Kita dalam PKR bukan macam Umno, akan memecat ahli atau pemimpinnya kerana wujudnya percanggahan pendapat," kata beliau kepada FMT hari ini.
Mengulas enam resolusi yang diputuskan melalui Rapat Anak Muda yang dianjurkan oleh calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) yang diserahkan kepadanya, beliau menjelaskan ia satu niat baik dari anak-anak muda untuk parti.
"Mereka memilih saya mungkin disebabkan saya bersikap neutral terhadap mana-mana calon dalam pemilihan parti ini. Saya rela bertindak sebagai ‘Mr Postman’ untuk menyampaikan hasrat yang baik ini kepada pemimpin tertinggi parti," kata beliau lagi.
Gobalakrishnan, Chegu Bard sependapat
Sementara itu, ketika dihubungi FMT, Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan dan Chegu Bard sependapat bahawa Zaid tidak akan dipecat dari PKR.
"Saya tidak percaya ia akan berlaku (memecat Zaid). Kalau benar berlaku sekali pun, saya akan tetap bersama PKR yang ada sekarang," kata Gobalakrishnan.
Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard pula berpendapat langkah memecat Zaid dari parti adalah tindakan yang merugikan parti.
"Saya percaya parti tidak akan memecat Zaid hanya kerana perbezaan pendapat. Apatah lagi, langkah memecat Zaid hanya merugikan parti kerana kehilangan seorang lagi pemimpin yang berwibawa," kata Chegu Bard.
Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim dilaporkan pernah berkata baru-baru ini, Zaid tetap mempunyai peranan dalam PKR.
Berani bertindak di luar dugaan
Sementara itu, beberapa pemerhati politik tanah air berpendapat Zaid merupakan ahli politik yang berani bertindak di luar dugaan.
"Ketika sebagai seorang Menteri yang menawarkan pelbagai kelebihan politik dan kuasa pun beliau boleh tinggalkan, apatah lagi dalam PKR yang tidak menawarkan apa-apa selain soal prinsip.
"Tapi kalau PKR sendiri sudah tidak berpegang kepada prinsip-prinsip yang diperjuangkan, keadilan untuk semua dan sebagainya, maka sukar orang seperti Zaid untuk terus kekal dalam PKR," ulas beberapa pemerhati politik baru-baru ini di beberapa akhbar tempatan.
Zaid sebelum ini pernah meletakkan jawatan sebagai Menteri Kehakiman demi mempertahankan prinsip yang didukungnya dalam beberapa isu terutama berkaitan ISA.
FMT
1 comments:
bukan berani .. tapi xwaras ......org mcm ni xperlu ade dlm pkr ... rosak ...
Post a Comment