Kriteria kerusi panas

on Apr 2, 2011


Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkategorikan sembilan kawasan sebagai kerusi panas beberapa hari lalu, saya tertanya-tanya apakah agaknya yang menjadi kriteria SPR. Kebetulan tiga akhbar nasional menghubungi saya pada siang hari pengumuman itu dibuat, dan pada sebelah malam, Suhaimi Sulaiman, perantara rancangan Analisis Pilihan Raya Sarawak, saluran Astro-Awani menemu bual saya secara langsung.
Pada sebelah siang, Nazri Kahar, wartawan Astro meminta saya menghantar melalui SMS senarai kawasan panas menjelang pilihan raya Sarawak ke-10 mengikut tanggapan saya. Senarai itu kemudiannya dipaparkan melalui skrin TV saluran Astro-Awani dalam rancangan jam 10.00 malam Rabu lalu.
Setiap orang boleh mengemukakan senarai dengan alasan atau justifikasi masing-masing . Profesor Jayum Jawan, pensyarah berasal dari Sarawak di Universiti Putra Malaysia mengemukakan 29 kerusi dalam senarainya dalam satu forum politik anjuran Merdeka Centre di Petaling Jaya malam Khamis lalu. Sembilan kerusi panas disenaraikan SPR ialah Kedup, Pantai Damai, Kota Sentosa, Batu Kawa, Repok, Pelawan , Nangka dan Balingian. Saya tidak seratus peratus bersetuju dengan senarai itu. Bagaimanakah Nangka dan Pantai Damai boleh dikategorikan sebagai panas?
Tiada tiket percuma ke DUN
Apakah kriteria pertimbangan saya ketika membuat pilihan kerusi panas? Pertama, ialah calon yang bertanding. Jika calon yang bertanding itu merupakan tokoh atau pemimpin utama, mereka pasti akan menjadi sasaran serangan sewaktu kempen. Hampir pasti, pihak Pakatan Rakyat tidak akan membiarkan kerusi Balingian, Piasau dan Layar menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon 6 April nanti.

Bagi pakatan pembangkang, mereka pasti akan menampilkan calon dengan hasrat penyandang tidak diberi tiket percuma ke Dewan Undangan Negeri Sarawak. Malah, BN tidak harus berharap untuk menang tanpa bertanding seperti dalam pilihan raya-pilihan raya lepas. Pada pilihan raya 2006 BN menang dua kerusi, iaitu Dalat dan Daro, kawasan majoriti Melanau, tanpa bertanding.
Tidak menghairankan tiga kawasan berkenaan akan menjadi sasaran utama. Bagi mereka, sebahagian kawasan itu adalah sukar ditembusi, tetapi sebahagian lagi keadaannya adalah kritikal. Tetapi bagi Ketua Menteri, saya tidak percaya bahawa kedudukan beliau akan tergugat, kerana pada amnya sokongan masyarakat Melanau di kawasan itu masih kuat memihak kepada beliau. Kawasan itu menjadi panas kerana pembangkang pasti akan mengeksploitasikan pelbagai isu untuk menjatuhkan imej beliau di mata pengundi majoriti Melanau di situ.
Kemenangan bukan agenda utama
Bagi pembangkang yang bertanding di kawasan Balingian, kemenangan bukan menjadi agenda utama kerana mereka sedar bahawa tidak mudah menundukkan Ketua Menteri di kubu kuat BN. Namun, keupayaan mengurangkan majoriti merupakan sandaran mereka, kerana itu akan disifatkan sebagai kemenangan moral. Itulah sebabnya saya menganggap kerusi sedemikian sebagai panas.

Saya tidak terkejut jika pihak lawan akan melakukan serangan peribadi, lebih-lebih lagi jika calon di kawasan terbabit mempunyai liabiliti. Pembangkang akan mensensaikan dan memanipulasikan isu seluas mungkin melalui strategi kempen dan komunikasi politik. Tujuannya, bagi memujuk dan mempengaruhi pengundi agar tidak menyokong calon berkenaan.
Kriteria kedua ialah majoriti di kawasan terbabit. Kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil misalnya Kota Sentosa, Pelawan, Saribas, Repok, dan Beting Maro sudah pasti akan menjadi sasaran DAP, PKR dan PAS dalam tempoh 10 hari kempen nanti. Bagi DAP di Kota Sentosa yang menang 531 undi, sudah pasti mereka mahu mempertahankannya dengan apa-apa cara sekalipun.
DAP sedar akan risiko yang bakal dihadapi jika leka. Manakala bagi BN pula, dengan majoriti kecil dimenangi DAP, dan dengan strategi betul, mereka percaya kerusi itu boleh dirampas kembali. Jangan hairan, tujuan akan menghalalkan cara bagi mempertahankan atau merebut kerusi itu. Peluang kedua-dua pihak adalah 50-50, dengan andaian tidak ada faktor luar biasa seperti undi pos yang terlalu banyak bertambah di kawasan itu.
Di Saribas pula, pembangkang bertambah yakin kerana majoriti diperoleh BN hanya 94 undi.
Sukar pertahankan populariti
Kawasan ini tentu panas apabila seorang tokoh pembangkang, Baru Bian bertembung dengan penyandang yang menang dengan majoriti kecil dalam pilihan raya 2006. Hakikatnya, lebih sukar mempertahankan populariti untuk penggal kmedua kecualilah individu berkenaan telah melipatgandakan usaha untuk memenangi hati rakyat dengan kerap turun ke akar umbi dan menyelesaikan masalah tempatan, terutama keperluan dan kemudahan asas. Sudahkan Nelson Balang dari SPDP berbuat demikian?

Jadi, pembangkang akan melakukan serangan habis-habisan di kawasan itu. Tetapi, keadaannya tidaklah segenting dijangkakan, kerana faktor utama kerusi calon BN hampir tewas telah diatasi, iaitu calon penyandang digugurkan, dan akan digantikan dengan muka baru.
Muka baru merupakan jawapan penyelesaian kepada kemerosotan undi di kawasan sedemikian. Namun,BN perlu melakukan banyak penjelasan bagi mengubah persepsi rakyat yang muak, marah dan kecewa dengan penyandang yang digugurkan. Personaliti calon yang dipersepsi berwibawa, tidak angkuh dan berjiwa rakyat amat penting dikemukakan di kawasan sedemikian.
Faktor ketiga yang menyebabkan sesuatu kerusi itu panas ialah isu yang bakal dibangkitkan di kawasan itu. Saya menjangkakan, misalnya kawasan Telang Usan sebagai kerusi panas kerana banyak isu menggelegak di kawasan pedalaman Baram itu, sehingga menyaksikan penyandang Lihan Jok dari PBB terpaksa digugurkan. Mungkinkan langkah itu akan membawa kesan diingini? Atau isu panas akan menyebabkan kawasan itu terus panas sehingga kawasan Orang Ulu itu boleh disifatkan satu-satunya kawasan hitam bagi PBB?
Antara isu yang membelenggu kawasan berkenaan membabitkan janji yang belum ditunaikan seperti jalan raya, isu Penan, pembalakan, pencemaran sungai, tingginya jumlah Orang Kurang Upaya (OKU), pencerobohan tanah adat bumiputera (NCR) dan beberapa lagi. Lihan telah banyak membawa pembaharuan dan projek ke kawasan itu, tetapi itu belum memadai bagi pengundi di kawasan seluas negeri Pahang.
Apakah strategi terbaik untuk meredakan tahap kepanasan dan seterusnya memenangi minda dan jiwa pengundi menjelang pilihan raya 16 April nanti di kawasan panas terbabit?

Dr Jeniri Amir
*Penulis ialah penganalisis politik di Universiti Malaysia sarawak

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List